bersama kepimpinan ulamak




Thursday, February 26, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 27FEBRUARI 2015M / 8 JAMADIL AWWAL 1436H



“DADAH…KESANNYA MEMBINASAKAN”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاَإِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini untuk menyampaikan peringatan agar kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dan melakukan segala yang diperintahkanNya dengan bersungguh-sungguh dan dengan jalan sabar. Sesungguhnya kejayaan setiap mukmin itu disertai dengan kesabaran. Semoga kita dikurniakan rahmat dan maghfirah dalam kehidupan dan sentiasa di bawah naungan hidayahNya.

Pada tanggal 19 Februari setiap tahun, kita akan diingatkan dengan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah Jumaat yang bertemakan “Dadah...Kesannya Membinasakan”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Gejala penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Seluruh negara di dunia ini turut menghadapi permasalahan penagihan dadah. Tidak dinafikan, peranan di setiap lapisan masyarakat merupakan faktor utama bagi merealisasikan keberkesanan serta kejayaan menangani gejala ini. Firman Allah Azza Wajalla dalam surah al-Ma`idah ayat 2:

"...وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ‌ۖ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَالْعُدْوَٲنِ‌ۚ..."

Maksudnya: “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ...”

Sidang Jumaat Yang Budiman,

Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku pengguna ia apabila disalahgunakan. Akibat dari kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung hidup kepadanya.

Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS dan Hepatitis B. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial.

Dadah jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah dadah jenis perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY, Yaba, ice, syabu dan ectacy. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu seperti keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan manifestasi tingkahlaku ganas dan emosi yang terjejas.

Negara kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan-bahan lain yang disalahgunakan iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan inhalan seperti gam boleh menyebakan kesan buruk serta merta seperti berhalusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan menyebkan kerosakan sel-sel otak serta boleh mengakibatkan kematian.

Penyalahgunaan air ketum juga semakin membimbangkan di negara kita. Secara tradisionalnya, air ketum atau air daun biak dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit. Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan penggunanya mengalami kesan-kesan seperti dadah jenis morfin; iaitu rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh tidur.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Dan Dirahmati Allah,

Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, 30 Oktober 2005) dan Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perlis (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke-12, 30 Oktober 2013) telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan Negara Malaysia bebas daripada dadah, kita haruslah bersatu padu menggembleng tenaga tanpa mengira perbezaan ideologi, agama dan juga bangsa. Selain dari pihak berkuasa, kitalah yang harus memainkan peranan ini sebagai satu pasukan sukarelawan yang utuh. Seperti yang kita semua sedia maklum, masyarakat hari ini semakin terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada diri dan juga negara. Mimbar ingin sekali lagi mengingatkan bahawa dengan membiarkan ummah berada dalam keadaan yang lemah, mundur serta dibelenggu dengan perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, akan menghancurkan sebuah tamadun yang kukuh. Sabda Rasullullah s.a.w.;
اَلمُؤمِنُ لِلْمُؤْمِن كَالبُنْيَان يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضَ وَشَبَكَ بَيْنَ أَصَابِعَهُ
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang lainnya. (Rasulullah s.a.w. sambil memasukkan jari-jari tangan kecelah jari-jari lainnya)”(HR. Muttafaqun `alaih)

Penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan bermula seawal usia kanak-kanak / remaja. Peringkat umur yang kritikal seperti inilah perlu diberi perhatian terutama dalam pencegahan dadah. Peranan ibu bapa juga amat penting dalam menangani masalah dadah ini. Ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak - anak dengan mengikuti segala perkembangan mereka dari semasa ke semasa. Anak – anak muda ini perlu dibimbing kerana jika mereka terlibat dengan masalah dadah, ia boleh mengancam masa depan ummah di masa hadapan kerana telah menular di kalangan generasi muda seawal usia murid-murid sekolah rendah, remaja dan dewasa.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Kita semua haruslah sedar bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita semua telah dipertanggungjawabkan untuk sama-sama membendung masalah ini dengan apa cara sekalipun. Apa yang kita semua sudah sedia maklum, dadah banyak dibawa melalui pintu-pintu masuk utama negara dan disinilah semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bukan hanya pihak berkuasa sahaja tetapi kita juga sebagai sebuah anggota masyarakat yang prihatin akan masalah ini haruslah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Perkara ini haruslah dibendung habis-habisan kerana kesan dari penyalahgunaan dadah ini terutamanya dari sudut kesihatan dan sosial perlu dilihat secara objektif oleh semua pihak. Ini adalah kerana penyalahgunaan dadah berkait rapat dengan masalah sosial yang lain seperti melahirkan anak luar nikah, ponteng sekolah, pelanggaran disiplin dan peraturan di sekolah, penularan penyakit berjangkit dan juga budaya merempit.

Ingatlah wahai sidang Jumaat sekalian, kita akan dipersoalkan di akhirat kelak dengan apa yang telah kita lakukan. Melihat kepada permasalahan dadah yang melanda anak bangsa kita sekarang, kita tidak seharusnya duduk bergoyang kaki bersenang lenang kerana mereka inilah penggerak masa depan dan penentu kemajuan negara. Mimbar ingin mengingatkan semua, bahawa perubahan yang ingin kita laksanakan hendaklah bermula dari dalam diri kita sendiri dan barulah kita mampu untuk melaksanakan perubahan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila diri kita kukuh dengan pegangan agama, insya-Allah kita mampu melaksanakan perubahan untuk melawan gejala negatif yang menggugat keharmonian negara.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر، أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran penting yang dapat diambil dari khutbah ini.

1. Penyalahgunaan dadah adalah HARAM dan merupakan penyumbang ke arah masalah sosial Negara.
2. Semua pihak perlu menggembeling tenaga dan bersatu padu dalam membanteras penyalagunaan dadah ini.
3. Dadah membawa kemudaratan dan kesan yang sangat buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Akhirnya marilah kita sama-sama merenungkan firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات،إِنَكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الْدَعَوَات،وَيَاقَاضِيَ الْحَاجَات. 

Ya Allah!! kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

Tunaikanlah hasrat dan hajat kami untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkesan, berikanlah kami hidayah, kekuatan, kesihatan, ketaatan yang tidak berbelah bagi kepadaMu. Pemudahkanlah segala urusan kami, limpahkanlah kami rezeki yang engkau redhai. Limpahkanlah juga segala kedamaian, keamanan, keharmonian, kemakmuran dan rahmatMu kepada negeri dan Negara kami ini secara khususnya, dan juga kepada semua Negara umat Islam di seluruh dunia secara amnya.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.  


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B