bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Friday, October 18, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 18 OKTOBER 2013 / 11 ZULHIJJAH 1434H




“PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT – TUNTUTAN ISLAM”

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، 
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Saudara Jamaah yang dikasihi Allah,

Menghormati serta menghargai warga tua bererti berbuat baik kepada mereka dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan sewaktu berkomunikasi dengan mereka, memelihara dan memberi kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas di samping tidak sekali-kali menyakiti hati mereka sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Sesungguhnya, Islam sedari awal lagi telah menuntut anak-anak dan masyarakat seluruhnya supaya menghormati atau berbuat baik kepada warga tua terutama sekali kedua ibu bapa kita. Perintah ini terakam pada firman Allah:-

۞ وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ﴿٢٤﴾

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil." (S. Al-Isra' : 23-24).

Melalui ayat ini, kita dapat lihat bahawa berbuat baik kepada orang tua merupakan kewajipan terpenting sesudah menyembah dan mengabdi diri kepada Allah SWT. Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan ibu bapa dan warga tua dalam konteks hiraki keluarga dan masyarakat. Maknanya, anak-anak dan generasi muda tidak boleh sama sekali mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab mereka kepada kedua orang tua masing-masing. Dan, tuntutan berbuat baik kepada mereka meliputi pelbagai aspek.

Antaranya yang paling asas termasuklah menjalinkan hubungan yang baik dengan kedua orang tua dalam apa jua keadaan dan suasananya. Ini termasuklah memberi mereka nafkah menurut kemampuan di samping sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak terguris. Caranya ialah dengan memastikan hasrat dan keinginan mereka dipenuhi, selagi mereka tidak menyuruh melakukan sesuatu yang mungkar dan menyekutukan Allah SWT. Ini adalah suatu cara untuk memperolehi keredaan ibu bapa sekali gus memperolehi reda Allah SWT.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Salah satu aspek yang sering kita lupa dalam melayani warga tua, adalah dari sudut peningkatan ilmu pengetahuan. Sebahagian besar dari kita menganggap tugas menuntut ilmu adalah merupakan tanggungjawab anak-anak kecil, remaja-remaja, para belia dan mereka yang sihat tubuh badannya. Kita menyangka, warga emas hanya perlu disediakan kemudahan untuk mereka berehat, menghabiskan masa dengan bersantai menanti datangnya ajal menjemput mereka kembali kepada tuhan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kehidupan di dunia ini kita amat dituntut mempelajari pelbagai ilmu untuk memakmurkan dunia. Kita juga dituntut mengikhlaskan niat menuntut ilmu hanya kerana Allah SWT. Allah s.w.t meletakkan kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan yang mampu mengatasi kekuatan-kekuatan lain yang ada pada manusia. Kesinambungan budaya ilmu berterusan bermula sejak Nabi Adam a.s hingga sampai kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa bersejarah penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’ juga adalah berkaitan dengan keilmuan. Firman Allah s.w.t :

اِقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق، خَلَقَ الإِنسَانَ مِنْ عَلَق،  اِقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ، اَلَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ.

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.."

Ayat di atas tadi menjelaskan bahawa Islam menyeru umatnya supaya berilmu dan mementingkan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulung dan bertamadun di mata dunia. Benarlah segala seruan Allah s.w.t dan rasulnya bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan. Oleh yang demikian, proses menuntut ilmu adalah satu usaha yang berterusan sepanjang hayat seseorang insan. Wahyu pertama yang diturunkan telah menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, apa yang dapat dicerap daripada wahyu ini juga ialah batas usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan. Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi s.a.w di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah :

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam."

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Islam amat memuliakan ilmu pengetahuan dan menganjurkan umatnya supaya menjadi orang yang berilmu pengetahuan. Dalam hal ini, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam sama ada tua atau muda. Mempelajari ilmu pengetahuan sepanjang hayat amat digalakkan untuk mengangkat ketinggian peradaban umat pada masa akan datang. Lantaran itu, proses pembelajaran yang dimaksudkan bukan sahaja menuntut ilmu di sekolah dan di universiti malah belajar melalui pembacaan, ceramah, bengkel dan apa sahaja cara yang dapat membantu meningkatkan ilmu.

Usia yang dianugerahkan oleh Allah akan terisi dengan ilmu yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat. Allah SWT telah menjelaskan kedudukan orang yang berilmu dalam surah al Mujadalah ayat 11:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ‏

Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat."

Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran:

“Ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam”

Imam Al-Ghazali menegaskan :

“Ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan. Dengan ilmu, hamba Allah itu sampai ke tempat orang baik-baik dan darjat yang tinggi yang membezakan antara manusia dan haiwan.”


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَذُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
قاَلَ الله تَعاَلَى : وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Muslimin Muslimat Sekelian,

Setiap individu haruslah berusaha melakukan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi mewujudkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Pembangunan insan dan juga pembangunan modal insan hanya dapat dilakukan melalui ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi.

Sempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2013 yang disambut pada bulan Oktober ini yang bertemakan “Pembelajaran Sepanjang Hayat” marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai kualiti hidup yang sejahtera dan bertamadun. Hendaklah setiap daripada kita berilmu dan terus menimba ilmu. Pembelajaran sepanjang hayat adalah jawapan yang paling tepat yang seharusnya dilakukan oleh generasi sekarang dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang remeh-temeh yang boleh mengganggu tumpuan dan fokus ke arah pencapaian akademik yang lebih tinggi dan juga pembelajaran sepanjang hayat.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُوا ٱلاَلْبَـٰبِ ﴿٩﴾ 

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." - Surah Az- Zumar (ayat 9)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ



Teks asal khtbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B