Thursday, April 2, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 03 APRIL 2015M / 13 JAMADIL AKHIR 1436H



“AMALAN MENGHADAPI UJIAN”

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Muslimin yang dikasihi Allah,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Kehidupan kita di dunia ini boleh kita ibaratkan seperti roda, kadang- kadang berada di atas dan kadang- kadang berada dibawah. Adakalanya suka adakalanya duka, ada ketikanya tersenyum ada ketikanya menangis, kadangkala dipuji tapi pada suatu saat kita dicaci. Justeru, janganlah kita harapkan ada keabadian dalam hidup ini.

Oleh sebab itu, agar kita tidak terumbang-ambing dan agar tetap bersemangat dalam menghadapi segala kemungkinan rintangan hidup, kita harus memiliki pegangan dan amalan yang dapat menjadi sumber kekuatan pada diri kita. Tiga amalan baik yang patut kita amalkan tersebut adalah Istiqomah, Istikharah dan Istighfar.

Yang pertama Istiqomah, Istiqomah adalah kita sentiasa konsisten dalam melaksanakan ibadat kepada Allah S.W.T.

Dalam menggambarkan betapa pentingnya istiqomah ini sampai Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada sahabat Baginda di dalam Hadith :

" عَن سُفْيَانَ بن عَبدِاللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ, قُلْ لِي فِي الإسلَامِ قَوْلًا لَا أَسأَلُهُ عَنْهُ بَعْدَكَ ,وَفِي حَديث أبِي أُسَامَة: غَيْرَكَ. قَالَ : قُلْ أَمَنْتُ بِااللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ " 

“ Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi Radiyallahuanhu berkata : aku telah berkata “ wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku pesan dalam Islam sehingga aku tidak perlu bertanya kepada orang lain selepas engkau”. Di dalam hadith Abu usamah: selain engkau. Baginda S.A.W menjawab : “ Katakanlah Aku telah beriman kepada Allah kemudian beristiqomah .” ( HR Muslim )

Mereka yang beristiqomah akan sentiasa tetap dalam akidah mereka dan tidak akan goyah iman mereka jika diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian. Jika poket kering atau tebal, mereka tetap melihat kepada halal dan haram, dicaci atau dipuji sujud kepada Ilahi tidak pernah berhenti. Meskipun memiliki pelbagai kenikmatan dia tidak tergoda untuk melakukan kemaksiatan.

Mereka inilah yang dipuji oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran surat al-Fushshilat ayat 30 :

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian tang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan untukmu”.

Sidang Jumaat Rahimakumullah,

Amalan yang kedua adalah Istikharah, iaitu selalu memohon petunjuk daripada Allah dalam setiap langkah dengan penuh pertimbangan pada setiap keputusan yang akan diambil.

Setiap orang mempunyai kebebasan untuk berbicara dan melakukan sesuatu perbuatan, akan tetapi menurut Islam, tidak ada kebebasan tanpa batas dan batas-batas tersebut adalah aturan-aturan agama yang Allah SWT telah tetapkan melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Jika kita meneliti kehidupan kita pada hari ini, adakah setiap urusan yang kita lakukan semuanya bersandarkan kepada aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT? Jawapannya adalah terletak pada diri kita sendiri.

Maka sebagai seorang muslim yang benar, kita perlulah berfikir berkali-kali sebelum melakukan tindakan atau mengucapkan sesuatu ucapan dengan sentiasa memohon petunjuk daripada Allah S.W.T

Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضي اللَّه عَنْه قَالَ رَسُوْلُ اللَّه صلى عليه وسلم: " مَنْ كَانَ يُؤمِنْ بِااللهِ وَاليَوْمِ الأَخِر فَلْيَقُل خَيْرًا أَوْ لِيصمُتْ "

"Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka berkatalah yang baik atau diam." (HR Bukhari)

Para pujangga juga bermadah “Berfikirlah hari ini dan berbicaralah pada esok hari.” Kalau ucapan itu tidak baik apatah lagi sampai menyakitkan perasaan orang lain maka tahanlah, jangan diucapkan, sekalipun menahan ucapan itu terasa sakit pada diri sendiri. Namun jika ucapan itu benar dan baik maka katakanlah mudah-mudahan ia akan memberatkan timbangan kita di akhirat nanti.

Sebagai seorang muslim yang beriman, kita hendaklah senantiasa melazimi Istikharah dalam segala tingkah laku agar kita benar-benar bertindak secara rasional dan yang penting mendapat keredhaan di sisi Allah S.W.T dan tidak menimbulkan kekecewaan di kemudian hari nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Amalan yang ketiga adalah beristighfar, iaitu selalu bermuhasabah diri dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T. Setiap orang pernah melakukan kesalahan samada dalam keadaan sedar atau tidak. Setiap kesalahan dan dosa itu sebenarnya penyakit yang merosakkan kehidupan kita. Oleh kerana itu penyakit tersebut wajib kita ubati sebelum ia menjadi lebih parah. Jika kita melihat pada akhir-akhir ini banyak ujian besar kita hadapi yang mana ujian ini mungkin disebabkan oleh kesalahan yang kita lakukan sendiri.

Saat kita mengingati akan kesalahan-kesalahan yang lalu, maka segeralah kita beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Moga-moga dengan taubat kita diterima Allah SWT.

Dalam persoalan ekonomi pula, jika rezeki Allah tidak sampai kepada kita, di situ mungkin disebabkan kemalasan daripada diri kita sendiri, maka yang perlu diubati adalah sifat malas itu. Kita tidak boleh menjadi umat yang pemalas kerana malas itu adalah sebahagian dari musuh yang wajib kita perangi. Oleh itu sama-samalah kita meningkatkan produktiviti kerja seharian.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلحَمْدُ لِلَّهِ القَائِل

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨

“Wahai golongan beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya terhadap segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hashr : 18)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Sekalian,

Khatib ingin berpesan pada diri yang lemah ini dan sidang jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan peratus amalan kita kepada Allah S.W.T sementara nyawa masih dikandung badan. Moga-moga dengan amalan yang kita laksanakan ketika masih di dunia ini bakal menjadi bekalan apabila kita bertemu dengan Allah SWT di akhirat nanti.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 49 :

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا ﴿٤٩

Maksudnya: “ Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka Engkau akan melihat orang-orang Yang berdosa itu, merasa takut akan apa Yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa Kitab ini demikian keadaannya? ia tidak meninggalkan Yang kecil atau Yang besar, melainkan semua dihitungnya!" dan mereka dapati Segala Yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.”

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِىْ بِلَادِنَا هَذَا وَفِىْ الْعِرَاقِ وَفِىْ فَلَسْطِيْنِ وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.

اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendukung-pendukungnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agamamu dan segala sekutunya, engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam. Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment