Thursday, December 19, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 20 DISEMBER 2013 / 17 SAFAR 1435H



“PERKAHWINAN MENYELAMATKAN UMMAH DARI ZINA”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ .
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, mimbar minggu ini akan membincang satu tajuk yang amat sinonim di penghujung tahun mahupun ketika cuti persekolahan. Perkahwinan adalah salah satu tuntutan fitrah yang digalakkan di dalam Islam. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi saw. Perkahwinan adalah permulaan kepada sebuah cinta suci seorang jejaka bersama pasangannya. Perkahwinan adalah ikatan suci membawa ke syurga. Perkahwinan adalah penyelamat umat.

Firman Allah swt di dalam surah an Nisa’ ayat 3:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا ﴿٣﴾

Yang bermaksud: Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap anak yatim (dengan mengahwini anak yatim perempuan), maka kahwinlah perempuan-perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat (lebih ringan jika dibandingkan dengan menjaga hak anak yatim yang dinikahi). Tetapi jika kamu takut tidak berupaya berlaku adil, maka (cukuplah mengahwini) satu orang sahaja, atau hamba yang kamu miliki, (kerana) yang demikian lebih hampir kepada tidak berbuat aniaya.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, baginda Nabi saw bersabda yang berbunyi;

عَنْ عَبْدِ اللَّه قَالَ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a. berkata, Rasulullah saw telah bersabda kepada kami “Wahai pemuda, barangsiapa yang mampu menyediakan mas kahwin (juga persediaan perkahwinan), maka kahwinlah segera kerana perkahwinan dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tak mampu maka baginya berpuasa, kerana puasa baginya dapat menahan nafsunya”.

Para ulama' telah membuat penentuan hukum dengan berdasarkan kepada kedudukan dan kemampuan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Para ulama' telah membahagikannya kepada 5 jenis hukum iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh.

Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja tetapi dalam pada itu berkemungkinan boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram dan makruh di mana sesuai dengan keadaan seseorang yang akan menempuh perkahwinan.

Yang pertama, orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina. Manakala yang kedua adalah sunat berkahwin bagi orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang. Yang ketiga, orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi kalau ia berkahwin akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila yang bahaya, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya. Manakala yang terakhir adalah orang yang makruh berkahwin ialah orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan berkahwin) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejajar dunia akhir zaman, cabaran pemuda pemudi kini semakin hari semakin hebat. Pergaulan lelaki perempuan semakin sukar dikawal. Penggunaan media baru tidak mungkin lagi dipandang sepi. Cabaran mereka semakin mengancam iman. Pemuda pemuda perlu jalan keluar. Cabaran ini tak akan mampu mereka jalani tanpa bantuan orang yang lebih tua. Mari kita selamatkan mereka dan umat masa hadapan. Berikan mereka jalan keluar sebelum menyalahkan mereka. Perkahwinan mesti dipermudahkan. Perkahwinan adalah penyelamat umat.

Buangkan sifat ego dengan kedudukan, seronok dengan penghargaan serta asyik dengan pujian. Ibu bapa sebagai kumpulan pertama perlu membuat perubahan. Pemilihan calon menantu hendaklah dinilai agamanya bukan pangkat dan harta. Penilaian mas kahwin dan hantaran mengikut kemampuan bukan kemahuan. Majlis walimah yang sederhana mengikut Sunnah bukan berhabis-habis hingga terasa susah.

Terdengar kini, perkahwinan menelan belanja yang tinggi sehingga puluhan ribu, hantaran dan mas kahwin saja sudah berbelas ribu, pakaian mewah, set pelamin dan sebagainya. Semua ini bukanlah keutamaan yang patut kita beri pertimbangan. Islam mengajar kita bertindak mengikut keutamaan sesuatu perkara. Melaksanakan urusan Nikah yang sederhana adalah lebih menepati kehendak Nabi saw serta keperluan semasa yang agak meruncing. Keutamaan kini adalah menghalalkan pergaulan dan menjaga nasab (keturunan) umat Islam. Melewatkan perkahwinan dengan kehendak nafsu keluarga yang pelbagai bakal mengakibatkan kesan yang lebih buruk.

Perkahwinan hendaklah dijadikan tanggungjawab bersama bagi menyelesaikan masalah umat. Perkahwinan mesti dimudahkan demi memenuhi perintah Allah dan Rasul saw. Sedarlah, melewat-lewatkan perkahwinan mengakibatkan dosa, menyusahkannya mengakibatkan pergaulan bebas, zina serta buang bayi.

Mahukah kita dipersoal Allah di akhirat kelak atas kesalahan ini?. Tidak malukah kita yang melaungkan perjuangan kembali kepada Al Quran dan al Sunnah dalam pemerintahan Negara tetapi lupa kembali kepada Al Quran dan al Sunnah dalam menguruskan urusan perkahwinan anak-anak di bawah jagaan sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bantulah anak-anak kita, permudahkan urusan perkahwinan mereka. Utamakan agama berbanding dunia dan segala isinya. Elakkan prasangka buruk terhadap perkahwinan usia muda. Berikan ruang kepada mereka beramal dengan sunnah Nabi saw dengan cara yang lebih mudah. Janganlah kita bimbang dengan rezeki Allah bagi orang yang mahu berkahwin. Belum cukup duit tidak boleh terus dijadikan alasan sesama kita.

Firman Allah swt dalam surah an Nur ayat 32:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٣٢﴾

Yang bermaksud "Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui" (Surah An-Nur 32)

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Oleh yang demikian, ibubapa dan masyarakat disarankan supaya dipermudahkan urusan perkahwinan termasuklah tidak memberatkan dengan adat-adat yang tidak selari dengan syariat, seperti meninggikan wang hantaran dan berlebihan dalam majlis walimah (kenduri kahwin) sehingga menyebabkan pembaziran.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ




Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أجمعين .  
أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. 
قاَلَ الله تَعاَلَى : وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Akhirnya, mimbar Jumaat sekali lagi mengajak kita mengubah persepsi kita tentang perkahwinan. Perkahwinan bukan barang perniagaan yang patut dijadikan perlumbaan kebanggaan dan keuntungan. Perkahwinan adalah satu jalan kemuliaan. Perkahwinan adalah keperluan. Mudahkan perkahwinan! Perkahwinan adalah penyelesaian masalah umat!.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ . اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ .
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ . رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuatturun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment