Thursday, November 28, 2013

Khutbah Jumaat - 29 November 2013/25 Muharram 1435H



TANGGUNGJAWAB MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِلِ فِىْ كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا (النساء:٣٤)
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat serta kasih sayang Allah SWT.

Sidang Jumaat sekelian,

Islam merupakan satu-satunya agama yang begitu memuliakan kaum wanita. Sebelum kedatangan Islam orang Arab di zaman Jahiliah telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup sama ada sebaik sahaja anak perempuan tersebut lahir ataupun telah meningkat ke usia remaja. Ini kerana mereka menganggap anak perempuan akan membawa malu serta aib kepada keluarga. Dalam hal ini Allah SWT ada menyebutkan dalam firman-Nya:

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ ﴿٥٨﴾
يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ ﴿٥٩﴾ - سورة النحل.
“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya, sedang ia sangat marah. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya; adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.”

Sidang Jumaat Rahimakumullah,

Sejak akhir-akhir ini, amalan jahiliah ini kembali menggegarkan kita. Namun bezanya, pembunuhan tidak lagi terhad kepada bayi perempuan semata-mata malah melibatkan wanita dewasa. Beberapa insiden yang mengerikan kita semua terutama sekali yang melibatkan anak-anak gadis dan kaum wanita khususnya. Pembunuhan, penderaan, sindiket pelacuran, pemerkosaan dan sebagainya berlaku di mana-mana. Hal ini tidak cukup sekadar hanya melafazkan kata-kata ‘kasihan’ di bibir tanpa usaha bersungguh-sungguh bagi menghalangnya dari terus berleluasa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah menjadikan segala makhluk di alam ini dalam keadaan berpasangan. Maka diciptakan wanita sebagai pasangan untuk lelaki. Dari segi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, Allah SWT tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam hal memberi ganjaran ataupun pahala dalam setiap amal salih yang dilakukan. Pada sisi Allah, lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama dalam mengatur kehidupan yang sempurna di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٩٧)
“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Sidang Jumaat sekelian,

Lelaki merupakan pemimpin yang diamanahkan supaya melindungi wanita. Tanggungjawab ini adalah bersesuaian dengan beberapa kelebihan dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Sehubungan dengan itu, lelaki hendaklah menghormati, memuliakan dan melindungi wanita semampu mungkin. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 34:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka.”

Jelaslah bahawa, kaum lelaki mempunyai tanggungjawab bagi melindungi wanita walau siapapun dan apapun hubungan mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa junjungan besar Nabi Muhammad saw merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Dalam hal ini, baginda Rasulullah saw pernah bersabda riwayat Imam At-Tarrmizi:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Daripada Aishah berkata, sabda Rasulullah saw: Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku”.

Sesungguhnya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW telah terbukti berjaya mengubah nasib golongan wanita di seluruh dunia, dari lembah kehinaan dan diskriminasi, lalu diangkat kedudukannya yang mulia dan terhormat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Malangnya masih ada lagi segelintir dari kita yang tidak berlaku adil terhadap wanita. Pandangan dan buah fikiran wanita dianggap sebagai pandangan yang remeh. Prestasi kerja dinilai berasaskan jantina bukan berasaskan prestasi. Segala yang dilakukan oleh wanita sentiasa dipandang serong tetapi masih dianggap baik jika dilakukan oleh lelaki. Lebih dari itu tidak kurang isteri yang didera suaminya sama ada secara fizikal mahupun mental.

Ironisnya, terdapat kaum wanita sendiri yang merelakan diri mereka di eksploitasi dan dijadikan bahan tontonan di mana sahaja. Tatkala Islam mengangkat maruah dan martabat kaum wanita, mereka sendiri yang mencemarkannya. Maka hendaklah kita memimpin anak-anak dan isteri-isteri kita agar mereka tunduk kepada kehendak Allah dan rasulNya. Sabda Nabi Muhammad saw dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari :

اِسْتَوْصُوا بِالنِّساَءِ، فإنَّ الْمَرْأَةَ خُلقتْ مِنْ ضِلَعٍ، وإنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ في الضِّلْعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّساَءِ
Berpesan-pesanlah terhadap kaum wanita. Sesungguhnya wanita dijadikan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya yang paling bengkok pada tulang rusuk itu adalah yang paling di atas. Jika kamu cuba meluruskannya dengan kasar nescaya kamu akan mematahkannya. Jika sekiranya kamu biarkan sahaja maka ia akan terus bengkok. Maka berpesan-pesanlah terhadap kaum wanita.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقآئِلِ فِىْ كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (آل عمران: ١٠٤)
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat sekalian,

