bersama kepimpinan ulamak




Thursday, July 17, 2014

KHUTBAH - 18 JULAI 2014M / 20 RAMADHAN 1435H



"NUZUL QURAN"

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
حم ﴿١﴾ وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ ﴿٢﴾ إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦﴾

[1] Haa, Miim. [2] Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. [3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [5] Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. [6] (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya). ( Al Dukhan ayat 1-6 )

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَريِكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Para hadirin yang beriman,

Pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan ini, saya mengajak diri saya dan sidang Jumaat sekelian supaya meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dalam apa jua bidang yang diceburi dan segala aktiviti yang dilaksanakan. Semoga dengan peningkatan tersebut, akan dapat memelihara diri kita daripada kemurkaan Allah SWT di dunia dan akhirat serta terselamat daripada bakaran api neraka Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat dariNya, kita diberi kesempatan untuk menikmati kesegaran bulan Ramadhan dengan pelbagai tawaran, ganjaran serta lambakan amal soleh untuk dilaksana dan diraih sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman. Sesungguhnya kesempatan sebegini adalah suatu rahmat dan kasih sayang Allah SWT untuk kita agar kita menjadi lebih dekat kepadaNya.

Kita telah berkesempatan untuk meraikan sambutan “Nuzul Al Quran” dalam suasana penuh penghayatan serta diiringi dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang melambangkan bahawa, hari tersebut merupakan suatu hari yang amat bermakna bagi ummat manusia keseluruhannya. Hari yang tercatat dalam Taqwim Islam sebagai berlakunya penurunan Al-Quran sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

“Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran...”

Menurut Al Imam Ibn Kathir rahimahullah di dalam tafsirnya “Tafsir Al A’zim” menyatakan bahawa Allah SWT di dalam ayat di atas telah memuliakan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT telah menurunkan Al-Quran. Malah, Al Imam Ibn Kathir telah menyatakan bahawa bulan Ramadhan jugalah bulan dimana kitab-kitab sebelumnya diturunkan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, hadis bilangan 16370, dari Wasilah Ibn Asqa’ r.a bahawa Nabi SAW bersabda :

عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتَّةٍ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ وَالإِنْجِيلُ لِثَلاثِ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ ِلأرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Taurat hari keenam terakhir Ramadhan, dan Injil setela berlalunya tiga belas hari Ramadhan, dan Allah menurunkan al-Quran pada hari kedua puluh empat Ramadhan.”

Manakala dalam satu hadis lain dari Jabir ibn Abdillah bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Kitab Injil itu diturunkan pada 12 Ramadhan.”

Berdasarkan kenyataan Al-Imam Ibn Kathir bahawa Al-Quran diturunkan secara jumlah wahidah (sekaligus) pada malam Al-Qadr di bulan Ramadhan ke Baitul Izzah di langit dunia. Ini berdasarkan kepada surah AL-Qadr ayat 1 :

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾

“Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran pada malam al-Qadr”.

Kemudian penurunan Al-Quran dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan situasi yang dihadapi ummat ketika itu.

Saudara-saudaraku yang beriman,

Allah SWT telah menganugerahkan kepada ummat Nabi Muhammad SAW Al Quran sebagai panduan paling tepat dan lurus untuk rujukan manusia. Apakah masih ada lagi pernyataan paling baik atas muka bumi ini selain daripada Al-Quran? Apakah terdapat kekurangan di dalam Al Quran sehingga manusia berpaling mencari panduan selain daripadanya? Sesungguhnya amat rugi manusia apabila mata berkemampuan melihat, telinga berkemampuan mendengar, aqal berupaya berfikir serta seluruh pancaindera berkemampuan membaca, meneliti, mempelajari dan menggali khazanah Al Quran, tetapi tidak mempedulikan Al Quran dalam hidupnya. Firman Allah swt dalam surah Al A’raf ayat 157 :

وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٥٧﴾

“Dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang yang beruntung”.

Sidang hadirin yang beriman,

Sempena peristiwa Nuzul Al Quran yang kita sambut ini, sebenarnya terlalu besar kesannya terhadap jiwa kita orang beriman. Ia seperti suatu anjakan semula terhadap pembinaan kesedaran seluruh lapisan warga muslim terhadap kalam Allah SWT yakni Al Quran. Ia sebagai penerang jiwa, penjelas yang rumit, penghapus yang batil, penolak yang syubhat, penunjuk kepada yang kebingungan dalam mencari hala tuju kehidupan. Kitab yang serba lengkap dan sarat dengan ilmu dan maklumat yang diperlukan manusia. Dr.Solah Abdul Fatah Al Khalidi seorang Mufassir dan pengarang kitab (مَفَاتِيْحُ لِلتَّعاَمُلِ مَعَ الْقُرْآنِ) dengan jelas telah menggariskan empat tujuan asasi penurunan Al Quran iaitu :

Pertama : Sebagai hidayah menuju kepada Allah SWT

Kedua : Melahirkan saksiah Islamiah yang sempurna dan seimbang.

Ketiga : Mewujudkan masyarakat Qurani yang sejati.

Keempat : Meneguhkan kepimpinan umat Islam di dalam memerangi jahiliyah di sekelilingnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَهَـٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۖ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩٢﴾

“Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya”. (An’am ayat 92)

أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat sekelian,

Persoalan yang ingin mimbar lontarkan pada kali ini ialah, apakah peranan kita dalam mengembalikan diri, keluarga, masyarakat dan pemimpin dalam menjadikan Al Quran sebagai rujukan induk dalam kehidupan? Apakah kita sekadar menjadi pemerhati terhadap kepincangan sistem hidup yang jauh dari landasan Al Quran? Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam menghidupkan semula Al Quran dalam jiwa kita dan seluruh warga muslim agar kita semua terselamat dari azab Allah SWT. Di dalam bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermunajat kepada Allah SWT memohon bantuannya untuk saudara-saudara seakidah kita di Palestin. Infakkanlah sebahagian harta kita untuk membantu mereka yang memerlukan . Pihak Jabatan Agama Islam Perak akan mengadakan kutipan di seluruh masjid Negeri Perak untuk disalurkan ke Gaza, Palestin melalui akaun Muslim Care, no akaun 564490211159 Maybank Muslim Care (Viva Palestine).

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Khutbah ini boleh juga boleh dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B