Thursday, October 29, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 17 MUHARRAM 1437 / 30 OKTOBER 2015



BERJIMAT BERBELANJA

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا ﴿٦٧﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Al-Furqan Ayat 67 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah serta menjauhi semua larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Agama Islam menuntut umatnya supaya sentiasa merancang kewangan dengan rapi dan mengurus kehidupan seharian dengan baik sebagai persediaan menghadapi waktu-waktu susah dan kesempitan hidup. Oleh itu, kita dikehendaki supaya sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat dan berhemah menggunakan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Berjimat cermat bukanlah pada musim tertentu sahaja seperti ketika negara menghadapi defisit, kemelesetan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, inflasi, kenaikan bahan bakar, berhadapan dengan cukai dan sebagainya, malah agama Islam menuntut berjumat cermat pada setiap masa, sama ada ketika senang atau waktu susah.

Suruhan berjimat cermat telah disebut dalam Al-Quran, sebagaimaan kisah Nabi Yusuf AS menghadapi kemelesetan ekonomi yang melanda negara Mesir pada ketika itu. Baginda melakukan perubahan ekonomi, menyarankan supaya tujuh tahun pertama, negara dan rakyat dikehendaki berjimat cermat, berhemah, menyimpan dan bersederhana dalam semua perbelanjaan. Hasil daripada perubahan tersebut, pada tujuh tahun berikutnya negara dan rakyatnya telah mula dapat merasai kenikmatan kemakmuran hidup.

Sidang kaum muslimin yang dimuliakan,

Berjimat cermat bermakna berlaku adil dan berhati-hati apabila berbelanja sehingga tidak sampai ke tahap melampaui batas, keterlaluan dan membawa kepada pembaziran dan kemudharatan seperti kata pepatah melayu, "Beringat Sebelum Kena, Berjimat Sebelum Habis." Bagi mencapai tujuan itu, hendaklah kita pastikan agar perbelanjaan yang dilakukan tidak melampaui batas iaitu melebihi pendapatan. Pepatah ada mengatakan, "Ukur Baju Di Badan Sendiri." Allah SWT telah berfirman Surah Al-Isra' Ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya."

Oleh itu, rancanglah kewangan sebelum berbelanja. Elakkan diri berbelanja atau membeli perkara yang tidak perlu. Ingatlah! Wang ringgit yang kita miliki itu adalah milik Allah SWT. Abu Zar Al-Ghifari pernah menegur Mu'awiyyah yang membina Al-Qashrul Khadra' (Mahligai Hijau) dengan katanya, "Wahai Mu'awiyyah, sekiranya engkau membina mahligai ini menggunakan wang rakyat, sesungguhnya perbuatanmu itu adalah suatu kezaliman pembaziran."

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita jadikan menabung sebagai satu budaya perancangan kewangan untuk masa hadapan. Dengan adanya budaya menyimpan ini, maka sudah tentulah boleh menyelamat dan menyelesaikan apa jua masalah yang berkaitan kewangan terutamanya apabila tiba musim cuti persekolahan, perayaan, kenduri kendara, kos rawatan sakit dan keperluan lainnya. Hal ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakim:

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتِكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum datangnya masa tuamu, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu dan masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu."

Belilah barangan secara secara tunai, elakkan berhutang, apatah lagi berhutang menggunakan kad kredit terutamanya di kalangan generasi muda. Hutang boleh memerangkap seseorang itu melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa, mencuri dan berbagai lagi yang akhirnya membawa masalah besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾

Maksudnya: "Dan nafqahkan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) Agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik."

Ingatlah! Kesenangan yang kita perolehi boleh diambil dengan  mudah oleh Penciptanya sekiranya kita tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ﴿٧﴾

Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim Ayat 7)



Khutbah Kedua 


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ،
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾
 
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan dikalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari laman Google Drive. Klik Sini.