Friday, August 21, 2015

KHUTBAH JUMAAT 21 OGOS 2015 / 6 ZULKAEDAH 1436



ISTIDRAJ: LIMPAHAN REZEKI KERANA BERMAKSIAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ ﴿٤٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إلهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.  
اللهُمَّ صَلِّ وسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سيدِنَا مُحَمَّدٍ, وَعَلَى آلِهِ وصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ, وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن.

Firman Allah SWT yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-An'aam Ayat 44 yang bermaksud: "Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu (kesenangan) untuk mereka; sehingga ketika mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan, iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini, akan dinilai di sisi Allah SWT sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya menyelamatkan kita daripada azab api neraka Allah SWT.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT sangatlah banyak, sehingga tidak ada seorang pun yang dapat menghitungnya samada nikmat itu berupa harta, keluarga, pangkat, kesihatan dan yang paling besar dan paling tinggi nilainya ialah nikmat hidayah Iman dan Islam. Segala nikmat ini datang daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nahl Ayat 53:

وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ

Bermaksud: "Dan segala nikmat nikmat yang ada padamu (datangnya) daripada Allah."

Justeru apabila kita dikurniakan nikmat oleh Allah SWT, sepatutnya kita lebih patuh kepada perintah-Nya, menjahui segala larangan-Nya dan mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya. Namun pemberian tersebut acapkali dilupai, nikmat-Nya seringkali dimungkiri sehingga kebanyakan manusia tidakbersyukur, sombong, takabbur, ingkar dan tidak melakukan apa yang disuruh oleh Penciptanya dengan sifat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, setiap manusia merasai nikmat pemberian-Nya samada manusia itu beriman ataupun tidak. Kita biasa melihat orang bukan Islam yang diberikan kekayaan dan kesenangan hidup, tetapi masih tetap dengan kekufuran. Kadangkala kita melihat orang Islam yang ingkar dengan melakukan maksiat, tetapi hidupnya senang, tampak seolah bahagia, diberikan kesihatan tubuh badan, memiliki rumah besar, kereta mewah, perniagaannya maju dan memiliki kesenangan duniawi. Inilah yang dinamakan Istidraj, iaitu pemberian Allah SWT kepada seseorang terhadap apa sahaja yang dia ingini sehingga dia makin jauh dari Allah SWT. Perkara ini dijelaskan disebuah hadis daripada 'Uqbah bin Amir RA daripada Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنمَّا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

Bermaksud: "Apabila kamu melihat Allah mengurniakan seseorang hamba nikmat dunia yang dia ingini sedangkan masih bergelumang dengan maksiat, maka hanyasanya itu adalah Istidraj." (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Baihaqi)

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Mereka yang mendapat Istidraj mungkin merasakan dirinya disayangi dan diredhai oleh Allah SWT kerana sangkaan dirinya mendapat pelbagai nikmat dan kurniaan secara berterusan. Maka muncullah ungkapan-ungkapan takabbur seperti "tidak solat pun boleh dapat cemerlang dalam pelajaran" atau "tidak perlu bersusah payah solat dan meminta daripada tuhan pun boleh kaya,kamu yang solat siang malam pun tidak kaya-kaya", na'uzubillah. Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan amat besar.

Begitu juga orang bukan Islam, mereka dilimpahi nikmat keduniaan, dipanjangkan umur dan sering mendapat kejayaan sehingga mereka menyangka mereka berada di jalan yang benar. Hakikatnya, azab yang pedih bakal menimpa di Akhirat nanti. Mari sama-sama kita tekuni Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran Ayat 178:

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ﴿١٧٨﴾

Bermaksud: "Jangan sekali-kali orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka, kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab yang hina (di Akhirat kelak)."

Di dalam kitab 'Fi Zilalil Quran' karangan Syed Qutub menjelaskan bahawa nikmat bagi orang yang kafir itu hanyalah fitnah dan tipu-daya yang kuat. Maka harta, kekuasaan, kenikmatan duniawi dan seumpamanya yang dikurniakan kepada mereka yang kafir merupakan Istidraj yang akan menyebabkan mereka makin jauh dari cahaya kebenaran.

Hadirin jemaah yang dirahmati Allah,

Seperti yang kita ketahui, sejarah tentang Istidraj seperti yang Allah SWT rakamkan dalam Al-Quran iaitu kisah Firaun yang bukan sahaja kufur kepada Allah SWT malah zalim dan takabbur. Dia dilimpahi pelbagai nikmat, umur yang panjang, kekayaan, kesihatan malah dikatakan tidak pernah bersin sepanjang hayatnya. Nikmat-nikmat yang dikecapi ini bukan menjadikannya seorang insan yang bersyukur sebaliknya dirinya angkuh sehingga menobatkan dirinya sebagai tuhan. Akhirnya Firaun ditenggelamkan bersama-sama pengikutnya di Laut Merah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ
فَذَرْنِي وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا الْحَدِيثِ  ۖ  سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٤٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله. إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن.

Para jemaah yang dirahmati Allah SWT,

Allah SWT menyatakan dalam Ayat 44 Surah Al-Qalam yang dibacakan tadi bermaksud: "Biarkan Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan) dari arah yang mereka tidak mengetahuinya."

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Menjadi suatu kewajipan kepada kita mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Janganlah kita sia-siakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan dan sikap yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Setiap nikmat perlu disyukuri dengan mengingatinya, mengurus tadbir harta dan nikmat yang dikecapi dengan sebaik-baiknya. Jangan lupa berinfaq dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan kerana ada bahagian mereka dari rezeki yang diberikan kepada kita. Mudah-mudahan segala nikmat yang diberi akan diberkati dan menjadi sebab untuk kita lebih dekat dengan Allah SWT.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
أللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَالمسْلِمِيْنَ فِىْ بِلَادِنَا هَذَا وَفِىْ الْعِرَاقِ وَفِىْ فَلَسْطِيْنِ وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.
 اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran sertagolongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh Agama-mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam. Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli yang maha mulia paduka seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah AlMaghfurulah serta Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim, kerabat dan rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment