bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Thursday, May 30, 2013

Khutbah Jumaat - 21 Rejab 1434H / 31 Mei 2013



PERINGATAN DI BULAN REJAB

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَإِلهَ إِلاَّالله وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! ِاتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kini kita berada di Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj dan Peperangan Tabuk tahun 9H. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil berat dalam usaha meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Pelbagai cabaran dan halangan pasti akan ditempuhi dalam menegakkan ajaran Islam di mana kita bukan sahaja dituntut mengorbankan masa dan tenaga malah hingga ke tahap tumpahnya darah ke bumi dan berpisahnya nyawa dari badan. Perjuangan Islam tidak pernah dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menempuh pelbagai ujian dan cabaran samada luaran mahu pun dalaman.

Sebelum berlakunya Isra’ Mikraj, kita dapat melihat bagaimana tentangan terhadap dakwah nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja oleh majoriti penduduk Mekah termasuk kaum keluarga baginda sendiri malah turut menerima tentangan daripada penduduk Taif. Ia mengajar kita bagaimana perjuangan menegakkan Islam ada kalanya terpaksa menerima penentangan daripada keluarga terdekat. Kita hari ini melihat betapa ramai ibubapa yang rosak akibat anak, betapa ramai anak yang rosak akibat ibubapa, betapa ramai isteri yang rosak akibat suami dan sebaliknya, malah begitu ramai rakan merosakkan rakannya yang lain.

Kesungguhan dan istiqamah dalam menjalankan kerja dakwah merupakan suatu yang amat diperlukan dalam memastikan perkembangan Islam. Apa yang lebih penting ialah pergantungan kita dengan Allah dalam setiap keadaan yang menjamin kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. Tanamkanlah dalam diri kita bahawa biarlah kita dibenci oleh seluruh manusia asalkan kita diredhai oleh Allah. Jangan sekali-kali kita mencari redha manusia di atas kemurkaan Allah SWT. Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

اِنْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالاً وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Muslimin yang dirahmati Allah sekelian,

Peperangan Tabuk memperlihatkan kepada kita bahawa, Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu :

[1] golongan yang menangis kerana ketiadaan kelengkapan peperangan terutamanya kenderaan tunggangan. Golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi untuk turut keluar berperang tetapi tidak mampu berbuat demikian.

[2] golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah. Mereka merasa takut dan malas untuk berperang termasuk sebahagiannya terpesona dengan kepentingan dunia seperti musim mengait kurma yang sedang masak ranum dan sebagainya.

[3] golongan yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini bukan sahaja cuba menarik seramai mungkin umat Islam supaya tidak keluar berperang bermula dari awal lagi, sebahagian lagi cuba mempengaruhi tentera Islam yang sedang menunju ke Tabuk untuk menarik diri dan sebahagian lagi menunggu kepulangan nabi Muhammad s.a.w untuk merasmikan Masjid Dhirar yang dibina oleh golongan yang merupakan musuh dalam selimut ini. Akhirnya bukan sahaja usaha mereka gagal malah Allah memerintahkan nabi supaya meruntuhkan masjid Dhirar yang bukan dibina atas asas Taqwa malah sebagai lambang perpecahan dan pengkhianatan terhadap Islam. Peristiwa ini memberi peringatan penting kepada kita agar pembinaan dan pengimarahan masjid mestilah atas asas taqwa bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk mendapatkan keuntungan melalui projek pembinaannya semata-mata.

Sidang Jumaat sekelian,

Peristiwa Isra’ Mikraj turut mengingatkan kita tentang hakikat dunia yang terlalu uzur dan bakal hancur. Malah nabi Muhammad s.a.w pernah mengibaratkan dunia seumpama bangkai anak kambing yang terpotong telinganya di mana jika ia masih hidup pun sudah ramai yang tidak sanggup membelinya apatah bila sudah menjadi bangkai. Itulah hakikat dunia yang tiada harga di sisi Allah di mana jika kita sentiasa sedar tentang perkara ini membolehkan hati kita tidak tertipu dan lalai dengan tipuan dunia yang banyak merosakkan manusia yang alpa. Firman Allah dalam ayat 55 surah at-Taubah :

فَلاَ تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلاَ أَوْلاَدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِ‌يدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُ‌ونَ

Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

إِنَّمَا يَعْمُرُ‌ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ‌ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ الله ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ – التوبة : ١٨


Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesuai dengan Bulan Rejab yang merupakan bulan memperingati peristiwa Isra’ Mikraj yang dianugerahkan dengan kewajipan solat 5 waktu, maka hendaklah setiap kita bukan sahaja menjaga solat fardhu malah menggunakan peluang yang ada untuk memenuhkan masjid dan surau.

Musuh Islam pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan bimbang dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mampu memenuhi masjid terutama pada waktu Subuh sebagaimana umat Islam datang beramai-ramai ke masjid pada hari Jumaat.

Ayuh kita tentang cabaran musuh Islam ini dengan sama-sama memastikan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, jiran-jiran kita untuk memenuhi masjid dan surau tiap waktu agar janji kemenangan daripada Allah semakin dekat.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman www.4shared.com

Thursday, May 23, 2013

Khutbah Jumaat - 14 Rejab 1434 / 24 Mei 2013



GENERASI BELIA ULUL-ALBAB PENYELAMAT NEGARA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا ﴿١٠﴾

"(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan belia pergi berlindung ke sebuah gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami!, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".(Al-Kahfi 10)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Saya menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Belia adalah aset atau harta yang amat berharga kepada negara. Mereka merupakan tonggak kekuatan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Kementerian Belia Dan Sukan telah menetapkan bahawa belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun. Dianggarkan jumlah belia melebihi 12 juta orang atau mewakili 41.5% daripada keseluruhan penduduk negara ini yang berjumlah 28 juta orang.

Berdasarkan peratusan yang besar ini, maka pembentukan generasi belia yang berkualiti tinggi amat penting untuk diusahakan. Belia-belia Islam semestinya dididik menjadi Generasi Belia Ulul-Albab iaitu belia yang bertaqwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif, bebas dari pengaruh maksiat serta menjadi pemangkin agar orang lain juga berubah ke arah yang sedemikian.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian,

Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul ketika Baginda berumur 40 tahun. Para sahabat ketika itu ramai yang masih muda belia sebagaimana Ja’far bin Abi Thalib yang berusia 18 tahun, Qudaamah bin Abi Maz’un 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib ar Rumi 20 tahun, ‘Aamir bin Fuhairah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan al Miqdad bin al Aswad 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun serta Umar bin al Khathab 26 tahun. Malah Usamah bin Zaid ketika dilantik oleh Nabi SAW sebagai panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun. Maka apakah alasan untuk para belia pada hari ini untuk tidak menjadi hebat sebagaimana para sahabat di zaman Rasulullah. Sabda baginda saw :

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ ، وَفَرَاغَك قَبْلَ شَغْلِكَ، وَغِنَاك قَبْلَ فَقْرِكَ، وَشَبَابَك قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِك.


“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu, masa mudamu sebelum datangnya masa tuam dan, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu” (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)

Hadirin yang dihormati Allah,

Kehebatan generasi belia Ulul Albab ini telah terbukti melalui sejarah yang merakamkan mengenai kegigihan tentera Islam semenjak Kerajaan Bani Umaiyah, Kerajaan Bani ‘Abasiah, dan kepimpinan awal Kerajaan Othmaniah Turki yang berusaha menawan Kota Konstantinople (Istanbul), tetapi gagal. Namun tatkala muncul seorang anak muda belia iaitu Sultan Mohammad Al-Fatih, dalam usianya yang ke 21 tahun telah berjaya menawan semula Kota Konstantinople daripada Rome.

Antara kata-kata keramat Baginda ketika melancarkan percubaan terakhir pada hari yang ke 53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinople ialah:"Wahai tenteraku, Aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, maka ikutlah Aku".

Diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apakah generasi belia hari ini sedang dibawa ke arah yang sama. Tidakkah kita hari ini memberikan kebebasan yang keterlaluan kepada mereka. Terlalu banyak ruang maksiat dan kemungkaran yang didedahkan kepada mereka. Seluruh kehidupan mereka dipasakkan dengan aktiviti hiburan melebihi penekanan kita terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran. Apakah belia hari ini benar-benar telah digarap agar bersedia menjadi pejuang dan pembela kepada agama Allah suatu hari nanti. Apakah belia hari ini akan mampu menerima seruan jihad sebagaimana ghairahnya mereka memenuhi jemputan menyaksikan konsert-konsert artis tempatan yang dianjurkan dari masa ke semasa. Kuatkah keimanan mereka memilih kehidupan beragama dan mempertahankan aqidah mereka sebagaimana Pemuda Kahfi yang digambarkan oleh Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 13 dan 14:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا ﴿١٤﴾


"Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak, maka tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran".

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selain menjadi pemimpin Negara, turut memainkan peranan sebagai pendakwah yang membimbing belia agar sentiasa ta'at beribadah kepada Allah. Mereka ditarbiyah dengan akhlak yang mulia, memelihara kesempurnaan akal fikiran, menjaga kesihatan tubuh badan dan menjadi hamba kepada tuhan. Mereka akhirnya memiliki jati diri, bersifat amanah dan bertangggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Muslimin yang berbahagia,

Sesungguhnya Islam mahukan setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia dengan menyebarkan kebaikan kepada manusia lain. Islam tidak menerima manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, dengan mengatakan ; jangan sesiapa mengganggu aku, selama aku tidak mengganggu orang lain. Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab membawa kebaikan kepada manusia. Rasulullah s.a.w menyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah:

خَيْرُ الناَّسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناَّسِ


"Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang lebih bermanfaat kepada orang lain" . (Hadith Hasan dalam al-Jami’ al-Shaghir)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memastikan kehidupan kita di dunia ini mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang berbunyi:

أَنَّ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ


"Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi oIeh Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Allah iaitu : Imam (Pemimpin) yang adil, Pemuda yang hidup sentiasa beribadah kepada Allah Taala, orang yang mengingati Allah ketika bersendirian lalu menitis air matanya, Orang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu teringat kepada masjid). Orang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oIeh tangan kanannya. Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah semata-mata. Lelaki yang digoda oIeh perempuan yang cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah Taala. (Maksud Hadith Riwayat Al-Bukhari)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى


Yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi ayat 13).

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ .
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ .


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat beberapa fakta penting yang boleh sama-sama kita hayati pada khutbah yang pertama tadi iaitu:

Belia-belia Islam semestinya dididik menjadi Generasi Belia Ulul-Albab yang bertaqwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif, bebas dari pengaruh maksiat serta menjadi pemangkin agar orang lain juga berubah ke arah yang sedemikian.

Kehebatan generasi belia Ulul Albab ini telah terbukti melalui sejarah yang merakamkan mengenai kegigihan tentera Islam semenjak Kerajaan Bani Umaiyah

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam selain menjadi pemimpin Negara, turut memainkan peranan sebagai pendakwah yang membimbing belia agar sentiasa ta'at beribadah kepada Allah. Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab membawa kebaikan kepada manusia.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،   وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ .
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama sesawang www.4shared.com

Thursday, May 16, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 17 MEI 2013 M / 7 REJAB 1434 H


KHUTBAH HARI GURU 2013

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلْبَابِ – الزمر : ٩
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala laranganNya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kerjaya guru merupakan tugas mulia di sisi Islam dan Islam merupakan satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan dan memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Hari ini seluruh negara mengingati, menghargai dan meraikan para guru dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Gurulah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Ianya selari dan bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini “Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dewasa ini, terdapat pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Segala nilai-nilai yang perlu ada bagi setiap yang menuntut ilmu, tidak diamalkan. Hal ini menyebabkan keberkatan daripada Allah itu tiada. Maka dengan itu, masyarakat berilmu tetap akan lahir namun daripada aspek yang bukan kita cari.

Sebagai perbandingan, pada masa sekarang, sangat ramai ahli profesional daripada bidang masing-masing yang tampak hebat pada kaca mata manusia. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam menjalankan tugas mereka. Namun, kita akan dapat melihat perbezaan antara orang yang menjaga adab dan yang sebaliknya. Seseorang akan benar-benar ikhlas dalam menjalankan tugas kesan daripada adab terhadap guru.

Oleh yang demikian, adab-adab terhadap guru dalam menuntut ilmu sangat penting. Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ – المجادلة : ١١

Maksudnya : Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah maha dalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut. Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Syafie, "Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakah hendak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tahu kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.

Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang aku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu."

Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru. Saidina Ali R.A juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka ia adalah tuan kepadaku:”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,

Dalam menjana tranformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, tugas guru bukan sekadar menjadi mudarris(pendidik), tetapi guru juga sebagai mua’llim (penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak), dan sebagai mursyid(pembimbing ke arah kebenaran).

Kehidupan seorang guru tidak dapat lari dari hidup secara berjemaah atau dengan kata lain “Hidup Bermasyarakat”. Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau lebih dikenali sebagai masyarakat. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda :

مَنْ أَصْبَحَ وَالدُّنْياَ أَكْبَرَ هَمِّهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَتَّقِ اللهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَهْتَمَّ لِلْمُسْلِمِيْنَ عَامَةً فَلَيْسَ مِنْهُمْ - (المستدرك على الصحيحين للحاكم)

Sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan urusan keduniaan maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah. Sesiapa yang tidak bertaqwa kepada Allah maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah dan sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka.

Lihatlah tokoh-tokoh ulama nusantara seperti Prof. Dr. Hamka, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Tuan Guru Tok Kenali dan ramai lagi, mereka telah mencurahkan bakti dalam menyampaikan ilmu dan bergiat aktif dalam masyarakat. Kesinambungan usaha mereka itu sewajarnya diteruskan oleh generasi pendidik masakini.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara bersama. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah.

Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah memperkenalkan “sarana ibubapa” dan “sarana sekolah” sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibubapa, komuniti dan sektor swasta kearah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan semua mampu mengubah sistem pendidikan negara kearah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Justeru, sempena Hari Guru yang disambut setiap tahun, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa sahaja yang berbakti kepada mereka. Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi menghadap ilahi.

Mengakhiri khutbah pada hari ini mimbar menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

Buat para guru, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 2:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Tuesday, May 7, 2013

PRU 13

      Walaupun terlalu sedih dengan kekalahan dalam menentang kezaliman BN, namun terlalu banyak pengajaran yang bermain di fikiran ini. Walaupun mereka yang tidak pernah mengerti erti perjuangan menegakkan Perjuangan Islam sering memandang sinis dengan ungkapan " Kita tidak kalh tapi masih belum diberikan kemenangan oleh Allah". Mana mungkin kita mengatakan Nabi Nuh tewas dalam usaha dakwahnya sehingga terpaksa mengambil masa 950 tahun tanpa menuai hasil yang memberangsangkan.
      Dengan peningkatan 89 perwakilan PR berbanding 133 perwakilan BN, tidak mungkin sesiapapun menafikan pertambahan kemenangan bagi PR jika dinilai dari sudut kemenangan 82 perwakilan PR berbanding 140 perwakilan BN dalam pilihanraya lepas. Ini belum lagi diambilkira melalui peningkatan undi popular yang masih menyebelahi PR berbanding BN.
      Walaupun kehilangan Kedah dan Perak, namun BN sebenarnya tidak lagi boleh mendabik dada lantaran BN sudah kehilangan talian hayat melalui beberapa negeri yang dulunya seolah-olah kubu kuat mereka seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah. Kemenangan majoriti 2/3 di semua negeri yang dimenangi PR iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan pastinya menyesakkan dada pihak Barisan Nasional.
      Apa yang menarik pada PRU13 kali ini adalah penguasaan Cina dalam hampir kesemua kerusi yang ditandingi oleh mereka melalui wadah DAP. Dengan hanya tinggal 6 kerusi parlimen yang dimenangi MCA berbanding 15 kerusi pada PRU12, dan hanya 1 kerusi milik Gerakan berbanding 2 kerusi pada pilihanraya lepas, bolehlah dianggap bahawa MCA dan Gerakan sudah tidak begitu relevan bagi Barisan Nasional. Umno sepatutnya sudah mampu bertindak meminggirkan mereka jika mereka benar-benar mengasaskan perjuangan mereka terhadap bangsa Melayu sebagaimana hujahan mereka agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP.
     Bagaimana mungkin rakyat boleh menerima keputusan ini memandangkan di Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu, PR tewas selepas kiraan semula dengan peningkatan jumlah kerusi kepada BN walaupun kiraan awal PAKATAN menang di kerusi tersebut. Ini ditambah lagi dengan penglibatan pengundi-pengundi Bangla yang dilihat sebelah mata oleh pihak SPR. Apapun kita tetap terpaksa redha dengan ketentuan Allah, walaupun keredhaan itu tidak menafikan hak kita untuk menyatakan rasa tak puashati dengan penipuan yang dilakukan.
     Apa yang membimbangkan dengan keputusan ini adalah apakah hala tuju pemikiran bangsa Melayu dan ke manakah kita akan dibawa selepas ini. Dengan kempen racist secara berterusan menggunakan slogan DAP adalah komunis dan Pas menjadi kuda tunggangan DAP amat jelas begitu berkesan meracuni pemikiran bangsa Melayu. Apakah salahnya strategi PAS yang meletakkan calon yang lebih banyak daripada DAP, namun DAP yang lebih banyak mendapat kemenangan. Apakah wajar DAP dicanangkan sebagai memperdayakan PAS sedangkan kesemua ahli dan penyokong DAP mengundi PAS tetapi malangnya ahli dan penyokong UMNO yang gagal menyokong bagi memberikan kemenangan kepada PAS.
     Wajarkah kita berterusan menghina dan memandang serong kepada orang Cina sedangkan mereka hanya bersatu untuk meruntuhkan BN dimaklumi menzalimi rakyat yang tidak bersama mereka. Dengan manifesto PR yang begitu jelas mendahulukan rakyat merangkumi peningkatan taraf hidup dan pendapatan rakyat serta pengurangan kos sara hidup, ianya mampu menarik perhatian kaum Cina berbanding Melayu yang lebih terfokus kepada rasa terhutang budi terhadap pemberian One-Off seperti BRIM dan retorik kebimbangan terhadap terjejasnya ketuanan Melayu yang hakikatnya hanya tinggal sejarah semata-mata.
    Ini semua membayangkan perbezaan yang amat ketara dalam corak pemikiran Bangsa Melayu dan Bangsa Cina. Tidak hairanlah kerana Bangsa Cina adalah bangsa yang jauh lebih awal memiliki tamadun kemanusiaan di Negara China berbanding Kesultanan Melaka. Dari sudut keagamaan, Bangsa Cina jauh lebih awal menerima Islam berbanding Bangsa Melayu sehingga tidak keterlaluan jika diistilahkan Bangsa Melayu adalah Muallaf jika dinisbahkan kepada Bangsa Cina. Maka Bangsa Cina hanya tidak mengungkapkan dua kalimah syahadah sebagaimana kita sedangkan nilai-nilai Islam lebih banyak dimiliki dan dihayati oleh mereka berbanding kita.
     Mungkin bagi Pas ada hikmah yang terlalu besar dengan kegagalan ini. Dengan sikap BN yang sanggup melakukan apa sahaj untuk mempertahankan kuasa, mungkin kemenangan PR pada PRU ini akan menyebabkan kekacauan yang besar akibat BN yang mungkin masih gagal menerima kekalahan dan kehilangan kuasa. Mungkin Allah sengaja melambatkan kemenangan PR ini bagi memberi masa mereka menyedari kehendak hati rakyat melalui catatan keputusan terperinci di peringkat parlimen dan pertambahan 71 kerusi DUN bagi pihak PR yang pastinya disedari oleh pihak BN. Boleh jadi juga Allah menghendaki agar pengaruh DSAI berlalu sehingga tidak ada lagi yang benar-benar layak menerajui negara melainkan seluruh rakyat ketika itu melihat Presiden PAS ketika PRU14 nanti paling sesuai untuk menerajui negara dan membawa Islam yang akan diterima oleh semua.
     Apa yang pasti tugas kita masih terlalu banyak dalam membangunkan pemikiran Bangsa Melayu dan corak pemikiran mereka. Keputusan pilihanraya tetap merupakan satu ketetapan Allah yang perlu kita terima bersama. Namun ada beban dan amanah yang amat berat sedang menanti kita terutamanya mereka yang menerima anugerah ilmu agama daripada Allah.

