Thursday, August 6, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 7 OGOS 2015 / 22 SYAWAL 1436




AURAT DIJAGA MARUAH TERPELIHARA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَ‌ٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ﴿٢٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Al-A'araf Ayat 26 yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenang-Nya (bersyukur)."

Muslimin yang dikasihi Allah,

Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan benar-benar menghayati segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan redha Allah, kita akan menjadi umat yang berjaya dalam kehidupan dunia dan Akhirat.Khutbah pada minggu ini bertajuk "Aurat Dijaga Maruah Terpelihara."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Sesungguhnya makanan, tempat tinggal dan pakaian adalah keperluan asasi manusia di dunia ini. Makanan dan minuman sebagai sumber tenaga bagi melaksanakan aktiviti ibadah dan riadah. Tempat tinggal pula adalah untuk keselesaan fizikal dan mental. Manakala pakaian yang dipakai mencerminkan identiti sesuatu umat yang bertamadun dan bermaruah. Bahkan manusia yang tidak berpakaian atau mendedahkan aurat bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Justeru itu, umat Islam wajib mengetahui batasan aurat antara lelaki dan wanita. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Ketetapan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah An-Nur Ayat 31:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah merekamemperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara perempuan mereka, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari kalangan lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengapakah Islam begitu menitik beratkan permasalahan aurat baik lelaki ataupun perempuan? Ini adalah kerana Syariat ini mengandungi pelbagai hikmah tersembunyi yang hanya dapat difahami oleh mereka yang mahu berfikir. Di antara himah aurat ialah:

1. Untuk melindungi wanita daripada disakiti secara zahir dan batin.
Sebenarnya menutup aurat dengan sempurna khususnya wanita dapat mengelak mereka daripada gangguan fizikal dan seksual. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari pemakainya daripada perkara-perkara buruk. Lorong-lorong gejala negatif seperti rogol, zina, sumbang mahram dan seumpamanya dapat dikawal. Mari sama-sama kita amati firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab Ayat 59:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَ‌ٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٥٩﴾

Maksudnya: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

2. Meninggikan darjat insan melebihi makhluk lain ciptaan Allah SWT.
Antara kelebihan yang Allah berikan kepada manusia berupa akal yang dengannya membantu membezakan perkara-perkara baik dan buruk. Akal yang dipandu dengan pimpinan wahyu akan tunduk kepada nilaian dosa dan pahala. Justeru menutup aurat merupakan satu petunjuk bahawa akal tunduk kepada peraturan Allah yang akhirnya ketundukan tersebut akan meninggikan darjat manusia tersebut ke tahap yang selayaknya. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Tin Ayat 4 - 5:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤﴾ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ ﴿٥﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalah gunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah (hina)."

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sebahagian masyarakat menganggap bahawa menutup aurat itu menyekat kebebasan individu. Apakah benar dakwaan tersebut? Perkara ini digembar-gemburkan oleh musuh-musuh Islam dengan pelbagai cara hingga sebahagian umat Islam terpengaruh dan mempercayainya. Tambahan pula, masyarakat dihidangkan dengan hiburan dan fesyen yang pelbagai rupa dan gaya hingga keliru mereka antara yang dibenarkan dan dilarang oleh syarak.

Satu perkara yang perlu kita fahami bahawa Allah SWT mengharamkan lelaki dan wanita mendedahkan aurat bukan bertujuan menyekat kebebasan tetapi kerana Allah memuliakan dan menghargai kita. Tiada lelaki dan wanita yang teraniaya dengan menutup aurat, sebaliknya pula dengan mendedahkan aurat kita telah menzalimi diri sendiri dan boleh merosakkkan orang lain. Malah Islam memandu ke arah jalan keredhaan dan ketakwaan kepada Allah SWT, menutup ruang-ruang maksiat dan memandang tinggi nilai iman. Inilah kebebasan hakiki yang perlu dicari oleh setiap insan dalam mencapai mardhatillah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَحَبِيبِناَ وَشَفِعِينَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Allah SWT menyatakan dalam Ayat yang dibacakan tadi dalam Surah Az-Zaariyat Ayat 55 yang bermaksud: "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman."

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian,

Pada kesempatan ini, khatib ingin mengingatkan supa kita sama-sama dapat mengambil iktibar terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul dengan meyakini bahawa menutup aurat itu adalah merupakan tuntutan syariat Islam yang wajib dipatuhi.

2. Allah SWT mewajibkan lelaki dan perempuan menutup aurat dengan tujuan dengan tujuan untuk meninggi dan memuliakan darjat manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain.

3. Wanita hendaklah menutup aurat supaya terhindar daripada gangguan seksual dan penganiayaan oleh lelaki yang tidak bermaruah dan bermoral.

4. Ketua keluarga, ketua masyarakat dan pemimpin-pemimpin hendaklah memastikan diri dan orang di bawah jagaan mereka benar-benar mematuhi syariat Allah antaranya dalam menutup aurat.

5. Penaja-penaja dan penganjur-penganjur fesyen pakaian hendaklah peka dengan setiap rekaan yang mereka tonjolkan agar mematuhisyariat Allah SWT.

6. Menutup aurat bukan sekadar menutup tubuh badan, tetapi ia juga bertujuan melahirkan rasa gerun terhadap ancaman azab Allah dan berwaspada dengan tipu daya syaitan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-A'araf Ayat 27:

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ ﴿٢٧﴾

Maksudnya: "Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapa kamu dari Syurga, ia juga menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Mimbar Jumaat sekalilagi berpesan bahawa Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstrimis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan umat dan negara. Tindakan ekstrimis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama Islam. Sebaliknya seluruh umat Islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati agar masyarakat umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW diutuskan adalah sebagai rahmat untuk sekelian alam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib berharap agar segala intipati khutbah pada hari ini dipanjangkan dan disampaikan kepada seluruh saudara-mara dan para wanita yang berada di bawah tanggung jawab kita. Janganlah kita terhalang untuk mendapat Syurga Allah disebabkan kelakuan dan perbuatan mereka yang berada dalam tanggungan kita lantaran kecuaian dan kealpaan mendidik mereka. Sayangilah mereka dengan sentiasa memberi nasihat, bukan dengan membiarkan mereka dalam kemaksiatan dan kelalaian. Mudah-mudahan Allah SWT memberi keampunan kepada kita di atas segala keterlanjuran samada sedar ataupun tidak.

Satu pengumuman untukmakluman jamaah sekelian, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar akan mengadakan pengambilan pelajar baru sesi Ogos 2015 untuk diploma, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Kepada sesiapa yang berminat boleh mengisi permohonan secara on-line di www.kuisas.edu.my atau hadir sendiri ke kolej.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، إِنَّكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الدَّعَوَات، وَيَا قَاضِيَ الْحَاجَات.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurulah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, kerabat-kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment