bersama kepimpinan ulamak




Program Terdekat. Jom Para Naqibat Kita Hadirkan Diri




Thursday, July 16, 2015

KHUTBAH 'EIDUL FITRI 1436H / JULAI 2015M



Khutbah Hari Raya Aidil Fitri 1436 Hijrah Dewan Ulamak PAS Perak

“KESYUMULAN ISLAM”

Khutbah Pertama

ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ،
ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ،
ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
 ٱللَّهُ  أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا  
أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَيُحْيِيْ وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرِ.
وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمَ وَبَرِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ نَّبِيِّ الرَّحْمَةِ ، وَشَفِيعِ الْاُمَّةِ ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ ٱللَّهُ! اِتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ ، وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Firman Allah dalam Ayat 208 Surah Al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾

Muslimin Muslimat yang diberkati Allah,

Saya berpesan kepada sidang jamaah sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah selalin daripada ketakwaan seorang hamba kepada-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan di dunia mahupun di Akhirat.

Muslimin Muslimat yang diberkati Allah,

Kedatangan ‘Eidil Fitri untuk sekian kalinya disambut dengan gema takbir dan tahmid membesar dan memuji Allah oleh seluruh umat Islam sedunia tidak kira pangkat ataupun harta, tidak kira darjat ataupun usia, tidak kira bangsa atau negara. Ucapan kalimah ini dilaungkan penuh semangat sebagai tanda kemenangan gemilang sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat selepas berjaya menewaskan musuh dalam peperangan Badar, peperangan Ahzab, pembukaan Kota Makkah dan beberapa siri peperangan yang lain dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. Laungan yang penuh semangat itu mesti diteruskan oleh kita sebagai tanda syukur kepada Allah di atas nikmat berhari raya dan anugerah nikmat Islam yang dapat dikecapi hasil daripada perjuangan umat terdahulu yang sanggup mengorbankan masa, harta malah nyawa mereka semata-matauntuk memastikan Islam tersebar serata dunia. Kalimah kemenangan ini juga dilaungkan sempena kemenangan melawan nafsu dengan berpuasa sebulan Ramadhan dan juga melawan kasih kita terhadap harta dengan mengeluarkan zakat.

Kedatangan Syawal menandakan berlalunya ramadhan bulan yang penuh rahmat dan pengampunan dosa. Entah kita dapat menyambut lagi kedatangan Ramadhan akan datang ataupun tidak hanya Allah yang Maha Mengetahui. Perasaan sedih dan sayu yang menyelubungi diri dengan pemergian Ramadhan bersama Lailatul Qadar tidak dapat mengubah segalanya melainkan diri kita dapat berubah ke arah yang terbaik dari segi ibadah dan akhlak. Janganlah pula proses tarbiyah akan terhenti dengan berlalunya Ramadhan kerana kita tidak mahu menjadi umat yang celaka iaitu umat yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esok bertambah buruk daripada hari ini. Pastikan kita menjadi umat yang terbaik iaitu umat yang hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini dari segi ibadah, akhlak dan sebagainya.

ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Gema takbir dan tahmid bagi menandakan kemenangan tidak akan cukup sekadar dengan hanya berjaya mendirikan ibadah fardhu sahaja sperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain sedangkan kita tidak pernah diberi peluang untuk merasai betapa nikmatnya keadilan perundangan Islam, untungnya menggunkan sistem ekonomi Islam dan terjaminnya hak orang Islam dan bukan Islam di bawah naungan perlembagaan negara Islam. Kehebatan sistem Islam diakui oleh kuasa besar barat apabila selepas berlakunya peperangan dunia kedua mereka menggunakan Al-Quran dalam mencari jalan penyelesaian ke arah mentadbir negara tetapi dalam masa yang sama mereka juga berusaha untuk menjauhkan Al-Quran daripada dilaksanakan hukunya oleh umat Islam.

Bermula daripada penjajahan sehingga kini, kita hanya mampu melihat sistem Islam di dalam kitab-kitab feqah sahaja tanpa mampu dilihat ia terlaksana di atas bumi yang nyata walaupun kegagalan demi kegagalan perundangan berdasarkan ideologi dan sistem ciptaan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial terutama yang semakin berat seperti penagihan dadah, kecurian, perzinaan, perkosaan, rasuah, pecah amanah namun para pemimpin lebih rela mencari sistem yang rapuh dab reput seperti sarang labah-labah daripada memberi peluang kepada Islam untuk dilaksanakan. Benarlah Firman Allah dalam ayat 41 Surah Al-‘Ankabut:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.”

Muslimin Muslimat yang diberkati Allah,

Gema takbir dan tahmid yang berkumandang ini juga menunjukkan bahawa kita begitu menginginkan agar kebajikan, kepentingan serta kekayaan hasil pendapatan negara dapat diagihkan secara menyeluruh bukannya berkisar di kalangan sesetengah golongan sahaja. Ingatlah kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz bahawa jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi jika pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika Damsyik dan Syria diancam serangan tentera TarTar maka pemerintah memutuskan untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan. Di tengah keresahan rakyat yang tidakmampu membayar cukai itu maka tampillah Syeikh ‘Izzuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan Ulamak menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi kaki tangan pemerintah sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat. Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi untuk membiayai peperangan itu. Inilah keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang menikmatinya tetapi apabila ditimpa kesusahan maka hanya rakyat yang menanggungnya.

Dalam memastikan keharmonian dan kemajuan yang stabil antara kebendaan dan kerohanian maka kerjasama antara pemimpin dan ulamak amatlah penting kerana mereka menjadi tunjang utama keutuhan negara. Jika rosak pemimpin maka akan binasalah negara, begitu juga apabila rosaknya ulamak maka akan huru-haralah negara. Oleh itu pemimpin mesti bersifat terbuka apabila ditegur kerana tersalah dan ulamak pula mesti berani dalam memberi nasihat. Jangan pula pemimpin terpedaya dengan kata-kata ulamak dunia yang mengampu di mana peringatan mengenainya pernah dicatat dalam Qanun Acheh Darussalam oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam seorang pemerintah Kesultanan Melayu Islam Acheh di mana antara katanya: “Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada bersahabat dengan ulamak jahat dan ulamak jahil dan ulamak tamak iaitu ulamak yang suka memuji raja dan perbuatannya mengharap keredhaan raja. Maka ulamak itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulamak itulah yang membuat negeri huru-hara dan memecah belahkan rakyat seperti Dajjal.”

ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Kita begitu mengharapkan agar laungan tahmid tanda kesyukuran dan takbir tanda membesarkan Allah ini bukan hanya disebut di bibir sahaja tetapi inshaAllah ia turut memberi kesan kepada hati dan kelakuan kita dalam menyatakan kesungguhan dan keyakinan kepada seluruh ajaran Islam dari segi ibadah, perundangan, perlembagaan dan cara hidup Islam. Kalimah suci yang dilaungkan secara satu suara dan satu nada ini melambangkan erti perpaduan di mana kita umat Islam mesti berdiri dan bergerak seiring sekata sehati sejiwa dalam memastikan keharmonian sejagat. Kejayaan Rasulullah SAW menyatukan umat arab dan bukan arab seperti Bilal bin Rabah dari Afrika, Suhaib dari Rom Sulaiman dari Farsi dan lain-lain dengan Islam membuktikan Islam lah jalan terbaik untuk menyatukan seluruh umat manusia. Keadilan dan kehebatan perlembagaan serta perundangan Islam pernah dirasa oleh masyarakat cina, india dan melayu ketika Islam menguasai negara-negara ini selama beratus tahun.

Oleh itu jika kita satukan semua bangsa di negara ini dengan semangat kebangsaan maka adalah merbahaya kerana setiap bangsa akan menjaga kepentingan dan menuntut hak masing-masing sebagai warganegara. Setiap bangsa samada melayu, cina, india akan bersaing sesama mereka dalam mencari kuasa politik, ekonomi di mana bangsa yang berjaya menguasai perkara tersebut akan berjaya menguasai bangsa lain. Jumlah umat Islam makin bertambah, tetapi pada hakikatnya tidak berperanan sebagai seorang muslim ditambah lagi tipisnya pegangan agama maka kedudukan kita berdasarkan bangsa semakin lemah. Sebelum terlambat maka yakinlah kita bahawa dengan mejadikan Islam sebagai asas perpaduan maka kita akan aman di mana Islam boleh dianuti semua bangsa. Manakala orang bukan Islam yang tidak mahumemeluk Islam turut dapat merasai keadilan dan keindahan Islam di mana perkara ini tidak terdapat dalam agama mereka. Dengan ini lama kelamaan mereka juga akan tertarik kepada Islam samada mereka memeluk Islam ataupun sekurang-kurangnya mereka tidak melawan Islamsetelah merasai keindahan Islam sebenar. Ingatlah bahawa kita bangsa melayu dimuliakan oleh Allah dengan Islam dan bangsa melayu akan hina kerana meninggalkan cara hidup Islam. Firman Allah dalam Ayat 103 Surah Ali-Imran:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah sekalian kamu dengan tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuhan maka Allah menyatukan hatimu lalu jadilah kamu bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraja lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ. 



