bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Friday, September 11, 2015

KHUTBAH JUMAAT 11 SEPTEMBER 2015 / 27 ZULQAEDAH 1436



BERSEDIA MENEMPUH ZULHIJJAH

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Al-Hajj Ayat 27 yang bermaksud: " Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh barakah ini, menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: "Bersedia Menempuh Zulhijjah."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sedar mahupun tidak sedar, hari ini 27 Zulqaedah hari yang semakin menghampiri kedatangan 1 Zulhijjah yang merupakan bulan yang mulia lagi barakah, juga merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan tersebut. Maka, khatib ingin mengingatkan kepada diri saya sendiri dan sidang jamaah sekalian agar menyambut kedatangan bulan ini dengan ilmu dan amal sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fajr Ayat 1 hingga 3:

وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ ﴿٣﴾

Bermaksud: "Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah) dan bilangan yang genap dan yang ganjil."

Ibnu Kasir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil tersebut ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Yang bermaksud: "Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hamba-Nya daripada neraka lebih dari hari Arafah." (Hadith riwayat Muslim)

Begitu juga ketika menafsirkan Ayat ketiga dari Surah Al-Buruj, baginda SAW bersabda:

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ

Bermaksud: "Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat." (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya daripada Imam Ahmad RA meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa baginda SAW bersabda: "Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu memperbanyakkan padanya tahlil, takbir dan tahmid." Begitu juga Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab shahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-tama hari adalah hari Arafah."

Untuk mencapai kelebihan bulan Zulhijjah nanti, maka kita dianjurkan melaksanakan pelbagai amalan tertentu dari 1 Zulhijjah hingga 9 Zulhijjah antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah Haji dan Umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Bermaksud: "Puasa pada hari Arafah ini aku mengira, Allah akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang."

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir serta diikuti oleh orang ramai dengan lafaz:

الله اكبر، الله اكبر، لا إله إلا الله والله اكبر، الله اكبر ولله الحمد

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seseorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca Al-Quran, menyeru kepada kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Amalan paling agung pada bulan ini ialah menunaikan ibadah Haji yang merupakan Rukun Islam yang kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajiban yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali-Imran Ayat 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaan di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajiban ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk."

Orang-orang yang menunaikan fardhu Haji merupakan tetamu Allah. Mereka sanggup berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jamaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadah haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji yang mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran Syurga oleh Allah, merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa malah ingin dikecapi oleh sesiapa yang menunaikan ibadah haji tersebut.

As-Syeikh Mustafa Zarqa dalam buku fatwa hukum haji dan kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur menyatakan di antara ciri-ciri haji yang diterima ialah: "Hendaklah bagi mereka yang menunaikan haji tidak melampau-lampau dalam mengerjakan kewajiban haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunat-sunatnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi tauladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal beristiqamah."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.

Ayat yang dibacakan tadi dari Surah An-Nur Ayat 37 bermaksud: "(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan dirikanlah sembahyang serta memberi zakat. Mereka takutkan hari Kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib menyeru marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada kesempatan umur yang masih berbaki ini dengan melakukan ibadah kepada Allah. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT.

Bagi kita yang tidak berpeluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, khatib menyeru sekali lagi, marilah kita sama-sama melakukan amalan-amalan yang telah disebutkan dalam khutbah pada hari ini, khususnya ibadah puasa sunat Hari Arafah iaitu pada hari Rabu 23 September 2015 bersamaan 9 Zulhijjah 1436 hijrah yang mempunyai fadhilat yang amat besar serta melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya 'Eidul Adha dan hari-hari Tasyrik. Ya Allah, terimalah solat kami, ibadah kami dan jadikanlah hidup dan mati kami semata-mata kerana-Nya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، إِنَّكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الدَّعَوَات، وَيَا قَاضِيَ الْحَاجَات، اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَدَمِّرْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، وَانْصُرْ عِبَادَكَ الْمُؤْمِنِينَ. اللّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُوْرِأَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ, اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ، يا الله، يَا الله، يَا الله، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
اللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَان نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ وَكَذَلِكَ توانكو زَارَ سَالِم

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, muslimin dan muslimat mahupun yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Kami juga memohon kepada Mu ya Allah, untuk memberkati pembayar-pembayar zakat dan kerabat dan rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ اللهِ ! اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B