Friday, May 3, 2013

KHUTBAH PILIHANRAYA


MENCARI PEMIMPIN DUNIA DAN AKHIRAT

 اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (al-Baqarah: 30)

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 

وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

 

Sidang Jumaat Sekelian,

          Di antara matlamat perutusan manusia ke muka bumi adalah bagi melaksanakan tugas sebagai Khalifah Allah. Imam al-Mawardi menjelaskan dalam kitabnya al-Ahkam al-Sulthoniyyah sebagai :

حِرَاسَةُ الدِّيْنِ وَسِياَسَةُ الدُّنيْاَ بِهِ ”, iaitu “Menjaga Agama dan Mentadbir Dunia dengan agama.” Oleh kerana menjaga agama adalah tugas yang utama, maka mentadbir dunia juga mestilah dalam ruang lingkup menjaga agama dan mentadbir dunia tidak boleh bercanggah dengan agama. Oleh kerana tugas kepimpinan adalah tugas agama, maka melantik pemimpin juga adalah tugas keagamaan yang berkait rapat dengan dosa dan pahala. Jika perlantikan pemimpin bertepatan dengan ciri-ciri yang ditentukan oleh Allah, maka ianya akan diredhai oleh Allah, dan begitulah sebaliknya.

 

Perlantikan pemimpin dan memastikan pemimpin yang dipilih mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah adalah wajib secara ijmak. Kegagalan kita untuk melantik pemimpin ataupun kegagalan kita melantik pemimpin bagi melaksanakan perintah Allah di muka bumi akan menyebabkan kita terpaksa berhadapan dengan Allah di akhirat nanti. Inilah yang menyebabkan para sahabat beramai-ramai meninggalkan jenazah rasulullah saw untuk melantik khalifah bagi menggantikan Rasulullah.

         

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah menggambarkan dua kelompok kepimpinan yang diredhai dan dimurkai oleh Allah. Dalam surah as-Sajadah ayat 24 Allah menyatakan mengenai kelompok pemimpin yang diredhainya iaitu:

 

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Dan Kami jadikan di kalangan kamu pemimpin yang membimbing rakyatnya ke jalan Kami selama mana mereka bersabar, dan mereka yakin dengan ayat-ayat Kami. 

 

Para pemimpin ini adalah pemimpin yang sentiasa menyedarkan rakyatnya agar sentiasa mengingati Allah, mengajak rakyatnya agar taat kepada perintah Allah dan sentiasa mengajak kepada makruf dan mencegah daripada munkar. Berbeza dengan kelompok kepimpinan yang dimurkai Allah sebagaimana FirmanNya :

 

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يُنْصَرُونَ - (القصص: 41)

Dan Kami jadikan mereka pemimpin yang mengajak rakyatnya ke neraka, dan pada hari kiamat mereka tidak akan dibantu.