Manusia telah dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Sebagai manusia yang dijadikan berpasangan, kita hendaklah sentiasa menjalankan fungsi masing-masing mengikut kemampuan dan budaya kehidupan berasaskan jantina masing-masing. Ada urusan yang tidak mampu dilakukan oleh kaum lelaki dan ada urusan yang tidak mampu dan tidak sesuai untuk dilakukan oleh kaum wanita. Sempena HARI ANTARABANGSA MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA yang disambut setiap 25 November, maka marilah kita mengembalikan kemuliaan wanita sebagimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat. Kaum lelaki wajib menghormati dan memuliakan kaum wanita dan kaum wanita mestilah tidak mencemarkan kemuliaan mereka dengan membiarkan mereka menjadi bahan eksploitasi kaum lelaki. Pendedahan aurat dan berpakaian seksi adalah satu bentuk pencemaran terhadap kemuliaan kaum wanita dan merupakan gangguan terhadap ketenangan kaum lelaki.

Samada kita seorang wanita ataupun lelaki, kita mempunyai tanggungjawab terhadap agama dan negara. Tanpa iman dan taqwa apalah nilai seseorang individu itu samada dia seorang lelaki ataupun wanita.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Friday, November 8, 2013

Khutbah Jumaat - 4 Muharram 1435 H / 8 November 2013 M




KEWAJIPAN BERHIJRAH DAN BERJIHAD

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلَايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (الأنفال:٧٢)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.

أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Marilah kita bersama bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan Islam. Marilah kita berhijrah daripada kehidupan yang hanya mementingkan dunia dan kepentingannya, kepada kehidupan yang penuh dengan iman dan taqwa, yang hanya akan memenangkan Islam berbanding dunia dan seisinya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah bukan sahaja perlu dilihat dari sudut dan bentuk penghijrahan peribadi tetapi yang lebih besar dari itu adalah penghijrahan tanahair baginda dari sebuah negara pimpinan golongan bangsawan yang berpaksikan sistem keadilan sejagat semata-mata kepada sebuah negara Islam yang dipimpin oleh seorang nabi yang hanya menurut ketentuan Allah dan rasulnya.

Negara Mekah bukan tidak memiliki undang-undang yang mampu mengawal keamanan masyarakat malah mereka amat menjaga keadilan mengikut peraturan yang mereka bina sendiri. Mereka mengikat Perjanjian Fudhul yang melibatkan para pembesar Mekah yang berkumpul di kediaman Abdullah bin Jad’an al-Taiyimi. Kesemua mereka bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya. Rasulullah saw yang turut serta dalam perjanjian tersebut sebelum dilantik menjadi rasul telah memuji, dengan sabdanya yang bermaksud:

Aku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jad’an. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya aku beri persetujuan segera.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika hanya sekadar mencari kehidupan yang aman sejahtera, Rasulullah saw tidak perlu berhijrah ke Madinah. Namun negara yang aman tetapi tidak dinaungi petunjuk Ilahi tidak mencukupi untuk mendapatkan keredhaan tuhan. Inilah punca berhijrahnya rasulullah saw untuk membina negara Islam yang meletakkan Islam di kedudukan tertinggi. Islam mesti dinobatkan sebagai undang-undang tertinggi dan Umat Islam mestilah memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita sudah memiliki negara yang meletakkan Islam sebagai agamanya. Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan Agama Persekutuan. Jika dinisbahkan kepada individu maka agama negara ini adalah Islam. Maka akidahnya, syariatnya, akhlaknya, undang-undang dan budayanya adalah Islam. Dalam masa yang sama agama-agama lain masih bebas diamalkan oleh setiap penganutnya. Namun begitu, penganut agama-agama lain tidak dibenarkan melakukan penyebaran apa-apa kepercayaan atau ajaran agama mereka di kalangan orang Islam.

Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama lain. Namun jika kita gagal mengambil manfaat daripada peruntukan sedia ada, maka tidak ada jaminan untuk Islam menjadi cara hidup yang sempurna di negara ini. Jika umat Islam sendiri tidak berjihad mempertahankan ketuanan Islam di negara ini, maka hijrah kita hanyalah seumpama hijrah para sahabat ke Habsyah yang hanya bagi mendapatkan kebebasan melaksanakan amalan keagamaan semata-mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Para Mufassirin membahagikan para sahabat kepada 4 kelompok berdasarkan ayat yang dibacakan tadi. Ada sahabat yang berhijrah sebelum berlakunya Perang Badar serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Ada sahabat yang terdiri dari golongan Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah. Ada sahabat yang belum berhijrah sehinggalah berlakunya Perjanjian Hudaibiah. Dan ada yang berhijrah selepas berlakunya Perjanjian Hudaibiah. Allah mewajibkan bantuan diberikan kepada yang berhijrah dan golongan yang meminta pertolongan daripada penindasan kuffar melainkan jika adanya perjanjian antara orang kafir dan orang Islam. Dalam hal ini, Islam tetap berpegang teguh dengan perjanjian walaupun zahirnya seolah-olah merugikan Islam.

Di negara ini terdapat berbagai sikap umat Islam terhadap Islam dan perjuangan memartabatkan Islam. Sebahagian dari kita berjuang dan berjihad dalam berbagai bidang untuk memartabatkan Islam, memenangkan Islam berbanding kepentingan lain dan sanggup mati demi perjuangan Islam.

Sebahagian dari kita tidak mempunyai ilmu dan tidak berkemampuan untuk berjuang dan berjihad, namun membantu perjuangan Islam samada secara terang-terangan ataupun secara bersembunyi. Namun ada sebahagian lagi yang hanya menangguk di air keruh, menunjukkan kegembiraan dengan kebangkitan Islam jika memberikan manfaat kepadanya namun turut sama menekan pejuang Islam jika Islam berada di bawah. Ada di antara kita sibuk mempersoalkan apa yang mampu kita perolehi daripada Islam tanpa melihat kepada apa sumbangan kita terhadap Islam.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Kita wajib mempertahankan ketuanan Islam yang masih ada dalam Negara demi memastikan Islam sentiasa memimpin negara. Apa perlunya umat Islam sibuk mempertahankan hak orang kafir menggunakan kalimah Allah sedangkan kita memandang ringan ancaman terhadap aqidah umat Islam dari tindakan tersebut. Wajarkah kita menghentikan ibadat qurban di sekolah-sekolah kerana menghormati penganut agama Hindu, sedangkan mereka sewenang-wenangnya melakukan upacara keagamaan mereka di jalan-jalan raya sehingga tanpa menghormati sesiapa. Apakah kita akan tunduk kepada tuntutan golongan yang menyalahgunakan hak asasi manusia sehingga membiarkan hubungan sejenis yang menjijikkan dan mengiktiraf golongan sesat seperti Syiah sedangkan para sahabat menggunakan penguatkuasaan undang-undang dan kekuatan ketenteraan bagi menghapuskan golongan sesat seperti mereka. Islam amat menghormati hak agama lain tapi tidaklah sampai menjolok mata sehingga tidak ada bezanya Negara yang kuasai dengan negara yang masih mereka jajahi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (الحج:٥٨) 

Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَماَّ بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ،

اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudah sekian lama kita merdeka dan meraikan Maal Hijrah, apakah kita semakin menghampiri dan menuju ke arah Negara Islam sebagaimana yang diasaskan oleh rasulullah saw di Madinatul Munawwarah. Apakah cukup sekadar meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan sedangkan Umat Islam tidak sebebas penganut agama lain dalam mengamalkan ibadat dan ajaran Islam sepenuhnya. Semua pihak mesti berhijrah dengan memihak dan memenangkan Islam dalam apa sahaja yang berkaitan dengan agama-agama lain. Jika para sahabat berhijrah meninggalkan tanahair sehingga ada yang terbunuh, janganlah kita yang sudah berada di Negara yang dikuasai oleh Umat Islam kembali meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ،
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .




Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com






Saturday, November 2, 2013

Kitar Semula Idea Islam Liberal

posterWPRJILID2


Date: Saturday, 14 December 2013
Time: 3:00PM – 5:30PM
Venue: The Black Box, Publika, Sri Hartamas
Registration: http://wacana2.eventbrite.com/

Islam menentang pemikiran jumud yang tidak sedia untuk mendepani zaman. Kemajuan berfikir dalam Islam adalah ciri utama Islam, ia bukan satu pilihan tetapi satu kewajipan. Sejak dari awal wahyu diturunkan, keperluan memartabatkan keupayaan intelektual melalui pembacaan adalah asas permulaan wahyu. Sepanjang sejarah wahyu, terpasaknya kepentingan ilmu didahului dengan ketawhidan yang mutlak kepada Sang Pencipta. Pencerahan ilmu membuka ruang untuk kita menilai, merungkai, malah mencabar fahaman kita terhadap sesuatu isu yang difikirkan sudah beres polemiknya selama ini. Melalui proses pentaakulan ini kita akan menemui ide baru, pemikiran baru yang amat diperlukan untuk mendepani zaman yang berubah-ubah dan lebih penting nilai keberadaan Islam dalam lingkaran masyarakat terkini dapat dibuktikan. Demikian inilah yang kita fahami terhadap maksud Tajdid atau Pembaharuan yang dianjurkan oleh Islam. Sepanjang sejarah perkembangan pemikiran Islam, berbagai aliran bertembung antara satu sama lain, bermula dari perkembangan dan pembentukan teologi kepada perkembangan mazahib dan politik Islam adalah tidak lain tidak bukan, produk kebebasan berfikir yang ditampong genangannya oleh Islam. Walaupun sejarah ini sesekali menyaksikan campurtangan kepentingan politik dari istana Khalifah, namun penjanaan intelek tetap subur sehingga budaya ilmu menjadi mercutanda kejayaan Tamadun Islam. Alangkah berhajatnya kita kepada kegemilangan berfikir ini, khususnya dalam era Islam mendapat tempat dalam pentas acara utama dunia. Kebangkitan dalam revolusi musim semi dunia Arab tiba-tiba meletakkan wacana politik Islam dalam daerah operasi sedangkan sebelumnya ia di dalam buku-buku yang dibaca oleh golongan tertentu sahaja. Sinergi antara teori dan operasinya kadangkali mencabar antara konsep Pan-Islamisme dan gagasan negara bangsa. Begitu juga dengan konsep Tatbiq Syari’ah yang dilaungkan dengan keperluan yang lebih utama dari segi sosio-ekonomi rakyat yang memerlukan pembungkahan semula dari regim lama. Bagaimanakah pula sinergi dari segi teori dan operasinya kepada soal-soal konstitutionalisme yang selama ini ditolak oleh golongan Islamis kerana kerangka sekularnya? Tidak syak lagi satu pemikiran sinergi yang kontemporari sifatnya amat diperlukan. Ia bukan sesuatu yang sukar apabila pandangan-pandangan daripada ulama’ dan pemikir pasca-Khilafah sudahpun membuat percubaan-percubaan berani untuk mencabar status-quo pemikiran umat. Malah jika kita melusuri pemikiran ulama’ era Khilafah sekalipun, pasti kita akan ketemui ijtihadad ketika itu yang mendahului zamannya. Apa yang dipersembahkan dalam penulisan buku ini adalah inisiatif pemikiran kritis dan progresif, manakala muatan esei-esei dalam buku ini adalah bukti kepada kesungguhan para penulisnya untuk menggali persoalan sinergi teori dan operasi di mana konsep asasnya ialah Tajdid Pemikiran atau membentuk sebuah Renaissance. Tajdid adalah dua serampang yang membentuk keperluan dalaman umat memahami agamanya dalam zamannya dan ia juga adalah keperluan luaran bagi menzahirkan kesungguhan Islam mengungguli cabaran semasa yang dihadapinya.

Al-Faqir Ila Afwi Rabbihi


Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

see more at: http://irfront.net/post/events/pelancaran-wacana-pemikiran-reformis-ii/#sthash.DiEFRFkE.dpuf


Inilah Pelancaran Buku Wacana Pemikiran Reformis Jilid 11 yang disebutkan oleh Muhammad Atiullah Bin Othman, dalam Liqa' Fikri, Air Kuning malam kelmarin. 

Bahan penulisan dan idea pemikiran yang begitu ditatang oleh dua dari pimpinan pusat yang begitu berbahaya bukan sahaja kepada parti malah kepada akidah umat Islam sejagat. Bagi yang mempunyai access internet, layarilah laman web yang dinyatakan. Bagi yang mampu memiliki bukunya sama ada jilid 1 atau jilid 11, maka nilailah dari kaca mata iman. Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah Islam.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