bersama kepimpinan ulamak




Thursday, January 30, 2014

Khutbah Jumaat - 29 Rabi'ul Awwal 1435 / 31 Januari 2014



“MENEGAKKAN SUNNAH RASULILLAH SAW”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَالتوبة : ٣٣
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَاَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !   اِتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْن

Sidang Jumaat yang dihormati,

Saya memperingatkan diri saya sendiri khususnya dan sidang Jemaah sekelian agar kita sentiasa menginsafi diri bahawa hakikatnya diri kita semua semakin hampir untuk dijemput menemui Allah SWT. Marilah kita berfikir sudah cukupkah bekalan kita untuk menemui Nya? Oleh sebab itu tiada cara lain untuk membuat persediaan ini dan janganlah bertangguh-tangguh lagi, marilah sama-sama kita meningkatkan usaha kita mentaati segala perintah Allah dan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi dan meninggalkan segala larangannya.

Tuan-tuan sekelian,

Al Marhum Syeikh Muhammad al Ghazali menerusi kitabnya Feqh al-Seerah telah membuat teguran terhadap proses menegakkan sunah Rasulilllah SAW yang sekian lama disalah ertikan. Menurut beliau :

“Sesungguhnya berkaitan sirah Rasulillah SAW, umat Islam sekarang hanya mengetahui maklumat-maklumat “kulit” yang ringan, yang tidak mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman. Mereka memuliakan Nabi SAW dan para sahabat r.a secara warisan dan dengan pengetahuan yang sangat sedikit. Dalam memuliakan mereka, mereka berpada dengan penghormatan lisan atau dengan amalan yang kurang bebannya.”

Beliau menegur umat Islam yang hanya memilih sunnah-sunnah yang mudah-mudah sahaja dengan meninggalkan sunah-sunah Nabi SAW utama yang menuntut pengorbanan, keberanian, kecekalan dan sanggup memikul bebanan. Sunnah Nabi SAW mendaulatkan Islam tentu lebih berat daripada sunnah berselawat ke atasnya. Kedua-duanya sunnah dan berpahala tetapi ramai yang suka berselawat tetapi tidak ramai yang memperjuangkan cara hidup Nabi SAW secara keseluruhannya. Baginda teguh mempertahankan aqidah di hadapan orang kafir, tegas memperjuangkan sistem hidup Islam dalam politik, ekonomi, budaya, sukan dan sebagainya.

Tuan-tuan sekelian,

Khutbah hari ini akan membawa salah satu contoh sunnah yang wajib ditegakkan dalam konteks Negara ini. Sunnah ini perlu pengorbanan, keprihatinan dan keberanian. Firman Allah SWT :

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ – الصف:٩
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan tiga perkara yang dianugerahkan dan wajib dijaga oleh umat ini menerusi pengutusan Nabi SAW :-

i. Hidayah Allah. Alhamdulillah seisi dewan solat ini dan mereka yang menghadiri solat Jumaat pada hari ini adalah manusia-manusia yang dipilih Allah SWT untuk mendapat hidayah Allah ini dan hidayah ini wajib dipertahankan oleh kita semua dengan menutup segala jalan-jalan yang membawa kepada fenomena mensyirikkan Allah termasuklah tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam menamakan berhala dan mana-mana makhlukNya dengan nama khas yang hanya menjadi milik Allah.

ii. Agama dan cara hidup yang benar iaitu Islam. WAJIB ke atas kita semua menyesuaikan seluruh detik kehidupan kita dengan ajaran Islam. Seluruh system hidup ini samada bermasyarakat, politik, berekonomi dan sebagainya perlu di selaraskan dengan ajaran Islam. Mana yang haram dan berdosa WAJIB ditinggalkan dan yang disuruh WAJIB di amalkan.

iii. Memenangkan Islam dan sentiasa meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi pada setiap masa dan keadaan.

لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-
orang musyrik tidak menyukainya.

Islam mesti sentiasa berada di atas agama-agama yang lain. Di Malaysia samada disedari ataupun tidak, usaha untuk menyamaratakan semua agama telah direncanakan sedikit demi sedikit. Antara usaha-usaha yang telah dimulakan adalah seperti berikut berikut :-

i. Menubuhkan IFC (suruhanjaya antara agama) pada 2005

ii. Menjalankan road show forum artikel 11 pada 2007

iii. Mempromosi idea global ethic pada 2006

iv. Cuba manfaatkan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian antara penganut agama.

Sidang Jumaat sekelian,

Walaupun usaha mereka ini tidak gagal sepenuhnya, mereka meneruskan usaha jahat mereka menerusi sebuah gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebanyak 54 buah pertubuhan menubuhkan gabungan yang dinamakan COMANGO. Gabungan ini bukan sahaja haram dari segi Syarak umtuk dianggotai dan didokongi malah telah diisytiharkan haram dari segi undang-undang oleh Kementerian Dalam Negeri. Gabungan ini menuntut kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar memaksa Malaysia menerima beberapa ketetapan yang jelas berlawanan dengan sunnah Nabi SAW “meletakkan Islam mengatasi segala ugama” antaranya ialah :-

i. Kebebasan untuk murtad

ii. Menghalalkan seks songsang (LGBT)

iii. Menghapuskan hak istimewa orang melayu

iv. Menghapus kesalahan jenayah syariah seperti kes khlawat,zina dan sebagainya.

v. Menuntut penterjemahan God kepada Allah.

vi. Menuntut kebebasan beragama bagi ajaran sesat termasuk syiah.

vii. Menuntut agar mana-mana ibubapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak.

Saudara-saudara sekelian,

Jika usaha mereka berjaya, Islam akan diletakkan samarata ataupun lebih rendah daripada agama-agama lain. Ini sudah menyongsang sunnah Nabi SAW :

لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Atas dasar kewajipan dan tanggungjawab memelihara kesucian agama yang Maha suci ini, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Negeri Perak mengadakan kutipan tandatangan membantah tuntutan-tuntutan ini untuk menzahirkan dan meneruskan sunnah agung Nabi SAW meletakkan Islam melebihi agama-agama yang lain di tanah air kita sesuai dengan artikel (3) Perlembagaan Negara : ISLAM ADALAH AGAMA PERSEKUTUAN.

Janganlah ada seorangpun dari kita yang tidak menurunkan tandatangan agar kita mampu menjawab di hadapan Allah kelak bahawa kita amat mencintai Agama Allah ini, kita amat mencintai Rasulullah SAW dan kita merupakan hambaNYa yang sanggup berbuat apa sahaja demi mempertahankan agamaNya.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقاَئِلِ :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (آل  عمران : ١٠٤)

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .


فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam ayat yang dibacakan sebentar tadi, Allah memerintahkan bagi seluruih Umat Islam agar memastikan sentiasa ada sebilangan dari kita yang mengajak ke arah kebaikan dan menghalang daripada kemungkaran jika kita mahu menjadi umat yang berjaya. Kemungkaran yang amat besar di negara kita pada hari ini adalah tuntutan yang dibuat oleh mereka yang terlibat dengan Comango ini kerana ianya melibatkan pihak luar diperingkat antarabangsa. Kemungkaran ini bukan sahaja melibatkan pelanggaran Hukum Allah semata-mata malah mampu memusnahkan masa depan negara. Maka apakah kita tidak mahu terlibat sama dalam perjuangan menentang kemungkaran ini sekaligus menyelamatkan negara dari angkara pengkhianat ini. Marilah kita bersama menyatakan bantahan dan melibatkan ahli keluarga dan tanggungan kita dalam bantahan ini. Perbanyakkanlah borang-borang tandatangan ini, dan dapatkanlah tandatangan dari semua yang kita kenali dan kembalikanlah kepada pihak masjid. Pihak masjid hendaklah mengumpulkannya dan menyerahkan semua tandatangan bantahan ini kepada Pejabat Agama Islam Daerah agar dapat diserahkan kepada pihak IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA) yang melaksanakan usaha pengumpulan tandatangan bantahan di seluruh negara. Mudah-mudahan dengan sedikit sumbangan yang kita laksanakan ini menjadi sebab untuk Allah memberi rahmat mengurniakan keredhaannya kepada kita.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B