bersama kepimpinan ulamak




Friday, July 10, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 10 JULAI 2015 / 23 RAMADHAN 1436



LAILATUL QADAR SATU KEPASTIAN

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ،
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَلَا مَثِيلَ لَهُ وَلَا ضِدَّ وَلَا نِدَّ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ وَحَبِيْبَنَا وَعَظِيْمَنَا وَقَائِدَنَا وَقُرَّ أَعْيُنِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَصَفِيُّهُ وَحَبِيْبُهُ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ، فَإِنِّي أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى الله الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan tuan-tuan sekalian agar meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan menjadikan Allah SWT sebagai satu-sarunya pelindung kita. Semoga dengan itu Allah akan melindungi kita di dunia dan akhirat, insh Allah.

Saat dan ketika ini, kita sedang berada pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Detik yang sangat penting bagi mereka yang mengejar keampunan Tuhannya. Mari kita amati Surah Al-Qadr Ayat 1:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Al-Qadr."

Sidang Jumaat sekalian,

Islam adalah agama berpandukan kepada wahyu dan syariat. Ia mempunyai hari-hari kebesarannya sendiri dan di antara hari dan malam kebesaran yang penuh keberkatan dalam Islam ialah malam al-Qadr yang bermaksud malam penentuan dan kerana pada malam tersebut Allah telah memerintahkan Jibril membawa turun Al-Quran ke langit dunia di satu tempat yang bernama Baitul Izzah sekaligus menjadikan menjadikan malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Penurunan Al-Quran juga disebut secara umum dalam Surah Al-Baqarah Ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ... ﴿١٨٥﴾

Bermaksud: "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagu sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah."

Tiada nas yang menentukan malam Al-Qadr berlaku pada malam-malam tertentu secara yakin dan qat'ie akan tetapi para ulamak telah memberikan panduan bilakah berlakunya malam Al-Qadr mengikut 4 panduan berikut:

1 -  Di dalam bulan Ramadhan

2 - Berlaku dalam 10 akhir Ramadhan, tidak berlaku malam Al-Qadr dalam 10 malam pertama dan 10 pertengahan Ramadhan

3 - Selalu berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan 

4 - Malam Al-Qadr tidak boleh ditetapkan berlaku pada malam-malam tertentu seperti 27 Ramahan atau malam-malam selainnya.

Menegjar malam Al-Qadr, terutama dengan menghidupkan 10 malam yang akhir di bulan Ramadhan sangat digalakkan kerana pada malam-malam ini banyak keistimewaan dikurniakan Allah kepada para hamba-Nya. Kita dapati sejumlah hadits shahih menyaakan sunnah Nabi SAW yang patut dicontohi, antaranya Nabi beruktikaf terutama pada 10 malam yang terakhir Ramadhan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ - أَيْ الْعَشْرُ الأَخِيرُ مِنْ رَمَضَانَ شَدَّ الْمِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ 

Bermaksud: "Nabi SAW apabila masuk 10 malam yang terakhir Ramadhan, mengikat tali pinggangnya (kiasan tidak bersama isteri atau bersungguh-sungguh beribadah), menghidupkan malam (dengan melakukan ibadah) dan mengejutkan keluarganya dari tidur." (Hadits riwayat Muttafaqun Alaih)

Dalam riwayat lain, Nabi SAW mengajar Saiyidatina Aisyah membaca doa ini pada sepuluh yang akhir:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Bermaksud: "Wahai Tuhanku, Engkau maha Pemaaf, Maha Mulia, suka mamafkan. Maafkan lah dosa-dosaku."

Sidang Jumaat Jumaat yang dikasihi,

Manusia tidak mengkin tahu kelebihan malam Al-Qadr kerana keupayaan akal tidak dapat menjangkauinya. Justeru kita perlu merujuk sumber wahyu bagi mengetahui lebih banyak ilmu dan maklumat tentang kelebihan dan keistimewaan yang disediakan padanya. Sebagai contoh orang yang tahu peluang perniagaan yang akan membawa keuntungan besar, pasti akan membuka perniagaannya dan tidak akan meninggalkannya tanpa membuat perhitungan untung dan rugi, padahal keuntungannya tidak lebih dari seratus peratus. Akan tetapi perniagaan Akhirat pada malam Al-Qadr ini yang dijanjikan Allah jauh lebih besar dari keuntungan dunia. Firman Allah dalam Surah Al-Qadr Ayat 2:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ 

Bermaksud: "Malam Al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan."

Seribu bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan, tetapi disebutkan dengan bilangan tahun, sebaliknya disebutkan dengan ungkapan yang lebih mudah iaitu seribu bulan. Maksudnya beribadah dalam satu malam Al-Qadr lebih baik dari beribadah seumur hidup kerana umur 83 tahun bagi seorang umat Nabi Muhammad dikira panjang berbanding umat-umat terdahulu. Justeru cara memanjangkan umur yang pendek sebagaimana diisyaratkan dalam ayat tersebut adalah dengan beribadah pada malam Al-Qadr kerana pahala yang disediakan kepada mereka melebihi 83 tahun.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Malam tersebut terlalu istimewa sehingga ianya lebih baik dari seribu bulan kerana pada malam itu berlaku pertemuan di antara manusia sebagai warga bumi dengan Malaikat sebagai warga langit, mereka bergembira dengan turunnya wahyu. Allah berfirman pada Ayat 4 Surah Al-Qadr:

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾

Bermaksud: "Pada malam itu para malaikat dan Ar-Ruh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (taqdir yang telah diputuskan oleh Allah)."

Ayat ini menjelaskan bahawa taqdir makhluk juga diturunkan pada waktu malam Al-Qade kerana waktu malam mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding siang. Waktu malam merupakan waktu yang paling tenang untuk beribadah dan bermunajat, firman Allah dalam Surah Al-Israk Ayat 79:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا ﴿٧٩﴾ 

Bermaksud: "Dan bangunlah dari sebahagian dari waktu malam maka bertahajjudlah sebagai tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkitkanmu ke tempat yang terpuji."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

Sidang Jumaat sekalian,

Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirainya. Ahli dunia bersorak gembira dengan berlalunya Ramadhan. Namun para Mukmin meratap hiba dengan perginya bulan barakah ini. Menangis kerana takut-takut dosa belum diampunkan. Khuatir barangkali tidak berpeluang menjadi tetamu Ramadhan lagi. Alangkah kerasnya hati mereka yang tidak merasa apa-apa dengan berlalunya Ramadhan !!!

Sidang hadirin sekalian,

Beberapa perkara yang dapat disimpulkan dari khutbah hari ini:

1 -  Al-Quran mula diturunkan pada malam Al-Qadr dalam bulan tamadhan maka perbanyakkanlah membacanya.

2 - Malam Al-Qadr adalah malam yang mulia, malam penentuan taqdir. Pada malam tersebut malaikat turun ke langit dunua untuk merestui doa orang mukmin yang berdoa. Maka banyakkan berdoa.

3 - Rebutlah peluang pada hari-hari yang masih berbaki untuk menggandakan amalan saleh sebagai bekalan menuju ke negeri yang kekal abadi.

Buat akhirnya, khatib ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar berhati-hati di jalan raya. Moga-moga Ramadhan yang berlalu beroleh keampunan dan Ramadhan yang mendatang membuahkan ukhuwwah.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B