bersama kepimpinan ulamak




Thursday, July 10, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 11 JULAI 2014M / 13 RAMADHAN 1435H


“PALESTIN”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلِ :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ شَهَادَةً نَرْجُوْ بِهَا عَالِيَ
الْجَنَانِ نُزُلاً، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  وَّعَلَى أَلِهِ  وأَصْحَابِهِ
أَجْمَعِيْنَ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْد ُ فَيَا عِبَادَ الله،  إِتَّقُوا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِى بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ
فَازَ المُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah swt,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah swt. kerana sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa balik ke kampung akhirat adalah Takwa.

Hadhirin yang dirahmati Allah,

Tarikh 30 Mac 2012 merupakan simbolik bagi hari yang bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu ‘Palestine Land Day’ dan ianya merupakan tarikh sebagai memperingati hari pembebasan wilayah Palestin di Ghazah. Beberapa kali genjatan senjata di meterai namun ianya selalu dikhianati oleh pihak Israel. Pada tanggal 7 Julai 2014 yang lalu sekali lagi Israel menyerang bumi Palestin secara bertalu-talu hinggalah ke hari ini.

Pada bulan Mac 1976 bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila pihak berkuasa Israel merampas ribuan dunum (ribuan hektar) daripada tanah swasta dan awam di kebanyakan kawasan di bumi Palestin. Rentetan daripada itu, rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kalinya dihadapi oleh pihak berkuasa Zionis sejak pendudukan Palestin pada tahun 1948 lalu mereka (pihak Zionis) mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam.

Penderitaan saudara-saudara kita di bumi para Nabi ini berlangsung untuk jangka masa yang sudah cukup lama. Tahun ini genap 66 tahun sudah mereka menderita, merintih, mengungsi, kebuluran, ditimpa kemiskinan, dililit masalah pengangguran, di rosak dan dirampas harta, tanah, ladang, kebun, disumbat ke dalam penjara bahkan juga terkorban nyawa. Nelson Mandela menamakan krisis yang ada di Palestin sebagai krisis terburuk moral di dunia moden ini. Palestin adalah kubu terakhir Dasar Aparteid. Palestin, Baitul Maqdis & Masjid al-Aqsa merupakan simbol jihad umat Islam di abad 21. Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebut bahawa permasalahan umat Islam cukup banyak dan paksinya adalah permasalahan Palestin.

Tuan-tuan, Saudara-saudara yang dikasihi Allah swt.

1200 tahun lebih Palestin di bawah pemerintahan umat Islam. Bermula dari era khilafah amirul mukminin, Umar bin al-Khattab r.a. Kemudian ia sempat jatuh ke tangan kuasa Salib sejak 1099 hingga 1187 Masihi. Hanya 88 tahun sahaja lalu kemudian dapat dibebaskan semula oleh Jeneral Salahuddin al-Ayubi pada 27 Rajab 583 Hijrah atau 1187 Masihi. Kemudian ia terus berada di bawah kuasa dan pemerintahan Islam hingga dirampas oleh Zionis Yahudi yang didalangi seorang Zionis yang berasal dari Hongaria bernama Theodore Herzl yang menulis buku bertajuk Negara Zionis pada 1896 dan Lord Rotchild orang kaya Zionis Yahudi ketika itu.

Ketika mana Baitul Maqdis atau al-Quds di bawah kuasa umat Islam maka kita dapati ia dinikmati bersama oleh semua umat beragama sama ada umat Islam yang beribadah di Masjid Qubbah al-Sakhrah dan Masjid al-Qibli mahupun umat Kristian yang bersembahyang di dalam Gereja al-Qiyamah (Gereja Makam Suci) ataupun orang Yahudi yang menangis di Tembok Ratapan (Wailing Wall) atau juga dinamakan Tembok Buraq. Tidak ada sesiapa yang mengganggu dan diganggu, menghalang atau dihalang, tidak ada siapa yang membunuh atau dibunuh.

Kerana al-Qur’an memberikan garis panduan yang cukup lengkap dan jelas dalam hal bertoleransi. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah al-Kafirun:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِين

"Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugama ku".

Kebebasan beragama dan menjalankan ibadah menurut keyakinan masing-masing penganut agama dijamin dalam Islam. Menghormati kepercayaan dan keimanan umat beragama yang lain merupakan tuntutan yang sudah ada panduannya di dalam al-Qur’an dan sunah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dimuliakan Allah swt.

Dalam rangka mengembalikan kedamaian, keamanan dan keharmonian yang pernah terwujud di Baitul Maqdis atau al-Quds suatu ketika dahulu sebelum kedatangan kuasa perosak Zionis yang dilaknat Allah swt, maka seluruh umat Islam sedunia dan juga masyarakat antarabangsa akan menganjurkan satu perarakan keamanan secara besar-besaran di Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan Australia untuk bergerak menuju ke Palestin dan juga ke beberapa negara jiran seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lebanon.

Pada tahun ini, Global March Jurusalem (GMJ) berhasrat untuk meraikan 30 Mac yang lalu sebagai acara antarabangsa yang melibatkan masyarakat di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan kita dengan masyarakat Palestin dan untuk melindungi Baitulmaqdis sebagai kota suci. Sehubungan dengan itu, GMJ bertujuan untuk menuntut kebebasan Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin disamping bertekad untuk mengakhiri dasar Aparteid dan polisi pembersihan etnik yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian Kota Baitulmaqdis yang mana merupakan satu jenayah bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat diseluruh dunia.

Saudara-saudara jemaah Jumaat yang budiman.

Kita mesti menunjukkan kepada Allah swt bahawa kita mahu terpilih sebagai orang yang beriman. Dan salah satu kayu ukur keimanan yang disebut dalam surah at-Taubah ayat 18 ialah kita mahu dan rela mengimarahkan masjid-masjid Allah swt.

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Hanyasanya Yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk.

Kita semua maklum bahawa al-Aqsa adalah masjid Allah bahkan menjadi senarai ketiga dalam sabda Rasulullah saw:

وَلَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِي وَمَسْجِدِ الْأَقْصَى

“Kamu tidak digesa untuk membuat lawatan melainkan menuju ke tiga masjid iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis Palestin.”

Masjid al-Aqsa selayaknya mendapatkan perhatian umat Islam di mana pun kita berada. Seorang Syeikh Palestin berkata Masjid al-Aqsa ibarat seorang anak yatim yang tersisih dan terbiar. Umat Islam beramai-ramai mengimarahkan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, tetapi tidak ramai yang mengimarahkan Masjid al-Aqsa di Palestin.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْم. أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيْم.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلِ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah Al-Israk Ayat 1)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِــهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah swt.

Kita juga mesti tunjukkan kepada Nabi Muhammad saw, junjungan dan kekasih kita bahawa kita adalah umat Nabi saw yang mencintai sesama umat Islam dan tidak akan pernah meredai saudara-saudara kita seakidah dibantai dan disakiti oleh musuh-musuh Allah. Kayu ukur keimanan seseorang muslim bila mana ia mampu mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri. Sabda Rasulullah saw :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبُّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.”


اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B