bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Thursday, March 6, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 7 MAC 2014M / 3 JAMADIL AWAL 1435H


“AIR DAN KEHIDUPAN”

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ (الأنبياء : ٣٠)

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi ini pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat serta menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberi oleh Allah SWT kepada kita.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Air adalah anugerah Allah SWT yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di mukabumi ini. Air juga adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja namun tanpa air, kita, binatang dan tumbuh-tumbuhan akan binasa. Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan hujan dari langit lantas menghidupkan bumi selepas matinya. Selama beberapa minggu hujan tidak membasahi bumi. Maka kita merindui turunnya hujan; hujan rahmat yang membawa sinar bahagia buat semua. Tidak kuasa yang mampu menurunkannya kecuali Allah SWT. Amatilah firman Allah SWT dalam surah as-Syura ayat 28:

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ ﴿٢٨﴾

Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia juga menyebarkan rahmatNya. Dan Dialah Allah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya) lagi Yang Maha Terpuji.

Justeru itu, wajiblah kita mengimani bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa mutlak menurunkan hujan manakala kita makhluk hanya berusaha.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan sebagai sumber asli yang paling berharga. Air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan kehidupan. Masalah air yang telah melanda negara pada tahun 1998 dan awal tahun 2002 yang lalu di Lembah Klang adalah satu bukti jelas bahawa betapa pentingnya pengurusan air secara berhemah di dalam kehidupan kita. Masalah ini banyak membuka mata masyarakat seluruhnya tentang pentingnya penggunaan air secara cermat di dalam aktiviti harian. Walaupun negara kita pada umumnya menerima hujan sepanjang tahun dan merupakan antara negara yang menerima purata hujan tertinggi di dunia, adakalanya kita diuji dengan kemarau, terputus bekalan air bersih dan seumpamanya yang menjadi titik tolak untuk kita kembali kepada dasar agama Islam iaitu berjimat cermat dan tidak membazir.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Air merupakan sumber kehidupan yang sangat penting, Walau bagaimanapun, sumber tersebut boleh berkurangan sekiranya sumber air mentah daripada sungai tercemar, berkurangan atau tidak dipelihara. Air mentah tersebut perlu melalui proses rawatan yang kompleks sebelum diagihkan kepada setiap kediaman. Dengan bertambahnya bilangan penduduk dan kepesatan perkembangan pembangunan, permintaan air akan meningkat. Sehubungan itu di saat negara kita dilanda musim kemarau dan seterusnya pada masa akan datang, maka kita disarankan mengambil sikap menghargai air dan menyumbang ke arah penjimatan penggunaan air. Di antara kaedah dan cara yang disarankan ialah:

1. Membasuh pakaian mengikut kapasiti maksimum mesin basuh.

2. Paip air hendaklah ditutup ketika menyabun pinggan mangkuk, menggosok gigi dan mengambil wudhuk.

3. Menggunakan penyiram air untuk menyiram pokok berbanding hos getah.

4. Jika terjumpa paip bocor, hubungi segera talian bebas tol Lembaga Air Perak di talian 1800-88-7788.

5. Menggunakan air di dalam baldi untuk mencuci kereta berbanding hos getah.

Hargailah air! Syukurilah akan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Moga-moga kita tergolong ke dalam golongan manusia yang tahu bersyukur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنَيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَألْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٢٢﴾

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu. Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu padahal kamu semua mengetahui. (al-Baqarah Ayat 22)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat sekelian,

Setelah kita mengambil sebab-sebab fizikal ke arah penjimatan air dan langkah berhemah, khatib menyeru kepada sidang jamaah sekelian untuk meletakkan sepenuh harapan dan rayuan kepada Tuhan Yang Berkuasa Mutlak Menurunkan Hujan. Kita bersama-sama memohan kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT agar terus melimpahkan nikmat yang berkat yang dapat menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Insafilah wahai para tetamu Allah bahawa nikmat anugerah Allah SWT kepada kita amat banyak sehinggakan jika kita cuba menghitungnya pasti kita tidak mampu. Anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakan dengan memperbanyakkan ibadat dan ketaatan kepadanya serta meninggalkan segala bentuk maksiat. Ingatlah bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas hambaNya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadapNya. Begitu juga dengan curahan keberkatan dari langit dan bumi adalah berkadaran dengan iman dan takwa penduduknya. Kita sentiasa berdoa agar rezeki yang diperolehi adalah nikmat yang datang kerana amal soleh bukan kerana kurniaan untuk menjauh dan melalaikan diri dari mengingati sang Pencipta.

Wahai Pengikut Nabi Muhammad SAW,

Cuaca yang panas pada hari ini hanyalah secebis dari peringatan Allah SWT untuk hamba-hambanya supaya berfikir. Hujan yang tidak turun beberapa minggu ini meminta supaya kita merintih dan merayu kepadaNya. Yakinlah! Allah SWT tidak pernah menzalimi makhluknya tetapi makhluklah yang menzalimi diri mereka sendiri. Perbanyakkan istighfar dan taubat bagi memohon keampunan di atas segala dosa dan kesalahan yang kita lakukan. Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat yang akhirnya akan mengundang murkaNya.

Pada hari ini saya memperingati diri saya sendiri dan sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama memperbanyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT di atas ketelanjuran yang kita lakukan samada secara terang-terangan atau sembunyi, sedar atau tidak. Sesungguhnya amalan ini dijanjikan dengan begitu banyak kelebihan. Di antaranya menjadi sebab turunnya hujan. Firman Allah SWT dalam surah Nuh ayat 10 hingga 12:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ﴿١٢﴾

Maka aku(Nabi Nuh AS) berkata (kepada kaumnya): “Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu sesungguhnya Dia Maha Pengampun . (Sekiranya kamu berbuat demikian iaitu sungguh-sungguh beristighfar) Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu . Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Kita memohon dan merayu agar Allah SWT menurunkan hujan di muka bumi ini untuk kita mengecapi anugerahNya yang amat berharga,. Bukan kita sahaja yang gembira apabila hujan turun membasahi bumi malah tumbuh-tumbuhan dan haiwan turut menantinya. Teruskan berdoa selepas solat sunat dan fardu serta waktu-waktu mustajab yang lain dengan penuh keyakinan akan diperkenankan.

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ

“Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah. Tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi kekuatan dan bekal sampai beberapa lama.”


اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

“Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami.”

اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا‏ مُغِيثًا ‏ ‏مَرِيئًا ‏ ‏مَرِيعًا ‏ ‏نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ

“Ya Allah siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan, yang baik kesudahannya, yang menambah kebaikan, yang memberi manfaat, tidak memberi mudharat, segera, tidak berlambat-lambat.”

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ

“Ya Allah siramilah hambaMu dan haiwan-haiwan ternakanMu dan sebarkanlah rahmatMu dan hidupkanlah negeriMu yang mati.”

اللّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ غَفَّارًا فَأَرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْنَا مِدْرَارًا اللّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُبِكَ مِنَ الذُّنُوْبِ الَّتِي تَمْنَعُ غَيْثَ السَّمَآءِ وَ نَعُوْذُبِكَ مِنَ الذُّنُوْبِ الَّتِي تُذِلُّ الأَعِزَّ وَ تُدَلِّلُ الأَعْدَاء

“Ya Allah sesungguhnya kami minta ampun padamu. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun. Turunkan hujan yang lebat dari langit kepada kami. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung padamu daripada dosa-dosa yang menghinakan orang-orang mulia dan melemahkan musuh.”

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.  


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuatturun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B