 

Saudara kaum Muslimin yang dihormati,

Sebahagian dari pemimpin yang ada hari ini adalah pemimpin yang membawa rakyatnya ke neraka. Mereka hanya memikirkan bagaimana untuk memenuhi serakah nafsu rakyatnya dalam berhibur secara membabi buta, mereka menganiaya dan menzalimi rakyatnya yang tidak berupaya, mereka mengaut segala khazanah negara demi mengkayakan kaum keluarga dan kroni-kroni mereka dan mereka tidak pernah memikirkan bagaimana untuk mengajak rakyat mereka kembali menghayati agama.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Menjadi pemimpin bukanlah satu keistimewaan dan penghormatan, tetapi semata-mata satu beban dan tanggungjawab. Oleh sebab itu hanya mereka yang benar-benar layak serta mampu memikul tugas dan tanggungjawab untuk memimpin ummat ke jalan yang diredhai oleh Allah sahajalah yang berhak dipilih. Mana mungkin mereka yang tidak mampu memimpin kita dalam perkara semudah menjadi imam solat jemaah, dapat kita berikan kepercayaan untuk memimpin kita mencapai kebahagiaan di akhirat.  Sabda Rasulullah saw:

مَـنِ اسْـتـَعْـمَـلَ رَجُـلاً عَلىَ عَـصَـابَـةٍ وَفِـيـْهِـمْ مَـنْ  هُـوَ اَرْضىَ اللهُ مِـنـْهُ فَـقـَدْ خـَانَ اللهَ وَرَسُــوْلـَهُ  وَالْـمُــْؤمِـنِـيْـنَ .

Barangsiapa yang mengangkat seseorang menjadi ketua (pemimpin) kepada sesuatu golongan, sedangkan dalam golongan itu ada orang yang lebih layak dan lebih diredhai oleh Allah untuk menjadi ketua (pemimpin), maka sesungguhnya dia telah khianat kepada Allah, Rasul, dan kepada orang-orang mukmin.  -    Hadith riwayat Hakim daripada Ibnu Abbas

 

Sidang Jumaat sekalian,

Menyerahkan amanah kepimpinan kepada orang-orang yang tidak layak adalah satu pengkhianatan yang besar. Kehancuran besar boleh berlaku kepada umat Islam apabila urusan kepimpinan mereka berada di tangan orang-orang yang bukan ahlinya. Janganlah kita mengkhianati Allah dan Rasul dengan memilih pemimpin yang tidak pernah takut kepada Allah sehingga bebas melakukan penyelewengan, pembaziran, salahlaku kuasa, rasuah, dan memandang ringan segala penyakit yang berlaku di kalangan masyarakat termasuk zina, perjudian, dan lain-lain kerja mungkar, hanya atas dasar  satu bangsa.  Tidak salah memilih calon yang tidak beragama Islam, tetapi memiliki integriti dan keperibadian mulia, jujur dan amanah .  

 

Sidang Jumaat sekalian,

 

                   Persaingan dan perlumbaan memenangi pilihanraya hendaklah dijadikan persaingan dan perlumbaan ke arah memenangkan Islam. Kita wajib melakukan perubahan ke arah mencari suatu yang lebih baik.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.  

 

 

خطبة كدوا


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :


يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖفَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا  - سورة الإسراء : 71

Dan suatu hari nanti Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikitpun.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Pemilihan pemimpin bukanlah hanya terhenti setakat masa depan kita di dunia yang fana ini semata-mata. Di akhirat kelak kita akan dihimpunkan bersama pemimpin yang kita pilih. Jika di dunia kita hanya mementingkan kemajuan kebendaan semata-mata, maka tiada bezanya kita dengan negara-negara barat yang menjadi maju dengan kecekapan para pemimpin mereka. Mampukah pemimpin sebegini menyelamatkan kita daripada neraka sedangkan nasib mereka sendiri di seperti berada hujung tanduk akibat kemurkaan Allah.

Yakinlah dengan kepimpinan mereka yang bertaqwa kerana mereka mampu membawa kita mendekati Allah. Barangsiapa yang mengejar dunia, dunia pasti melarikan diri darinya. Barangsiapa yang mengejar akhirat, maka dunia pasti akan mengejar mereka. Berbahagialah kita jika kita memilih pemimpin yang tepat yang sentiasa membawa kita ke jalan Allah.

 

 اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،

وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ

اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .

 اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.

 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ

اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.

رَبَّنَا آتنِاَ فِيْ الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِيْ اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرْوْهٌ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.

 

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA