Thursday, January 15, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 16 JANUARI 2015M/25 RABIUL AWWAL 1436H



MEMIKUL TANGGUNGJAWAB ISLAM SECARA BERSAMA

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Rahimakumullah,

Umur kita semakin bertambah dan hakikatnya kita semakin menghampiri garis penamat kehidupan yang sementara ini, maka jangan berlengah dan bertangguh lagi untuk mempersiapkan diri mencari bekal dalam perjalanan kita menemui Allah SWT. Dan sebaik-baik bekalan ialah kita mendisiplinkan diri kita mentaati perintah Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Seperti kita maklumi , negara kita masih belum reda sepenuhnya dari musibah banjir, banyak harta benda yang musnah dan hanyut, tiba - tiba entah dari mana timbul gadis-gadis muslimah bertudung yang tenggelam dan hanyut dengan gelombang K-Pop selepas gangnam style rela diperlakukan dengan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Islam dan budaya timur. Dipeluk dan dicium di atas pentas sambil disorak oleh hadirin. Ini satu tragedi kepada umat Islam di Malaysia tatkala orang lain bertungkus lumus memulihkan keadaan dan emosi mereka yang diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir.

Sesungguhnya tragedi ini telah membuktikan arus ganas liberalisme iaitu satu fahaman yang cuba memenuhi semua kehendak manusia walaupun dengan cara meruntuhkan nilai-nilai agama dan budaya ,telah berjaya meruntuhkan tembok-tembok pemisah jatidiri Islam yang telah dibina sebelum ini.

Seusai isu ini disebarluaskan di dalam media, maka antara perkara yang paling mudah dilakukan ialah menunjukkan jari telunjuk menyalahkan pihak itu dan pihak ini. Antara pihak yang sangat popular dipersalahkan dalam isu-isu ini ialah para Mufti, Jabatan Agama, Majlis Agama, para ulama dan para pendakwah. Walaupun tidak dinafikan mereka itu bukan maksum dan masih banyak perkara perlu diperbaiki, namun perkara asas yang wajib diinsafi ialah menegakkan Islam, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab semua pihak, tidak hanya dibebankan 100% kepada pihak-pihak yang disebutkan tadi. Selalunya pihak-pihak ini hanya dirujuk selepas berlaku. Mengapa tidak dirujuk sebelum diadakan program tertentu? Sebagai contoh: JAKIM telah mengeluarkan satu garis panduan Hiburan Dalam Islam semenjak tahun 2007, tetapi berapa banyak pihak yang merujuk garispanduan ini sebelum mengadakan acara-acara hiburan.

Sidang Jumaat Sekelian,

Saya menyeru pihak yang sayang kepada Islam, syariat dan syiarnya, agar menilai sesuatu program yang akan diadakan mahupun bakal diluluskan samada ia membawa kebaikan dan keuntungan kepada Islam dan umat Islam atau sebaliknya. Janganlah kita menari mengikut rentak fahaman liberalisme yang menganggap apa jua garispanduan mahupun undang-undang yang mereka anggap menghadkan kebebasan individu akan dikritik dan ditentang dan semua agensi yang ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang ini akan dilabelkan dengan berbagai label sepertimana mereka menuduh JAKIM menganjurkan fahaman ekstremisme melalui khutbah-khutbah Jumaat.

Jika sesuatu tindakan undang-undang terpaksa diambil oleh pihak berkuasa agama terhadap individu mahupun pihak yang menganjurkannya, maka akan muncullah barisan peguam-peguam pejuang hak asasi atau pejuang nafsu manusia dan dalam masa yang sama masyarakat diajak untuk menganggap agensi agama hanyalah agensi penghukum sehingga tenggelam segala usaha diplomasi dan dakwah selama ini sedangkan penguatkuasaan undang-undang masih boleh dielak awal-awal lagi apabila pihak yang menganjurkan mahupun pihak yang meluluskannya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama.

Kepada kementerian yang berkaitan, budaya Bollywood mahupun Hollywood ataupun budaya hiburan import dari Korea ini membawa pakej yang merbahaya kepada jati diri umat Islam jika tidak dikawal selia dengan baik. Kalau budaya bollywood membawa fahaman pluralism agama maka K-Pop membawa sekali fahaman liberalisme dan Kristianisasi. Kajian rambang yang dilakukan oleh A. Karim Omar mendapati hampir 80% dari artis K-Pop beragama Kristian . Selebihnya terdiri dari golongan atheis , budha dan kepercayaan animisme. Kebanjiran filem Korea di stesen tv di Malaysia juga menyumbang kegilaan remaja wanita kepada artis artis ini. Bukan setakat aksi remaja muslimah yang rela dipeluk oleh artis K-Pop ini kita minta supaya dihentikan bahkan adegan peluk cium para pelakon dan artis juga wajib diberhentikan.

Kepada ibu bapa awasi lah anak-anak daripada teruja dengan budaya asing seperti bollywood, hollywood, gangnam style serta k pop dan lain-lain. Orang Korea mempunyai banyak sifat yang boleh dicontohi seperti kuat kerja, disiplin tetapi mengapalah budaya negatif juga yang diminati.

Pesanlah kepada anak-anak kita agar sentiasa menjaga kehormatan diri dan maruah Islam dan jangan jadikan perbuatan kita sebagai fitnah kepada Islam dan mereka yang benar-benar taat kepada Allah. Perbuatan muslimah yang bertudung sanggup untuk dipeluk dan dicium oleh lelaki yang bukan mahram telah mencemar dan membawa fitnah kepada mereka yang benar-benar ikhlas menjalankan syariat Allah dengan bertudung.

وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا ﴿١٦﴾
Maksudnya: "Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya." (Surah al-Isra’ : 16)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلهِ الْقَائِلِ،
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ ﴿٧٩﴾

Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al-Maidah ayat 79)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ini adalah hari yang paling mulia daripada tujuh hari di dalam seminggu. Hari Jumaat adalah hari yang Allah SWT berikan keafdhalan di dalamnya. Jadi hari ini jugalah hari yang terbaik saling nasihat menasihati dan tegur menegur sesama kita secara beradab dan berhemah. Kepada yang menegur, tegurlah dengan ikhlas dan yang ditegur, marilah sama-sama kita menerima dengan berlapang dada.

Peliharalah diri kita masing-masing daripada menjadi penyebab hubungan sesama Islam menjadi renggang disebabkan kata-kata kita mahupun tulisan-tulisan menerusi sms, what’sapp. Facebook dan sebagainya. Carilah lebih banyak titik-titik persamaan daripada kita menyelongkar semula titik-titik perbezaan. Gerunkanlah hati mereka yang berniat buruk kepada Islam dan muslimin dengan tentera kasih sayang sesama kita.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، إِنَكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الْدَعَوَات، وَيَاقَاضِيَ الْحَاجَات. 

Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

Ya Allah, hanya padamu kami berserah memohon keampunan kepadaMU, redakanlah bencana yang kami alami, lindungilah kami semua dari murkamu, hindarkanlah kami dari bencana-bencana yang lebih besar yang tidak mampu kami tanggungi. Kasihanilah kami semua Ya Allah! Sesungguhnya engkaulah penentu segalanya, bantulah kami menghadapinya. Kami bermohon kepadamu dengan penuh kerendahan hati, engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Makbulkan lah doa kami Ya Allah..... Amin Ya Rabbal ‘alamin.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment