bersama kepimpinan ulamak




Ucapan Ramadhan Al-Mubarak Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, November 20, 2014

Khutbah Jumaat - 21 November 2014M / 28 Muharram 1436H



“KEDAULATAN ISLAM TANGGUNGJAWAB SEMUA”

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ للهِ الْقاَئِلِ:
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ (آل عمران:٨٣)

Apakah mereka mencari selain dari agama Allah sedangkan telah tunduk berserah diri segala yang ada di langit dan di bumi samada secara rela dan secara paksa. Dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam menghadapi berbagai-bagai cabaran samaada daripada musuh-musuh Islam mahupun umat Islam sendiri yang Islamnya hanya atas nama semata-mata. Walaupun negara kita pernah diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam, agama negara adalah Agama Islam namun sikap umat Islam sendiri yang tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan Islam menjadikan Islam sebagai agama yang semakin terancam. Ini ditambah lagi dengan serangan berterusan daripada musuh-musuh Islam yang kini lebih banyak didokongi oleh golongan yang hanya mengaku Islam tetapi iktikad, pendirian dan hala tuju perjuangan mereka semata-mata untuk menghalang Islam daripada terus menyekat mereka dari memperhambakan diri kepada hawa nafsu mereka. Mereka hanya menggunakan Islam untuk mendapatkan layanan baik terhadap mereka dan menggunakan Islam bahkan agar orang lain beradab dengan mereka tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pernah beradab dengan Allah SWT dan RasulNya, apatahlagi berakhlak dengan akhlak Islam jauh sekali mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Mereka mentafsirkan Islam sesuka hati mereka dan menyalah tafsirkan Islam bagi melunakkan pandangan masyarakat terhadap mereka. Dalam masa yang sama, mereka menolak segala ajaran Islam yang menyekat nafsu syahwat mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara ancaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini ialah usaha menghalang Islam dikuatkuasakan walaupun ke atas Umat Islam sendiri. Mereka memperkudakan sistem kehakiman negara untuk tunduk kepada kehendak nafsu mereka. Ini dilaksanakan dengan menyeret urusan agama dan ketetapan tuhan untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil yang tidak berasaskan agama. Bermula dengan usaha mencabar Institusi Fatwa yang telah mengeluarkan fatwa sehinggalah kepada tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai bercanggah dengan perlembagaan. Kedua-dua tindakan ini walaupun kelihatannya seperti mempertahankan hak asasi manusia tetapi hakikatnya adalah pencabulan kepada hak Allah SWT sebagai kuasa tertinggi dalam menetapkan hukum terhadap hamba-hambaNya. Undang-undang dunia disalahgunakan semata-mata untuk mencabar kuasa Allah ke atas umat Islam sendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di samping kita berusaha memartabatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang menjamin hak asasi setiap warganegara, kita juga wajib melihat Perlembagaan Persekutuan dari sudut roh keagamaan dan semangatnya dalam menjamin kedaulatan Islam di negara ini. Hak asasi hanya satu sudut kecil daripada perkara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi tidaklah sampai menafikan kedaulatan Islam dan hak umat Islam untuk mengamalkan Islam. Perlembagaan telah menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan urusan keagamaan diletakkan di bawah bidangkuasa negeri yang dinaungi oleh Raja-Raja Melayu. Sebarang bentuk pencabulan terhadap urusan pentadbiran Hal Ehwal Agama adalah merupakan satu penderhakaan terhadap raja dan sultan yang memerintah negeri-negeri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa pada hal-hal yang dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa tertinggi dalam menetapkan sesuatu kes berkenaan Hal Ehwal Islam sebagaimana yang telah diputuskan dalam dua penghakiman Mahkamah Persekutuan yang terdahulu iaitu kes Sulaiman Takrib dan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur. Keputusan tersebut juga adalah tidak sejajar dengan beberapa peruntukkan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan. Mahkamah Rayuan sepatutnya perlu mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan. Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan struktur asas ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah. Namun malangnya peruntukan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan ini sentiasa dicabar oleh musuh-musuh Islam dari semasa ke semasa. Maka kedaulatan Islam hanya dapat dipertahankan jika semua yang terlibat mempunyai jati diri Islam yang kuat dan sentiasa berusaha untuk menghayati Islam sepenuhnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (التوبة:١١١) 

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

اَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dihormati

Islam memerlukan dan menuntut semua penganutnya berjuang dan berjihad demi memastikan kedaulatannya di muka bumi. Umat-umat terdahulu telah mengorbankan segala yang mereka miliki demi memartabatkan Islam sehingga kita semua mendapat rahmat dan hidayah dari tuhan. Amat jauh bezanya Umat Islam yang ada hari ini yang bukan sahaja tidak pernah bersungguh-sungguh menyumbang untuk memartabatkan Islam malah memandang ringan segala ancaman terhadap kedaulatan Islam. Dengan corak kehidupan kita yang sambil lewa dalam melaksanakan ajaran Islam, kita tanpa segan silu mendakwa bahawa Islam kita begitu sempurna dan mengharapkan syurga.

Hamba-Hamba Allah sekelian,

Walau setinggi mana kelulusan kita, walau sehebat mana jawatan kita, walau siapapun kita, tidak ada nilainya di sisi Allah SWT jika kita gagal menjalankan peranan kita sebagai Hamba Allah. Setiap hukum yang kita putuskan bercanggah dengan keputusan Allah, setiap tafsiran mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menafikan Hak Allah, setiap sokongan dan bantuan kita kepada golongan yang memusuhi agama Allah, setiap apa sahaja yang kita usahakan yang membawa masalah kepada agama Allah, akan dinilai dan menjadi tiket untuk kita ke neraka Allah SWT. Di Akhirat kelak kita akan menyesal dan mengharapkan agar kita dilahirkan semula sebagai tanah kerana sebagai tanah tidak memungkinkan kita memegang jawatan dan peranan yang membawa kita ke neraka.

Bagi mengakhiri khutbah pada minggu ini mimbar ingin memaklumkan kepada sidang jemaah sekelian bahawa Kerajaan Negeri Perak menjemput kepada semua muslimin dan muslimat untuk menghadiri majlis tersebut pada 27 November 2014M (hari khamis) untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dengan diadakan bacaan yasin dan doa selamat di Masjid Ridwaniah (Masjid Daerah Kuala Kangsar) selepas Maghrib. Selepas solat isya’ pula akan diadakan forum perdana hal ehwal Islam bersempena dengan hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang akan disiarkan secara langsung di tv1 . Forum tersebut akan diadakan di dewan Jubli Perak Bersebelahan Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar yang bertajuk : “ISLAM, MELAYU DAN RAJA”. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat mencemar duli ke kedua-dua majlis tersebut. Oleh itu, mimbar sekali lagi mengalu-alukan kedatangan muslimin-muslimat ke majlis tersebut.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان  نزرين مُعِزُّ الدِّيْنِ شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن اَلْمَغْفُوْرُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


Thursday, November 13, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 14 NOVEMBER 2014M/ 21 MUHARAM 1436H



“HARAM ORANG LELAKI MENYERUPAI WANITA”

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKELIAN

Saya menyeru diri saya sendiri dan sidang Jemaah sekalian marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala larangannya. Sekiranya kita mulia pada pandangan manusia, belum tentu kita mulia di hadapan Allah, jika kita kaya hari ini, sebenarnya kita miskin di sisi Allah dan akan menghadap Allah hanya berbalut kafan. Sekiranya kita masyhur, satu hari kelak kita akan bersendirian berhadapan dengan Allah, sekiranya kita petah berhujjah, satu hari nanti mulut kita terkunci dan anggota-anggota kita akan berbicara.

MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN SEKELIAN

Sepakat para Ulama bahawa haram hukumnya seorang lelaki berlagak seperti seorang perempuan berdasarkan beberapa dalil, antaranya ialah :

أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم لعَنَ المُخَنَّثِين مِن الرجالِ، والمُتَرَجِّلاتِ مِن النِّسَاءِ، وقال : أَخْرِجُوْهُمْ مِن بُيُوتِكُمْ[1]



[1] لراوي: عبدالله بن عباس المحدث: الألباني    - المصدر: صحيح أبي داود - الصفحة أو الرقم: 4930
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Bahawasanya Nabi SAW melaknat orang lelaki yang berlagak seperti perempuan, begitu juga orang perempuan yang berlagak seperti lelaki. Hendaklah kamu halau mereka dari rumah-rumah kamu.

Perkataan “melaknat” dan halau” orang-orang yang berkelakuan demikian menggambarkan betapa seriusnya kesalahan ini. Semua orang tertakluk kepada peraturan ini samada dia seorang raja, hakim mahupun rakyat jelata.

Secerdik dan seberani mana pun kita, kita tidak layak untuk mencabul peraturan yang cukup jelas dan nyata ini. Sanggupkah kita sama-sama menghadapi ancaman “laknat” dan “halau” dari bumi Allah SWT ini dengan menanggung bebanan kehinaan? Untuk meraih iman, kita sebagai muslim wajib sepatuh-patuhnya tanpa ragu-ragu dengan peraturan ini dan peraturan-peraturan Allah SWT yang lain. Tidakkah ayat ini mendatangkan kegerunan kepada kita:-

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٦٥﴾

Maksudnya: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah al Nisa’ 65)

SIDANG JEMAAH SEKELIAN

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mempertegaskan lagi peraturan yang dikanunkan oleh Rasulullah SAW di awal khutbah tadi dengan fatwa bertarikh 10 Jun 2010M

“Pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita, ( mak nyah/pondan ) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah HARAM di sisi Islam. Ibu bapa dan masyarakat Islam hendaklah memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah”

Bahkan seksyen 55 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak di bawah tajuk (lelaki berlagak seperti perempuan) memperuntukkan hukuman seperti berikut:-

“Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam bagi tujuan maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

SAUDARA-SAUDARA SEKELIAN

Apa-apa jua polisi mahupun tindakan yang menghalalkan perbuatan lelaki yang berlagak seperti perempuan, begitu juga sebaliknya sebenarnya telah melawan kebijaksanaan Allah SWT sebagai pembuat undang-undang dan dalam masa yang sama telah merendahkan keluhuran perlembagaan di dalam prinsip rukun Negara pada Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan. Semua amal perbuatan yang dilakukan oleh umat Islam samada lelaki atau perempuan di Malaysia hendaklah selaras dan selari dengan Islam sebagai agama Negara ini. Logik mudahnya sedangkan ubahsuai kereta tanpa mengikut standard Jabatan Pengangkutan Jalan pun dikenakan saman , tidakkah kita takut murka Allah SWT apabila kita sewenang-wenangnya mengubahsuai peraturan Allah ?

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



Khutbah Kedua




اَلْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر، أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH SWT

Kita mesti melihat sebarang isu yang menyentuh Islam dengan penuh rasa cemburu dan dari ufuk yang lebih luas. Umat Islam di Negara ini sebenarnya dilingkari dengan usaha terancang untuk merendahkan kedudukan Islam hanya sebagai agama individu bukannya agama yang mengatur masyarakat apatah lagi sebagai agama Negara. Kempen menyentuh anjing, mempertikaikan fatwa , membela golongan lelaki yang berketerampilan sebagai perempuan dan akan menyusul banyak lagi isu adalah sebagai usaha terancang dan muqaddimah kepada mewujudkan Negara sivil yang meletakkan agama sebagai panduan individu sahaja dan menafikan hak agama untuk mengatur masyarakat. Apa juga peraturan dan undang-undang serta badan-badan yang ditubuhkan untuk menjaga agama masyarakat akan dipertikaikan. Inilah bukti konsistennya usaha musuh-musuh Islam bertopengkan slogan-slogan manis seperti perjuangan kebebasan dan hak asasi manusia walaupun jelas melanggar hak-hak Allah SWT.

SAUDARA-SAUDARA KU SEKELIAN

Berpegang teguh dengan agama Allah dalam apa jua keadaan dan situasi. Hanya Islamlah yang mampu menyelesaikan kemelut yang melanda dengan sebaik-baiknya, adapun golongan yang tidak senang dengan kemajuan Islam telah Allah sifatkan mereka di dalam firmannya:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (Surah as Soff ayat 8 )

Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini mimbar mengajak sidang jemaah sekelian marilah kita menadah tangan memohon kepada Allah SWT supaya Allah mengampunkan segala dosa hamba-hambanya.

Ya Allah!!! masukkan kami ke dalam soff menjadi tentera Allah yang akan terus menyalakan cahaya Allah di bumi Malaysia ini. Selamatkan kami dari terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Jauhilah kami dari tersilau dengan cahaya-cahaya palsu slogan kebebasan mutlak individu dan hak bersuara yang membelakangkan hak-hak Allah.

Wahai Allah Yang Maha Pengasih, janganlah Engkau turunkan bala bencana kemurkaanMu ke atas kami disebabkan kebiadaban segelintir saudara-saudara kami terhadap hukum-hakam dan peraturan Mu. Ampunilah kami kerana kecuaian kami menjaga agama maka jadilah nasib kami sebegini. Kembalikanlah tipudaya mereka yang berniat jahat kepada Islam dan muslimin kembali menjerut leher-leher mereka.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات،إِنَكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الْدَعَوَات،وَيَاقَاضِيَ الْحَاجَات. 

Ya Allah!! kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

Tunaikanlah hasrat dan hajat kami untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkesan, berikanlah kami hidayah, kekuatan, kesihatan, ketaatan yang tidak berbelah bagi kepadaMu. Pemudahkanlah segala urusan kami, limpahkanlah kami rezeki yang engkau redhai. Limpahkanlah juga segala kedamaian, keamanan, keharmonian, kemakmuran dan rahmatMu kepada negeri dan Negara kami ini secara khususnya, dan juga kepada semua Negara umat Islam di seluruh dunia secara amnya.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.  


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Thursday, November 6, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 7 NOVEMBER 2014M / 14 MUHARAM 1436H



“PERSAUDARAAN DALAM ISLAM”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ إِلاَّبِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan yang mulia lagi berkat ini saya ingin memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian agar terus menerus berada di dalam ketaqwaan kepada Allah SWT dengan mengerjakan amal soleh, kerana hanya dengan amalan soleh sahaja akan menjamin kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Di antara peranan yang telah dibawa oleh Islam ialah membentuk manusia, sama ada dari segi orang perseorangan atau pun dari segi kemasyarakatan. Dari segi orang perseorangan, Islam telah menanam di dalam jiwa manusia dasar-dasar pengabdian diri kepada Allah SWT, iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, mengikut hukum-hakam sama ada halal, haram, harus, sunat dan makruh yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan juga yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itulah manusia mencapai martabat kemuliaan yang tinggi, mempunyai nilai yang berbeza dengan makhluk lain sesuai dengan sifat semula jadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Golongan beriman menutup aurat kerana mereka mempunyai harga diri. Mereka sungguh-sungguh menjaga maruah diri, makan makanan yang dihalalkan oleh Allah SWT bahkan menjaga diri daripada perkara-perkara syubhat dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Di samping itu mereka juga mempunyai akhlak dan budi pekerti luhur yang dapat mengawal tindak tanduk mereka sehingga mereka menjadi anggota masyarakat yang layak mentadbir muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat seperti ini adalah perlu untuk mengukukhan hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk-makhluk lain di atas muka bumi ini.

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

Sesungguhnya Islam telah berjaya membentuk masyarakat yang berteraskan keimanan kepada Allah SWT yang mana iman dan Islam telah dijadikan asas hubungan di antara satu sama lain sehingga manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan puak, terdiri daripada berbagai-bagai macam kabilah, dulunya berperang di antara satu sama lain yang mempunyai sempadan dan batas-batas geografi telah berjaya disatukan menjadi umat Islam yang hidup bersaudara di antara satu sama lain berdasarkan kepada asas persaudaraan Islam. Mereka telah menerima kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah SWT;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ - (ســورة  الـحـجــرات: ١٠)

Bermaksud : Hanyasanya mereka yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Atas asas persaudaraan Islam, umat Islam telah menerima Bilal Al- Habashi, Suhaib Al Rumi dan Salman Al Farisi sebagai saudara mereka yang satu, diterima menjadi anggota masyarakat yang tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain sama sebagaimana bangsa Arab yang ada di Mekah ketika itu. Umat Islam dapat menerima Imam Bukhari sebagai ulama hadis yang muktabar walaupun beliau adalah berasal dari Asia Tengah bukan dari Tanah Arab. Masyarakat Melayu menerima Imam Syafie sebagai pemimpin mazhab, walaupun Imam Syafie adalah berketurunan Arab manakala bangsa Arab pula dapat menerima Imam Abu Hanifah walaupun Imam Abu Hanifah berasal dari negeri bukan Arab.

