bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Thursday, January 8, 2015

KHUTBAH - 09 JANUARI 2015M/18 RABIUL AWWAL 1436H



MEMBELI SYURGA DENGAN HARTA

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ   لِلَّهِ الْقَائِلِ،
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾

Bermaksud: “Bandingan (derma) mereka yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. (Ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”. (al-Baqarah 261)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله. إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Muslimin yang dikasihi Allah,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah

“Membeli syurga dengan harta”. Itulah tajuk khutbah pada hari Jumaat yang berbahagia ini. Nabi Muhammad S.A.W. pernah memberitahu kita di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ، رواه مسلم

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga(perkara): Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Hadis yang masyhur ini seringkali disampaikan di mimbar-mimbar masjid, seringkali disampaikan daripada lisan khatib-khatib yang membaca khutbah, memberikan pengajaran yang sangat besar kepada kaum muslimin berkenaan hari selepas mati.

Seluruh anak Adam pasti akan menghadapi mati. Selepas mati tidak akan ada amal ibadah yang berterusan pahalanya kecuali tiga perkara. Di antaranya ialah sedekah jariah. Sedekah jariah adalah amalan yang tidak akan putus pahalanya sampai bila-bila, walaupun kita telah mati. Jadi sedekah bukanlah tajuk kecil di dalam Islam. Kalau kita periksa seluruh kitab-kitab hadis; Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, dan Ibnu Majah, pasti kita akan temui satu bab di mana imam-imam hadis menjadikannya satu bab khusus, yakni bab sedekah.

Sidang Jumaat rahimakumullah

Sedekah bukan tajuk kecil di dalam Islam. Lihatlah ketika mana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA berada di dalam peristiwa Tabuk. Ketika itu kaum muslimin ingin melancarkan jihad ke atas Rom, tetapi mereka kekurangan dana. Baginda SAW berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan kemelut ekonomi dan kekurangan dana untuk berjihad. Lalu baginda SAW mengumpulkan hampir seluruh sahabat dan bangun menyampaikan khutbah khusus berkenaan sedekah untuk Tabuk. Baginda SAW menyampaikan khutbah tersebut dengan penuh semangat, membuka pintu tabarru’ seluas-luasnya untuk kaum muslimin pada ketika itu.

Kemudian baginda SAW duduk, lantas bangun seorang sahabat iaitu Uthman ibnu ‘Affan RA. Beliau berkata, “Wahai Rasulullah SAW, hari ini aku sedekahkan seratus ekor unta lengkap dengan pelananya pada jalan Allah.”

Ketika Tabuk juga, sebahagian sahabat yang menawarkan diri untuk berjihad bersama baginda tidak dapat turut serta kerana mereka tidak mempunyai binatang tunggangan dan kenderaan untuk ke Tabuk. Ketika itulah ‘Utsman menambahkan sedekahnya sehingga mencapai tiga ratus ekor unta lengkap dengan pelananya fi sabilillah untuk jihad di Tabuk. Subhanallah!!

Begitu pula Abu Bakar RA yang melihat keadaan itu terus pulang ke rumahnya dan kembali membawa empat ribu dirham. Beliau letakkannya di pangkuan Rasulullah SAW. Jika dilihat daripada satu segi tidaklah sedekah Abu Bakar itu lebih banyak daripada sedekah ‘Uthman, tetapi tetap sahaja apa yang Abu Bakar sedekahkan ini lebih banyak daripada sedekah sahabat-sahabat yang lain. Empat ribu dirham yang Abu Bakar sedekahkan pada waktu itu adalah seluruh hartanya. Sehingga Nabi Muhammad S.A.W. tanyakan kepada beliau:

“Wahai Abu Bakar, apa yang engkau tinggalkan untuk isteri dan anak-anakmu di rumah?” Abu Bakar menjawab, “Jangan khuwatir wahai Rasulullah, Allah dan Rasul-Nya aku tinggalkan untuk mereka di rumah.” Subhanallah!

Sahabat-sahabat lain seperti ‘Abdurrahman bin ‘Auf bersedekah beberapa ratus uqayyah perak. ‘Umar bin Al-Khattab bersedekah separuh daripada hartanya. Dalam erti kata yang lain, semua turut menyumbang berdasarkan kemampuan yang ada. Begitu juga para sahabat wanita menanggalkan barang-barang kemas yang mereka pakai dan menginfakkannya dengan setulus hati.

Tuan-tuan Sekalian,

Cuba kita perhatikan mengapa begitu serius sahabat-sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in dalam mengeluarkan harta mereka untuk sedekah. Ketahuilah bahawa mereka membeli syurga dengan harta. Syurga yang luasnya lebih luas daripada langit dan bumi itu, kalau boleh mereka mahu membelinya dengan sebahagian daripada harta mereka.

Seringkali kaum muslimin melihat bahawasanya mengeluarkan harta untuk sedekah merupakan satu bentuk pengurangan harta . Harta yang mereka ada, contohnya RM100 apabila disedekahkan sebahagiannya, mereka melihat baki yang tinggal hanya RM50. Tetapi sebaliknya Nabi Muhammad S.A.W bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Tiga perkara ini aku khabarkan kepada kalian dan kalian peliharalah ia. Pertama, tidak akan kurang harta yang dikeluarkan untuk sedekah, bahkan akan bertambah….” (Riwayat Imam Termizi)

Celikkanlah mata, lihatlah di luar sana. Para ahli sedekah itu makin berkurang atau makin bertambah harta mereka? Lihatlah dengan mata zahir disertai pengamatan dengan mata hati. Namun kenapa kita masih lagi tidak mahu merebut peluang syurga yang dijanjikan.

