bersama kepimpinan ulamak




Thursday, May 15, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 16 MEI 2014M / 16 REJAB 1435H


“GURU PENCETUS KREATIVITI PENJANA INOVASI”

16 MEI 2014M / 16 REJAB 1435H

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ للهِ ذِي الْجَبَرُوتِ وَالْمَلَكُوتِ، الْهَادِي إِلَى سَبِيلِ الْهُدَى والرَّشَادِ،  الْقَائِلِ فِي مُحْكَمِ تَنْزِيلِه :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan agama. Ia memerlukan komitmen dan kesungguhan untuk mendapatkannya. Maka ilmu dan guru mempunyai hubungkait yang sangat rapat. Islam meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang berilmu, seperti firman Allah SWT dalam surah Al Mujadalah ayat 11:

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾

Maksudnya: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat, dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sambutan Hari Guru 16 Mei pada tahun ini bertemakan “Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi”. Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi. Sentiasa membudayakan inovasi dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Warga pendidik berkeupayaan menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, kreativiti yang mampu meningkatkan kemahiran murid dalam mendepani persekitaran kehidupan sebenar.

Dewasa ini semua pihak menyedari bahawa kerjaya sebagai guru merupakan tugas yang penuh dengan cabaran. Antaranya ialah kekangan masa, ancaman gejala sosial serta berhadapan dengan karenah pelbagai pihak. Hakikatnya tugas guru sejak dahulu hingga kini sentiasa dipenuhi ujian dan dugaan.

Selain itu guru juga berhadapan dengan cabaran mendidik murid yang pelbagai ragam dan karenah. Murid-murid kini terdedah dengan bermacam-macam anasir luar seperti hiburan yang melampau dari barat dan sebagainya. Maka terdapat sebilangan mereka yang terpengaruh dan terikut-ikut budaya asing seperti hedonisme iaitu budaya berhibur secara melampau, seks bebas, arak dan sebagainya. Sebahagian pula leka dengan media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya. Ini menjadikan proses mendidik mereka berhadapan dengan kesukaran dan memerlukan masa yang panjang. Fenomena ini bertambah parah apabila rasa hormat kepada guru semakin terhakis dalam kalangan murid.

Dalam masa yang sama, guru juga terpaksa berhadapan dengan sebahagian ibu bapa yang kurang menghormati guru dan terlalu membela kesalahan anak tanpa usul periksa. Situasi sebegitu memberikan sedikit kesan terhadap usaha guru dalam membentuk peribadi anak-anak. Seharusnya ibu bapa menyedari bahawa merekalah yang memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak. Peranan mendidik anak-anak tidak harus diletakkan seratus peratus di bahu guru-guru, bahkan guru hanya membantu untuk melengkapkan proses pendidikan tersebut. Maka akan ada keharmonian antara guru dan ibu bapa dengan agenda yang sama iaitu melahirkan anak-anak yang teguh imannya di samping mantap keilmuannya. Benarlah sabda Nabi SAW yang berbunyi:

"كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ"

Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu Islam, maka ibu bapanyalah yang mendidik anaknya menjadi seperti Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Riwayat Bukhari dan Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masyarakat perlu memainkan peranan dengan meletakkan guru di tempat yang selayaknya. Ikon dan ikutan anak-anak hari ini perlu diperhatikan dan diperhalusi agar tidak tersasar hingga meletakkan mereka yang tidak sepatutnya sebagai ikutan.

Guru merupakan agen perubah masyarakat yang terus istiqamah menyambung tradisi penyampai ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebaik-baik guru yang patut kita contohi. Firman Allah SWT dalam surah Al Jumuah ayat 2:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Didikan hebat oleh baginda Rasulullah SAW telah melahirkan sahabat-sahabat hebat seperti Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar bin Al Khattab, Saidina Othman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib dan sahabat-sahabat lain yang memiliki sifat keimanan yang kukuh, keperibadian yang mulia dan ketokohan yang tiada tandingannya.

Sejarah juga telah melakarkan lahirnya ulamak-ulamak besar seperti Imam Syafie dan Imam Al Ghazali adalah hasil tarbiah dan didikan seorang yang bernama guru.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kehebatan Sultan Muhammad Al Fateh yang disebut di dalam hadith Nabi SAW iaitu

"لَتُفْتَحَنَّ القُسْطَنْطِيْنِيَّةُ وَلَنِعْمَ الأَمِيْرُ أَمِيْرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ"

Maksudnya: "Akan dibebaskan Kota Kostantinopel itu, maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya." Hadis riwayat Imam Ahmad.

Kota Kostantinopel akhirnya dapat ditawan oleh seorang raja semuda 21 tahun hasil didikan dan asuhan ulama tersohor yang menjadi murabbi beliau. Masyarakat perlu sedar bahawa pentingnya kewujudan guru dalam kehidupan komuniti seharian. Pepatah arab ada mengatakan:

"كَادَ الْمُعَلِّمُ أنْ يَكُونَ رَسُوْلاً"

Maksudnya: “Tugas seorang guru itu hampir-hampir menyamai tugas seorang Rasul.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kala ini, kita melihat betapa masyarakat generasi kini semakin lama semakin terpesong dari akhlak dan budaya Islam. Sebahagian murid tidak lagi melihat guru sebagai individu yang patut dihormati, bahkan segelintir dalam kalangan mereka berani mengherdik, mengugut bahkan memukul guru. Keadaan ini disebabkan oleh kurangnya berkat ilmu yang diperolehi oleh murid, sedangkan mereka saban hari didedahkan dengan ilmu agama dan akhlak. Di manakah silapnya semua ini?

Seandainya kita menyingkap kisah sejarah yang dilalui oleh generasi salafus solih terdahulu, maka kita akan dapati betapa generasi terdahulu sangat menitikberatkan persoalan adab di dalam menuntut ilmu. Justeru, mereka berjaya mengecap nikmat barakah ilmu yang akhirnya melahirkan generasi Islam yang digeruni di seluruh pelusuk dunia, termasuk oleh pihak musuh Islam itu sendiri.

Ini adalah suatu bentuk kekuatan hasil daripada keberkatan ilmu yang dikecapi oleh mereka. Keberkatan ilmu itu terhasil daripada adabnya seorang murid terhadap guru, diantaranya ialah dengan cara melihat gurunya itu dengan pandangan hormat serta memuliakannya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
﴿ سورة آل عمران٢٠٠﴾
 أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menyedari kepentingan menuntut ilmu dengan berguru, maka perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian sebagai kesimpulan khutbah pada hari ini,

Pertama : Ilmu menjadi penyuluh kepada iman dan taqwa;

Kedua : Profesion keguruan menuntut kesabaran dan keikhlasan dalam mendepani cabaran dan karenah masa kini;

Ketiga : Rasulullah SAW merupakan qudwah terbaik sebagai pendidik yang patut dicontohi;

Keempat : Kerjasama di antara semua pihak samada pihak kerajaan, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya perlu digembeling seiring matlamat melahirkan umat yang seimbang jasmani dan rohani; dan

Kelima : Hubungan di antara guru dan murid mestilah dibina atas rasa hormat dan kasih sayang untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.  

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B