Itulah hubungan persaudaraan di antara umat Islam yang telah dijalinkan oleh ajaran Islam yang maha mulia. Islam telah mendekatkan hati-hati manusia yang ternyata tidak boleh didekatkan oleh sempadan geografi malah harta benda dunia juga tidak berkuasa menyatukan mereka. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 63:

لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ (ســورة الأنفـال: ٦٣)

Bermaksud: Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka.

Saudara kaum muslimin sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kebangsaan telah membantu dalam perjuangan memerdekakan Negara-negara, namun oleh kerana ianya bukan daripada benih Islam dan Islam mengajarkan bahawa unsur akidah yang satu menjadi faktor penyatu umat walaupun datangnya dari berbagai-bagai bangsa. Namun semangat kebangsan ini hanya akan bermakna jika ianya digunakan untuk memimpin umat Islam ke arah melaksanakan Islam yang sebenarnya. Ulama telah memainkan peranan besar menentang segala pengaruh penjajahan yang datang ke bumi Islam, sama ada dalam bentuk jihad mahupun bidang pendidikan. Namun dari sisi lain, penjajahan juga telah berjaya melahirkan ketaksuban kepada bangsa melebihi wala’ kepada agama dan persaudaraan Islam.

Justeru itu, marilah kita menjadi satu umat yang saling sayang menyayangi, bantu-membantu, bela-membela antara satu sama lain bukan atas dasar kita satu bangsa semata-mata tetapi yang lebih utama dan dituntut adalah kerana kita semua satu akidah. Umat Islam yang bukan berbangsa Melayu juga adalah saudara kita tidak kira sama ada dia orang Cina Muslim atau India Muslim ataupun bangsa-bangsa lain. Janganlah kita meletakkan kepentingan bangsa lebih daripada kepentingan agama. Berusahalah untuk mengembalikan bangsa sendiri kepada agama Islam kerana kemuliaan sesuatu bangsa itu adalah sejauh mana ia bepegang kepada ajaran Islam. Usaha ini bukanlah tercela ataupun termasuk dalam larangan asobiyyah. Inilah keindahan Islam apabila dilihat dari sudut jalinan persaudaraan. Kita diikat dengan akidah mengatasi ikatan-ikatan kumpulan, bangsa dan Negara.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.  


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (الحجرات : ١٣)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah tidak menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kita bergaduh dan menunjukkan kehebatan antara sesama manusia. Allah menjadikan kita berbagai bangsa untuk kita saling mengenali sesama kita. Allah juga menjadikan kita berbagai agama agar terbuka peluang dakwah terhadap mereka. Kita wajib melaksanakan tugas dakwah dengan mendekatkan orang bukan Islam kepada agama kita. Begitu juga orang Islam yang masih juga penghayatan dan amalan agamanya. Janganlah menjauhkan mereka daripada Islam dengan ungkapan perkauman dan rasa kebencian terhadap mereka.

Realiti politik Negara pada masa ini seakan-akan membawa gambaran bahawa sokongan orang bukan Islam diperlukan bagi membolehkan umat Islam berkuasa walaupun Umat Islam sebenarnya adalah majoriti. Mana-mana pihakpun memerlukan sokongan mereka bagi membolehkan kita berkuasa. Janganlah sesama kita, ungkapan perkauman dan permusuhan terhadap mereka kita luahkan dan akhirnya pasti akan sampai ke telinga mereka kecuali terang-terangan mereka memusuhi Islam. Namun tatkala memerlukan sokongan mereka kita terpaksa merayu dan melepaskan berbagai hak kita sebagai balasan terhadap mereka. Akhirnya sokongan tersebut hanya membawa rebah dan menjadi musibah bagi kita.

Kita adalah khalifah Allah di bumi. Kuasa pemerintahan tidak akan ada maknanya jika hanya menyebabkan kita terpaksa melonggarkan ikatan kita dengan peraturan agama. Marilah kita bersatu walau bukan dalam kumpulan yang satu, untuk memenangkan Islam dalam setiap situasi yang berlaku. Letakanlah hak Allah dan Rasul mengatasi kepentingan dan kehendak peribadi dan nafsu.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِىْ بِلَادِنَا هَذَا وَفِىْ الْعِرَاقِ وَفِىْ فَلَسْطِيْنِ وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendukung-pendukungnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agamamu dan segala sekutunya, engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam. Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tambah Keahlian Baharu