bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, November 6, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 7 NOVEMBER 2014M / 14 MUHARAM 1436H



“PERSAUDARAAN DALAM ISLAM”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ إِلاَّبِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan yang mulia lagi berkat ini saya ingin memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian agar terus menerus berada di dalam ketaqwaan kepada Allah SWT dengan mengerjakan amal soleh, kerana hanya dengan amalan soleh sahaja akan menjamin kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Di antara peranan yang telah dibawa oleh Islam ialah membentuk manusia, sama ada dari segi orang perseorangan atau pun dari segi kemasyarakatan. Dari segi orang perseorangan, Islam telah menanam di dalam jiwa manusia dasar-dasar pengabdian diri kepada Allah SWT, iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, mengikut hukum-hakam sama ada halal, haram, harus, sunat dan makruh yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan juga yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itulah manusia mencapai martabat kemuliaan yang tinggi, mempunyai nilai yang berbeza dengan makhluk lain sesuai dengan sifat semula jadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Golongan beriman menutup aurat kerana mereka mempunyai harga diri. Mereka sungguh-sungguh menjaga maruah diri, makan makanan yang dihalalkan oleh Allah SWT bahkan menjaga diri daripada perkara-perkara syubhat dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Di samping itu mereka juga mempunyai akhlak dan budi pekerti luhur yang dapat mengawal tindak tanduk mereka sehingga mereka menjadi anggota masyarakat yang layak mentadbir muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat seperti ini adalah perlu untuk mengukukhan hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk-makhluk lain di atas muka bumi ini.

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

Sesungguhnya Islam telah berjaya membentuk masyarakat yang berteraskan keimanan kepada Allah SWT yang mana iman dan Islam telah dijadikan asas hubungan di antara satu sama lain sehingga manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan puak, terdiri daripada berbagai-bagai macam kabilah, dulunya berperang di antara satu sama lain yang mempunyai sempadan dan batas-batas geografi telah berjaya disatukan menjadi umat Islam yang hidup bersaudara di antara satu sama lain berdasarkan kepada asas persaudaraan Islam. Mereka telah menerima kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah SWT;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ - (ســورة  الـحـجــرات: ١٠)

Bermaksud : Hanyasanya mereka yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Atas asas persaudaraan Islam, umat Islam telah menerima Bilal Al- Habashi, Suhaib Al Rumi dan Salman Al Farisi sebagai saudara mereka yang satu, diterima menjadi anggota masyarakat yang tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain sama sebagaimana bangsa Arab yang ada di Mekah ketika itu. Umat Islam dapat menerima Imam Bukhari sebagai ulama hadis yang muktabar walaupun beliau adalah berasal dari Asia Tengah bukan dari Tanah Arab. Masyarakat Melayu menerima Imam Syafie sebagai pemimpin mazhab, walaupun Imam Syafie adalah berketurunan Arab manakala bangsa Arab pula dapat menerima Imam Abu Hanifah walaupun Imam Abu Hanifah berasal dari negeri bukan Arab.

Itulah hubungan persaudaraan di antara umat Islam yang telah dijalinkan oleh ajaran Islam yang maha mulia. Islam telah mendekatkan hati-hati manusia yang ternyata tidak boleh didekatkan oleh sempadan geografi malah harta benda dunia juga tidak berkuasa menyatukan mereka. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 63:

لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ (ســورة الأنفـال: ٦٣)

Bermaksud: Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka.

Saudara kaum muslimin sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kebangsaan telah membantu dalam perjuangan memerdekakan Negara-negara, namun oleh kerana ianya bukan daripada benih Islam dan Islam mengajarkan bahawa unsur akidah yang satu menjadi faktor penyatu umat walaupun datangnya dari berbagai-bagai bangsa. Namun semangat kebangsan ini hanya akan bermakna jika ianya digunakan untuk memimpin umat Islam ke arah melaksanakan Islam yang sebenarnya. Ulama telah memainkan peranan besar menentang segala pengaruh penjajahan yang datang ke bumi Islam, sama ada dalam bentuk jihad mahupun bidang pendidikan. Namun dari sisi lain, penjajahan juga telah berjaya melahirkan ketaksuban kepada bangsa melebihi wala’ kepada agama dan persaudaraan Islam.

Justeru itu, marilah kita menjadi satu umat yang saling sayang menyayangi, bantu-membantu, bela-membela antara satu sama lain bukan atas dasar kita satu bangsa semata-mata tetapi yang lebih utama dan dituntut adalah kerana kita semua satu akidah. Umat Islam yang bukan berbangsa Melayu juga adalah saudara kita tidak kira sama ada dia orang Cina Muslim atau India Muslim ataupun bangsa-bangsa lain. Janganlah kita meletakkan kepentingan bangsa lebih daripada kepentingan agama. Berusahalah untuk mengembalikan bangsa sendiri kepada agama Islam kerana kemuliaan sesuatu bangsa itu adalah sejauh mana ia bepegang kepada ajaran Islam. Usaha ini bukanlah tercela ataupun termasuk dalam larangan asobiyyah. Inilah keindahan Islam apabila dilihat dari sudut jalinan persaudaraan. Kita diikat dengan akidah mengatasi ikatan-ikatan kumpulan, bangsa dan Negara.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.  


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (الحجرات : ١٣)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah tidak menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kita bergaduh dan menunjukkan kehebatan antara sesama manusia. Allah menjadikan kita berbagai bangsa untuk kita saling mengenali sesama kita. Allah juga menjadikan kita berbagai agama agar terbuka peluang dakwah terhadap mereka. Kita wajib melaksanakan tugas dakwah dengan mendekatkan orang bukan Islam kepada agama kita. Begitu juga orang Islam yang masih juga penghayatan dan amalan agamanya. Janganlah menjauhkan mereka daripada Islam dengan ungkapan perkauman dan rasa kebencian terhadap mereka.

Realiti politik Negara pada masa ini seakan-akan membawa gambaran bahawa sokongan orang bukan Islam diperlukan bagi membolehkan umat Islam berkuasa walaupun Umat Islam sebenarnya adalah majoriti. Mana-mana pihakpun memerlukan sokongan mereka bagi membolehkan kita berkuasa. Janganlah sesama kita, ungkapan perkauman dan permusuhan terhadap mereka kita luahkan dan akhirnya pasti akan sampai ke telinga mereka kecuali terang-terangan mereka memusuhi Islam. Namun tatkala memerlukan sokongan mereka kita terpaksa merayu dan melepaskan berbagai hak kita sebagai balasan terhadap mereka. Akhirnya sokongan tersebut hanya membawa rebah dan menjadi musibah bagi kita.

Kita adalah khalifah Allah di bumi. Kuasa pemerintahan tidak akan ada maknanya jika hanya menyebabkan kita terpaksa melonggarkan ikatan kita dengan peraturan agama. Marilah kita bersatu walau bukan dalam kumpulan yang satu, untuk memenangkan Islam dalam setiap situasi yang berlaku. Letakanlah hak Allah dan Rasul mengatasi kepentingan dan kehendak peribadi dan nafsu.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِىْ بِلَادِنَا هَذَا وَفِىْ الْعِرَاقِ وَفِىْ فَلَسْطِيْنِ وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendukung-pendukungnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agamamu dan segala sekutunya, engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam. Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B