Jemaah yang dirahmati Allah sekalian

Rasulullah SAW adalah ikon paling unggul dalam sedekah. Di dalam sirah, baginda SAW dilihat seolah-olah seorang yang miskin. Baginda wafat hanya meninggalkan beberapa dinar emas. Beberapa hari sebelum baginda wafat, isteri baginda terpaksa menggadaikan baju besi milik baginda untuk membeli makanan buat keluarga mereka. Seolah-olah tergambar kepada kita bahawa Nabi SAW adalah orang miskin. Namun sekiranya kita amati dan cermati, kita akan dapati bahawa baginda adalah manusia yang sangat kaya, bahkan luar biasa kekayaannya.

Bukankah baginda menikahi seorang wanita saudagar Quraisy bernama Khadijah binti Khuwailid? Jawapannya ialah ya. Bahkan hasil perniagaan dan dagangan mereka menghasilkan pulangan yang amat lumayan. Namun semua laba itu telah digunakan untuk dakwah pada permulaan Islam hingga langsai semuanya hinggakan juga Islam yang sampai ke dalam hati kita pada hari ini ada hubungkait dengan harta infak tersebut.

Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah dan menjadi ketua negara di Madinah. Ketua negara selalunya tidak lepas dari kekayaan harta dan pelbagai. Lihatlah bagaimana Rom, ada tinggalan istana kerajaan Rom. Lihatlah di Parsi, ada tinggalan istana kerajaan Parsi. Lihatlah di China, kekayaan di China mempunyai tembok besar China yang kita semua boleh melihatnya. Cuba lihat di Madinah, di mana tinggalan istana Rasulullah S.A.W? Sedangkan Rasulullah S.A.W adalah ketua negara. Di mana singgahsana Rasulullah S.A.W? Di mana mahkota kebesaran Rasulullah S.A.W. sebagai seorang maharaja? Di manakah baju kebesaran Nabi SAW? Sampai mati pun kita cari di bumi Madinah itu pasti kita tidak akan jumpa.

Lalu di manakah harta Nabi SAW yang banyak? Di manakah harta rampasan perang? Ketika Nabi SAW menjadi ketua kerajaan Madinah, 1/5 harta rampasan perang adalah milik Rasulullah SAW. Di mana harta Nabi? Inilah kata ulamak, “Tangan kanan Rasulullah S.A.W. umpama air yang mengalir dalam berbuat kebaikan sedekah. Tangan kiri Nabi S.A.W. umpama udara yang berhembus dalam memberikan hartanya pada golongan miskin dan fakir. Tidaklah orang yang bakhil duduk bersama-sama Nabi kecuali orang itu pulang menjadi ahli sedekah, kerana terkesan dengan perbuatan sedekah Nabi S.A.W.”

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata, “Nabi S.A.W. adalah manusia yang paling dermawan.” (riwayat Imam al-Bukhari)

Inilah yang diikuti oleh para sahabat R.Anhum. Setapak demi setapak mereka mengikuti Rasulullah S.A.W., menganggap sedekah sebagai satu kaedah yang paling unggul dalam menguruskan harta-harta mereka.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ   لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴿٢٦٧﴾ 

Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Al-Baqarah Ayat 267)


أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 
أَمَّا بَعْدُ..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah

Ini adalah hari yang paling mulia daripada tujuh hari di dalam seminggu. Hari Jumaat adalah hari yang Allah SWT berikan keafdhalan di dalamnya. Jadi hari ini jugalah hari yang terbaik sekiranya kita ingin mengeluarkan infaq yakni sedekah.

Khatib ingin berpesan pada hari ini agar setiap jamaah yang hadir di masjid pada hari ini sebelum melangkah meninggalkan masjid ini, keluarkanlah dan infaqkanlah harta kita di jalan Allah. Belilah syurga dengan harta. Masukkanlah sebahagian harta kita ke dalam tabung-tabung yang masjid yang disediakan. Mudah-mudahan hari ini menjadi titik tolak bermulanya kesedaran kita untuk bersedekah, berinfaq di jalan Allah, mengikuti jejak-jejak Nabi Muhammad SAW dan sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in.

Tuan-tuan sekalian, percayalah bahawa syaitan tidak akan datang kepada kita membisikkan ke telinga-telinga kita supaya kita jangan bersedekah. Tetapi syaitan akan datang kepada kita membisikkan ke telinga-telinga kita supaya kita menangguhkan sedekah, supaya kita bersedekah esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, dan akhirnya kita akan mati sebelum sempat bersedekah.

Allah SWT menjelaskan kepada kita dengan firmannya dalam Surah Al-Munafiqun ayat 10:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٠﴾

Bermaksud : Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku termasuk golongan yang soleh ".


اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، إِنَكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الْدَعَوَات، وَيَاقَاضِيَ الْحَاجَات. 

Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

Ya Allah, hanya padamu kami berserah memohon keampunan kepadaMU, redakanlah bencana yang kami alami, lindungilah kami semua dari murkamu, hindarkanlah kami dari bencana-bencana yang lebih besar yang tidak mampu kami tanggungi. Kasihanilah kami semua Ya Allah! Sesungguhnya engkaulah penentu segalanya, bantulah kami menghadapinya. Kami bermohon kepadamu dengan penuh kerendahan hati, engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Makbulkan lah doa kami Ya Allah..... amin ya rabbal ‘alamin.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B