bersama kepimpinan ulamak




Thursday, November 26, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 15 SAFAR 1437 / 27 NOVEMBER 2015



MEMANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Tahrim Ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Memanfaatkan Cuti Persekolahan".

Cuti akhir tahun persekolahan telahpun bermula seminggu yang lalu. Antara tujuan cuti persekolahan adalah untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah yang sudah sekian lama pelajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran pada tahun akan datang. Cuti akhir tahun adalah satu cuti panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika tidak diurus dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ia dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap ibu bapa hendaklah bijak mengurus cuti persekolahan anak-anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho ataupun sia-sia. Mereka akan meninggalkan perbuatan tersebut seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Furqan Ayat 72:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan  yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya."

Sekiranya anak-anak kita tidak dididik untuk bijak mengurus masa dengan betul, dikhuatiri suatu hari nanti bila mereka dewasa mereka tidak tahu mengurus masa dengan baik. Maka akhirnya mereka akan terjebak dengan budaya negatif dan berani melakukan perkara-perkara yang menyimpang daripada agama dan budaya, lantas lahirlah penyakit gejala sosial yang merebak dam menular dalam kalangan remaja dan masyarakat.

Fenomena hari ini kian meruncing, justeru kita perlu sama-sama bangun untuk menyeru umat Islam seluruhnya supaya tidak menjadi umat yang lalai. Di satu pihak, ibu bapa yang peka dan perihatin hendaklah sentiasa memastikan anak-anak mereka terdidik dan memenuhi musim cuti mereka dengan aktiviti yang membina jati diri. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sering berdoa supaya terhindar daripada kelalaian dengan doanya yang bermaksud: "Ya Allah, janganlah Engkau membiarkan kami dalam sengsara, janganlah Engkau menyiksa kami secara mengejut, janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang lalai."

Sebagai mensyukuri nikmat masa yang dikurniakan, khatib menyarankan beberapa perkara untuk dilaksanakan pada musim cuti ini:

Pertama: Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan untuk dihabiskan berehat semata-mata, bermain, tidur, leka dan lalai dengan alat komunikasi dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
  • Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi persekolahan yang berikutnya.
  • Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi.
  • Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, fardhu 'ain, tahsin qiraat, smart solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
Kedua: Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspedisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, gotong royong, berkebun dan lain-lain.

Ketiga: Pastikan kita melazimi solat berjamaah di masjid dan surau. Dalam masa yang sama, bawa anak-anak bersama agar dapat membiasakan mereka hadir ke masjid, menghadiri majlis ilmu dan bergaul dengan para solehin. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Keempat: Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti kem motivasi, nadwah Islam, rehlah, kem insan cemerlang dan lain-lain.

Kelima: Memberi pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, aqidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama ataupun ilmu fardhu ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia masa kini. Ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu fardhu ain sebelum anak tersebut mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberi ilmu fardhu ain kepada anak-anak, bahkan membimbing serta penguatkuasaan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat. Rasulullah SAW berpesan kepada setiap ibu bapa yang berbunyi:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Bermaksud: "Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, pukullah mereka (jika enggan mengerjakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka." (HR Abu Dawud)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama. Pastikan kita sebagai ibu bapa merancang masa mereka dengan perkara-perkara berfaedah yang mampu membentuk syakhsiyah dan akhlak mulia pada diri mereka. Sesungguhnya kegagalan kita merancang masa cuti mereka bermakna seolah-olah kita merancang masa depan mereka untuk gagal. Buat akhirnya,marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab Ayat 72:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-gamang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai ibu bapa atau penjaga mestilah menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada anak-anak dengan sebaik-baiknya. Memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak juga penting tetapi yang lebih besar dan utama ialah menanamkan benih-benih keimanan kepada mereka selain menjaga dan mengawal mereka dengan baik. Tanpa kawalan, anak-anak mudah terjebak dengan aktiviti sosial yang merosakkan. Marilah sama-sama kita mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Luqmanul Hakim mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman Ayat 17 dan 18:

يَابُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ  ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾

Bermaksud: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri."

Bersempena cuti sekolah yang sedang berlangsung hingga akhir tahun ini, khatib ingin mengingatkan kepada semua ibu bapa agar memantau segala aktiviti anak-anak kita berikutan banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini. Pastikan mereka tidak ke tempat-tempat banjir yang berisiko tinggi, hadkan aktiviti-aktiviti yang tidak perlu, moga-moga cuti ini penuh keceriaan dan keberkatan.

Kita juga memohon kepada Allah SWT agar anak-anak kita dan remaja-remaja di masjid kita ini tidak terjebak dengan anasir-anasir kejahatan dan maksiat moden yang semakin berleluasa dewasa ini. Semoga cuti persekolahan ini lebih memberi manfaat berbanding mudharat terhadap anak-anak kita.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ، يا الله، يَا الله، يَا الله، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Friday, November 20, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 8 SAFAR 1437 / 20 NOVEMBER 2015



HARI KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ﴿٢٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُون

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Shad Ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu penguasa di muka bumi, maka tetapkanlah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan."

Wahai hamba-hamba Allah sekalian,

Marilah kita bersyukur atas nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal. Meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita turut memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW serta berusaha mengamalkan segala sunnah baginda, mudah-mudahan ia akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita semakin menghampiri tarikh 27 November 2015 versamaan 15 Safar 1437 hijrah, hari keputeraan Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai Raja dan Pemerintah Negeri Perak. Hari yang penuh bersejarah, bersempena sambutan pertama selepas baginda Sultan ditabalkan sebagai Sultan dan pemerintah negeri yang kita cintai ini.

Institusi kesultanan adalah amat penting dalam negara yang mengamalkan prinsip raja berpelembagaan. Ia adalah benteng terakhir dalam mempertahankan kedaulatan Islam di bumi bertuah ini. Tanpa institusi kesultanan, benteng ketuanan Islam lebih mudah diroboh oleh musuh-musuh Islam.

Sultan, raja atau khalifah adalah pemerintah sesebuah kerajaan Islam bermula selepas kefawatan Nabi SAW. Sultan adalah penyambung kepada risalah kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir negara. Allah SWT memberi gambaran berkenaan dua golongan pemerintah yang mendapat redha atau sebaliknya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 73:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ ﴿٧٣﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan mereka pemerintah yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan mereka pula sentiasa beribadah kepada Kami."

Seterusnya, di dalam Ayat yang lain Allah menempelak golongan pemerintah yang rugi.

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُونَ ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُم مِّنَ الْمَقْبُوحِينَ ﴿٤٢﴾

Bermaksud: "Dan Kami jadikan mereka pemerintah yang mengajak rakyatnya ke neraka dan pada hari kiamat pula mereka tidak diberi sebarang pertolongan. Dan Kami timpakan kepada mereka dengan laknat di dunia ini pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan keadaan sehina-hinanya." (Surah Al-Qasas Ayat 41 dan 42)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sultan yang adil dan bijaksana pasti dapat mengharmonikan rajyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, berbilang kaum dan budaya. Sultan yang mempunyai keperihatinan yang tinggi terhadap segenap lapisan rakyat yang tua atau muda, yang kecil atau besar, yang miskin atau kaya tanpa mengira perbezaan mahupun kekurangan pasti akan membina kesetiaan dan ketaatan rakkyat jelata. Peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Sulaiman dan bala tenteranya digambarkan oleh Al-Quran dengan sifat kebijaksanaan dan keperihatinan baginda terhadap rakyatnya. Firman Allah SWT dalam Surah An-Naml Ayat 18 dan awal Ayat 19:

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ﴿١٨﴾ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا....  ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah (ratu) semut: Hai semut-semut masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedarinya. Maka baginda tersenyum kerana (mendengar) perkataan (ratu) semut itu."

Nabi Sulaiman telah dianugerahkan Allah kerajaan yang hebat meliputi daratan, lautan dan udara termasuk manusia, jin dan haiwan. Kerajaan sehebat dan sebesar ini tidak pernah dimiliki oleh mana-mana pemerintah selainnya. Namun, disebalik kehebatan sebagai seorang raja dan kemuliaan seorang rasul, baginda tidak pernah bersifat sombong mahupun takabbur. Baginda sentiasa bersyukur dengan segala nikmat, mentaati segala perintah, berterusan melakukan amal soleh dan bertakwa kepada-Nya. hayati doa baginda yang dirakamkan di dalam Surah An-Naml Ayat 19:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kehebatan seorang raja lazimnya didampingi penasihat yang ikhlas. Penasihat yang ikhlas sentiasa mendahulukan kebenaran bukannya kebatilan yang diperhiaskan, mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan individu, mengutamakan ganjaran akhirat berbanding keuntungan duniawi.

Mari kita imbau sejarah yang berlaku pada zaman kerajaan Turki Uthmaniah ketika kejayaan Muhammad Al-Fateh menakluk Kota Konstantinopel pada usia baginda baru mencapai 21 tahun. Baginda berjaya menjatuhkan Empayar Byzantin. Siapakah disebalik kejayaan tersebut? Sejarah mencatatkan baginda dinasihati oleh penasihat-penasihat yang hebat dan ukhlas termasuk golongan ulamak seperti As-Syeikh Shamsuddin Al-Wali, As-Syeikh Bairam dan lain-lain.

Di samping itu, para alim ulamak memainkan peranan penting membentuk keperibadian, mendidik dan mencurahkan ilmu kepada sultan. Di negeri Terengganu sebagai contoh Sultan Zainal Abidin III sentiasa mendampingi seorang alim yang terkenal dengan gelaran Tokku Paloh. Baginda sering berulang alik ke pusat pengajian Tokku Paloh untuk mendalami ilmu agama dan nasihat-nasihat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Akhir kata mimbar juga ingin menegaskan semua pihak hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ikhlas, mudah-mudahan negeri ini akan menjadi sebuah negeri yang aman damai, maju dan hebat di bawah pemerintahan seorang sultan yang dinaungi rahmat Allah SWT. Kita berdoa mudah-mudahan sempena tarikh bersejarah 27 November, keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai raja dan pemerintah negeri Perak darul Ridzuan yang tercinta ini menjadi titik tolak kepada sebuah negeri yang bercirikan Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghofur iaitu "Negeri Yang Baik dan DiAmpuni Tuhan."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَ‌ٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٥٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أًجْمَعِينَ.
عِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah An-Nur Ayat 55 yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka dalam mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuartu apapun dengan Aku. Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita rakyat negeri Perak darul Ridzuan merasa bertuah dan berbangga dianugerahkan seorang Sultan yang berjiwa rakyat, berwawasan dan berpendidikan tinggi. Baginda sering kali memberi peringatan yang bernas lagi tegas demi memelihara kesucian agama, keutuhan bangsa dan keharmonian bersama. Moga baginda sentiasa dalam peliharaan Allah dan diberi kekuatan melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Rakyat jelata sentiasa mentaati, menyayangi dan mendoakan kesejahteraan baginda serta keluarga.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Allahumma ya Rahman, yang Maha Pemurah lagi Maha Ihsan, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim. Lanjutkanlah usianya dalam peliharaan-Mu dengan sepenuh kesejahteraan. Kekalkanlah pemerintahannya dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. Limpahkanlah rahmat kemakmuran dan keberkatan kepada seluruh rakyat jelata sekalian. Rakyat yang beriman yang jujur dan taat setia. Kekalkanlah negara dan negeri kami dalam suasana aman sentosa, makmur bahagia, berdaulat dan mulia, dengan keredhaan-Mu wahai Tuhan yang Maha Esa.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،  
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama Google Drive. Klik sini.


Friday, November 13, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 1 SAFAR 1437 / 13 NOVEMBER 2015




HINDARI BERMEWAH DALAM MAJLIS PERKAHWINAN

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَنْعَمَ عَلَيْنَا بِنِعْمَةِ الْإِيمَانِ وَالْإِسْلَامِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia dan di dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah Al-Hujurat Ayat 13)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam menggalakkan umat untuk berkahwin. pernikahan atau perkahwinan adalah satu ibadah dan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dalam Islam sudah ditentukan syarat, rukun dan hukum perkahwinan. Matlamat perkahwinan dalam Islam adalah melahirkan zuriat yang baik dari hasil perkahwinan yang sah mengikut syariat Islam. Selain itu, perkahwinan juga bermatlamatkan hidup senang hati, mesra, mawaddah dan rahmah sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum Ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَ‌ٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

Bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kami (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Persoalannya, sejauh manakah perkahwinan yang dikatakan mengikut syariat Islam? Hari ini, sudah menjadi fenomena bagi kebanyakan pasangan pengantin baru untuk meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka itu dengan pelbagai persiapan dan perbelanjaan yang berlebih-lebihan. Seringkali, pengantin dihiasi dengan pakaian yang indah dan mahal, duduk di atas pelamin yang penuh dengan hiasan serta dilengkapkan dengan hidangan jamuan yang pelbagai menunya. Itu belum lagi mengambil kira hantaran yang berlebihan, hadiah cenderahati untuk para tetamu, kos menyewa dewan atau hotel, kos penyediaan makanan, persalinan pengantin dan kos penggambaran yang tinggi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebenarnya, mengadakan walimah adalah sebahagian dari tuntutan agama. Justeru, ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi kehendak agama. Sekiranya kita mahu mencapai keredhaan Allah SWT, maka beberapa perkara perlu dielakkan dan diperhatikan:

Pertama: Perlumbaan meemriahkan majlis perkahwinan sering mendedahkan masyarakat kepada budaya bermewah-mewah yang boleh melupakan manusia kepada matlamat hidup di akhirat. Marilah kita melihat bagaimana Allah SWT menggambarkan sikap Qarun, seorang daripada kaum Nabi Musa yang menjadi pembesar dalam kerajaan Firaun. Beliau telah mempamerkan kekayaan kepada kaumnya sehingga menimbulkan fitnah dalam hati mereka. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas Ayat 79 dan 80:

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ ﴿٧٩﴾ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ ﴿٨٠﴾

Bermaksud: "Kemudian Qarun keluar dengan kaumnya dengan memakai perhiasannya. Pada saat itu, berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan tidak akan menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar."

Jelaslah, penampilan Qarun dengan gaya mewahnya telah menyebabkan sebahagian dari Bani Israel terpesona dan membina angan-angan keduniaan. Samalah seperti majlis perkahwinan yang diadakan secara gilang-gemilang sehingga digelar "Wedding Of The Year".

Kedua: Perbelanjaan besar bagi meraikan perkahwinan merupakan suatu pembaziran, jika ia melampaui 'uruf dan kebiasaan masyarakat. Apatah lagi, sampai keluarga pengantin terpaksa meminjam wang untuk menjayakan majlis itu. Kadangkala, walaupun anak daripada perkahwinan itu sudah berderet, namun hutang belanja kahwin belum habis dibayar. Dewasa ini, kita melihat perkahwinan bukan sahaja sebuah majlis perkahwinan malah lebih kepada pembaziran.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sering kita lupa bahawa pakaian pengantin khususnya perempuan dan persolekannya juga harus diambil kira. Pastikan ia pakaian yang menutup aurat dan tidak menjolok mata serta tata riasnya tidak berlebihan. Persolekan pengantin perempuan juga tidak boleh dilakukan oleh lelaki, haram bagi seorang lelaki biarpun bersifat kewanitaan merias wajah seorang perempuan yang bukan mahramnya. Oleh yang demikian mimbar Jumaat menyeru kaum muslimin sekalian, agar bersederhana di dalam kehidupan, termasuklah dalam menguruskan majlis perkahwinan. Bukankah orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Syaitanlah yang membisikkan kepada kita supaya berbelanja berlebihan dalam menghebahkan perkahwinan. Sedangkan kos perbelanjaan yang besar itu lebih baik digunakan untuk kehidupan pasangan selepas perkahwinan, bukan dihabiskan dalam masa sehari dua sahaja. Semoga penjimatan itu akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga yang baru dibina. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah SAW yang mafhumnya:
"Perempuan (calon isteri) yang lebih besar keberkatannya adalah yang lebih ringan mas kahwinnya." (Hadith riwayat Ahmad, Al-Baihaqi dan An-Nasaie)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ ﴿٧٩﴾

Bermaksud: "Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (seama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka lakukan." (Surah Al-Maidah Ayat 79)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari ini adalah hari yang paling mulia daripada tujuh hari di dalam seminggu. Hari Jumaat adalah hari yang Allah SWT berikan keafdhalan (keutamaan) di dalamnya. Jadi hari ini jugalah hari yang terbaik saling nasihat menasihati dan tegur menegur sesama kita secara beradab dan berhemah. Kepada yang menegur, tegurlah dengan ikhlas dan yang ditegur, marilah sama-sama kita menerima dengan lapang dada.

Peliharalah diri kita masing-masing daripada menjadi penyebab hubungan sesama Islam menjadi renggang disebabkan kata-kata kita mahupun tulisan-tulisan menerusi sms, whatsapp, facebook dan sebagainya. Carilah lebih banyak titik-titik persamaan daripada kita menyelongkar semula titik-titik perbezaan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ. 

Ya Allah, hanya padaMu kami berserah memohon keampunan kepadaMu, redakanlah bencana yang kami alami, lindungilah kami semua daripada murkaMu, hindarkanlah kami dari bencana-bencana yang lebih besar yang tidak mampu kami yanggungi. Kasihanilah kami semua ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah penentu segalanya, bantulah kami menghadapinya. Kami memohon kepada Mu dengan penuh kerendahan hati, Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.



KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B