Khutbah Kedua

ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ،
ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ،
ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمدِ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَزُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعِاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَبِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ  إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّاىَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقوْنَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. 

Firman Allah Ta’ala dalam Ayat 134 Surah Ali-Imran:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣٤﴾

Maksudnya: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di masa senang mahupun susah, dan orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Sebelum kita beredar keluar dari rumah Allah yang mulia ini, ayuh sama-sama kita mendengar beberapa pesanan yang akan disampaikan oleh khatib:

Pertama: Dalam kegembiraan dan keseronokan menyambut hari raya janganlah kita melupakan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah kepada kebajikan anak-anak yatim, fakir miskin yang berada di sekeliling kita. Juga tidak lupa kepada saudara seIslam kita yang terpaksa menyambut hari raya di celah-celah kezaliman dan penindasan musuh Allah seperti umat Islam di Palestin, Syria, Mesir, Rohingya, dan sebagainya.

Tanpa ingatan kepada mereka yang berada di dalam kesusahan maka seorang itu sanggup melupakan tanggungjawabnya terhadap ahli keluarga, seseorang sanggup mencari jalan untuk menjatuhkan kawannya sendiri demi menjaga kedudukannya dan seorang pemimpin sanggup memerah seluruh keringat rakyatnya demi mencapai kesenangan peribadi serta mengkhianati amanah Allah terhadap rakyat jelata.

Kedua: Dalam kemeriahan hari raya janganlah kita lupa kepada batas-batas agama yang wajib dijaga seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, hiburan yang melalaikan. Jangan kita samakan hari raya kita dengan sambutan Krismas oleh penganut kristian dan jangan kita cemarkan kemuliaan hari raya dengan majlis maksiat sebagaimana yang biasa dilakukan oleh mereka yang menyambut sambutan tahun baru yang dipenuhi dengan maksiat bagaikan berseronok menyambut pembebasan Iblis dan Syaitan daripada dibelenggu sepanjang Ramadhan yang baru lalu.

Ketiga: Di samping itu rebutlah juga peluang untuk menambahkan saham Akhirat dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal bagi menyahut sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ (رواه مسلم)

Maksudnya: “Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.”

Keempat: Islam amat menitik beratkan soal ekonomi. Islam menganjurkan pencarian harta yang halal yang menjadi asas tunjang dalam perbahasan lima kewajipan yang mesti diraikan bagi seorang Islam di dalam maqasid syariah. Antaranya kewajipan menjaga harta serta galakan mengumpul harta halal dan bersih serta mengurusdan menggunakan harta tersebut ke jalan kebaikan yang memberi manfaat kepada diri serta orang lain. Dewasa ini pengurusan ekonomi bagi sebahagian individu semakin parah, terutamanya dari kalangan umat Islam akibat kesilapan mengurus harta. Menurut statistik pada bulan Jun 2015, hampir seratus sepuluh ribu orang telah diisytihar muflis antara lingkungan umur 35 hingga 44 tahun.

Justeru marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah memohon kepada-Nya dengan penuh khusyuk dan tawadhuk agar dikurniakan keimanan yang kuat dan mantap dan ditetapkan pendirian kita dalam mengamalkan tuntutan Islam khususnya sebelas bulan kehadapan yang akan datang ini, mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah di dunia mahupun di Akhirat kelak.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ.
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْف عَنَّا وَعَنْ وَالِدِينَا وَعَنْ جَمِيعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً ، وَيَقِيْنًا صَادِقًا وَلِسَنًا ذَاكِرًا وَقَلْبًا خَاشِعًا وَعَمَلًا صَالِحًا مُتَقَبَّلًا.
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ. اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّشِدِينَ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ ، وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ أَعْدَآءَكَ  أَعْدَآءَ الدِّينِ.
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَان نَزْرِين مُعِزُّالدِّينِ شاه ابْنِ الْمَرْحُوم سُلْطَان أَزْلَن مُحِبُّ الدِّين شاه الْمَغْفُورُلَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ وَكَذَلِكَ راج فرميسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم، كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُورِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ الله ! اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، ٱللَّهُ أَكْبَرُ،ٱللَّهُ  أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمدِ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com



No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B