bersama kepimpinan ulamak




Friday, September 18, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 18 SEPTEMBER / 4 ZULHIJJAH 1436



PERSIAPAN 'EIDIL ADHA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ،
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah sekalian,

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Kausar Ayat 1 hingga 3 yang berbunyi:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ ﴿٣﴾

Bermaksud: "Sesingguhnya kami telah mengurniakan kepada-Mu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Di hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini, marilah sama-sama kita bertakwa dan beriman kepada Allah dengan bersungguh-sungguh mematuhi segala perintah Allah dan rasul-Nya serta menjauhi segala yang dilarang oleh-Nya. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang bertakwa. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis Qudsi Allah SWT berfirman:

مَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Maksudnya: "Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu (amal soleh) yang lebih Aku cintai daripada amal-amal yang Aku wajibkan kepadanya (di dalam Islam) dan sentiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amal-amal tambahan (yang dianjurkan oleh Islam) sehingga Aku pun mencintainya. Lalu jika aku telah mencintai seorang hamba-Ku, maka Aku akan selalu membimbingnya dalam pendengarannya, membimbingnya dalam penglihatannya, menuntunnya dalam perbuatan tangannya dan meluruskannya dalam langkah kakinya. Jika dia memohon kepada-Ku maka aku akan penuhi permohonannya dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku maka Aku akan memberikan perlindungan kepadanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Pada hari ini, kita berada pada hari-hari sepuluh awal Zulhijjah. Hari ini adalah hari keempat, bulan Zulhijjah 1436 hijriyah. Antara kelebihan bulan Zulhijjah seperti hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA dari Ibnu Umar RA bahawa baginda SAW bersabda: "Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan mengatasi hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkan padanya tahlil, takbir dan tahmid."

Menyedari kita masih lagi mempunyai hari-hari berbaki dalam mengejar sepuluh hari awal Zulhijjah pada tahun ini. Marilah sama-sama kita melakukan amalan-amalan sunat yang mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak sebagai bekalan untuk kita bawa bertemu dengan Allah kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dari hari pertama sehingga hari kesembilan bulan Zulhijjah, kita dituntut memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah, berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan kita terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

"Puasa pada hari Arafah ini, aku mengira Allah SAW akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu, kita dituntut untuk melakukan amalan-amalan seperti berikut:

Pertama: Mandi sunat 'Eidil Adha di pagi harinya.

Kedua: Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

Ketiga: Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.

Keempat: Sunat menjamah makanan dan minuman selepas selesai solat sunat Eidil Adha.

Kelima: Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid, adalah lebih afdhal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.

Keenam: Bertakbir, bertahmid dan bertahlil bermula daripada malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Mendirikan solat sunat Eidil Adha dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.

Kelapan: Melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri atau kambing. Ianya boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah iaitu pada hari raya haji dan pada hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Nabi Muhammad SAW telah bersabda: 


مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلًا أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ هِرَاقَةِ دَمٍ وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَشْعَارِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

"Tiada suatu amalan anak Adam di hari An-Nahr (hari raya korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah kerana itu berbahagialah dirimu dengannya." (Hadis riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ .



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ﴿٢﴾

"Wahai umat manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya kunjungan hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan digugurkan anak yang dikandungnya dan engkai akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk tetapi azab Allah amatlah berat mengerikan." (Surah Al-Hajj; 1 dan 2)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Surah Al-Hajj adalah Surah ke-22 dan dikenali sebagai Surah Madaniyyah. Merupakan surah yang banyak memperihalkan keadaan berlakunya Hari Kiamat. Padang Arafah merupakan tempat berhimpun umat Islam ketika melaksanakan ibadah haji. Menurut Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Al-Idhohu Fi Manasikil Haj wal Umroh, wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga keluar fajar siddiq pada hari raya, sesiapa yang berada di Arafah walaupun satu lahzah (waktu yang pendek) daripada waktu itu maka sah wukufnya dan dikira memperolehi ibadah haji.

Antara hikmah berada di Padang Arafah adalah merasai sendiri detik-detik berkumpulnya umat manusia dari seluruh pelusuk dunia kerana menyahut seruan Allah untuk melakukan ibadah haji. Umat manusia akan bersesak-sesak di bumi Arafah. Mereka datang dari setiap sudut dunia ini, meninggalkan segala kekayaan dan kemewahan hanya semata-mata menyahut panggilan Allah Taala. Mereka pada ketika itu, sedang menghuni di padang yang penuh dengan kekurangan dan kedhaifan.

Bumi Arafah memberi gambaran dan pengalaman kepada kita tentang perhimpunan seluruh umat manusia setelah berakhirnya usia dunia ini. Apabila malaikat Israfil meniup sangkakala buat pertama kalinya, seluruh dunia mahupun alam ini akan hancur. Langit yang di dalamnya akan jatuh gugur ke bumi, bukit bukau dan gunung ganang akan hancur menyembah bumi dan debu-debunya berterbangan, air laut akan bergelora memuntahkkan seluruh isinya. Umat manusia pada ketika itu, kehilangan arah mencari tempat untuk menyelamatkan diri.

Marilah kita insafi diri, bahawa dunia ini sedang berada di hujung usianya. Marilah kita menambah amal ibadah kita sebanyak-banyaknya untuk kita bawa menghadap Allah Taala pemilik alam ini.

(Sekiranya jerebu masih belum reda) Tuan-tuan sekalian, inshaAllah kita akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat ini bagi memohon agar jerebu yang melanda di seluruh negara akan pulih seperti sediakala. Mudah-mudahan doa dan solat kita diterima oleh Allah.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ 
  قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ 
وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agama-Mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah,ampunkanlah dosa seluruh kaum Muslimin mahupun yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Kami juga memohon kepada-Mu ya Allah, untuk memberkati pembayar-pembayar zakat dan pewakaf-pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah hamba-hamaba-Mu yang akan mengerjakan ibadah haji, Engkau kurniakanlah kesihatan dan kemudahan untuk mereka serta dijauhkanlah daripada sebarang kesulitan dan mala petaka yang memudaratkan, agar mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

Ya Allah, kurnikanlah sepenuh taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurulah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim serta kerabat dan rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com



No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B