bersama kepimpinan ulamak




Thursday, July 4, 2013

Khutbah Jumaat - 26 Sya’aban 1434 / 5 Julai 2013



DI AMBANG RAMADHAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, فَيا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita berada di ambang Ramadhan yang sekian lama kita nantikan. Ramadhan merupakan anugerah Allah kepada kita untuk melahirkan manusia yang bertaqwa, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang dibacakan tadi. Ibadat puasa merupakan salah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah menggunakan kalimah difardhukan “كُتِبَ عَلَيْكُمْ “ seperti difardhukan Hukum Qisas, Hukum Jihad Fi Sabilillah dan sebagainya. Namun apakah daya manusia seringkali memilih-milih untuk mengerjakan perintah Allah berdasarkan selera dan keselesaan mereka dan menganggap remeh apa yang tidak disukai mereka.

Hadirin yang dikasihi Allah,

Puasa tidak hanya sekadar meninggalkan makan dan minum semata-mata tetapi memerlukan jihad melawan hawa nafsu yang selama ini menjadi raja kepada kebanyakan manusia dan tidak ada cara yang lebih baik bagi mengawalnya kecuali dengan cara berpuasa. Namun jika silap cara kita menunaikan puasa maka sia-sia sahajalah ibadat tersebut tanpa dapat melahirkan insan-insan bertaqwa di penghujung Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW :

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ اِلاَّ الْجُوْعُ وَالعَطْشُ وَكَمْ مِنْ قاَئِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِياَمِهِ إِلاَّ السَّهَرُ

Berapa ramai orang yang berpuasa sedangkan tiada sebarang faedah yang diperolehinya daripada puasa tersebut kecuali hanya lapar dan dahaga. Dan berapa ramai orang yang bangun malam sedangkan tiada sebarang faedah yang diperolehinya daripada bangun malamnya kecuali hanya penat dan lelah. – Hadis Riwayat Ahmad.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Terdapat beberapa tanda bagi mengenalpasti samada puasa kita diterima oleh Allah atau tidak. Ianya boleh dinilai melalui keselarasan amalan kita dengan perintah Allah sepanjang Ramadan dan selepas kita menjalani sebulan Ramadhan nanti Jika sekiranya setiap hari kita berpuasa dan setiap hari yang berlalu menambahkan lagi kekuatan kita untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka besarlah harapannya puasa kita di terima Allah. Jika sekiranya hari-hari yang mendatang hanya menambahkan dosa atau tidak ada sebarang peningkatan terhadap kualiti dan kuantiti ibadat kita maka dibimbangi kita akan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Hadirin mukminin yang dirahmati,

Di antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa adalah kegembiraan mereka dalam menyambut kedatangan Ramadhan. Kegembiraan mereka bukan hanya kerana peluang perniagaan yang terbuka luas, bukan hanya kerana boleh menguruskan badan dan bukan juga kerana mahu mengurangkan ataupun berhenti merokok, tetapi kerana kesedaran tentang kelebihan Fadhilat Ramadhan itu sendiri. Orang yang beriman akan berusaha melipatgandakan amal ibadat melebihi daripada usaha mempelbagaikan juadah ketika berbuka. Di samping itu, orang yang bertaqwa akan memastikan mereka tidak berlebih-lebih dan tidak melakukan sebarang pembaziran sepanjang Bulan Ramadhan ini.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Sebahagian Umat Islam melakukan beberapa kesilapan dalam menghayati Ramadhan. Keghairahan kita melakukan ibadat terutamanya solat Terawih biasanya hanya bertahan selama separuh daripada Bulan Ramadhan sahaja. Sepuluh hari yang terakhir daripada Ramadhan menunjukkan kemerosotan bilangan jemaah yang amat ketara walaupun kelebihannya terutamanya dalam mencari Lailatul Qadar jauh lebih besar daripada hari-hari sebelumnya. Ramai di antara kita tidak mahu terlepas untuk menunaikan Solat Terawih yang hukumnya hanya disunatkan tetapi tidak merasa sebarang kerugian ketika meninggalkan Solat Fardhu berjemaah walaupun hukumnya adalah Fardhu Kifayah. Lebih malang sebahagian dari kita yang begitu tekun berpuasa namun tidak pernah melakukan solat sama sekali.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Keghairahan bertadarrus menyebabkan kita sering berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran melalui program Tadarus sebelum berlalunya Ramadhan. Ini menyebabkan sebahagian dari kita hanya bergotong royong dalam menghabiskan bacaan tanpa ada sebarang peningkatan dalam mutu bacaan. Kita hanya membaca dan mendengar bacaan tanpa ada proses pembelajaran kerana tertekan mengejar waktu untuk mengkhatamkan Al-Quran sehingga akhirnya banyak berlaku kesilapan dan pahala yang diharapkan bertukar menjadi laknat tuhan. Sewajarnyalah apabila mutu bacaan sudah dipertingkatkan maka kita beralih kepada usaha pemahaman. Setelah pemahaman terhadap Al Quran dapat dicapai maka berusahalah seboleh mungkin untuk menghayati segala ajaran Al-Quran. Janganlah kita hanya menjadi golongan yang hanya mementingkan bacaan tetapi kembali kepada Allah sebelum dapat mengamalkan apa-apa daripada ajaran Al-Quran.

Hadirin mukmin sekelian,

Di antara kesilapan pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh Negara ini adalah kerana kebanyakkannya menghentikan kelas-kelas pengajian sepanjang Ramadhan yang mulia ini. Sebahagian besar daripadanya hanya memulakan semula semua pengajian hanya setelah berlalunya sebulan Syawal. Ini menyebabkan kebanyakkan Umat Islam tidak menuntut ilmu selama dua bulan walaupun ianya amat penting dan merupakan kewajipan setiap orang Islam. Alangkah baiknya jika kuliah Maghrib yang diadakan selama ini digantikan dengan tazkirah selepas Terawikh, ditambah dengan kuliah dhuha, kuliah subuh dan sebagainya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Setiap kali tibanya saat menjelang Ramadhan, kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan mengenai kaedah Rukyah (melihat anak bulan) yang dilaksanakan di seluruh Negara. Ada yang mengatakan bahawa apa perlunya membazir masa dan kewangan sekadar berpesta di pantai-pantai dan bukit bukau sedangkan bukan sekadar bulan, malah planet, bintang dan komet pun boleh diketahui kedudukannya dengan kiraan. Ada juga yang lebih sinis mengatakan jika nak menyambut Ramadhan pastinya anak bulan tidak akan kelihatan berbeza dengan waktu menyambut Syawal yang pastinya jelas kelihatan.

Perlaksanaan Rukyah sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab Fardhu Kifayah yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah pada setiap 29 Syaban tahun Hijriah. Tanggungjawab ini sekian lama telah digalas dengan sempurna oleh Jabatan Mufti Negeri Perak melalui Bahagian Falak.

Di Negara ini kita menggunapakai Kaedah Rukyah dan Hisab untuk menentukan awal bulan. Melalui kaedah ini, ditetapkan bahawa hilal akan kelihatan sekiranya ketika matahari terbenam, hilal berada di atas ufuk melebihi 2 darjah dan jaraknya dari matahari melebihi dari 3 darjah atau umur hilal melebihi 8 jam.

Maka disamping pengiraan falak yang dikira terlebih dahulu, aktiviti rukyah hilal tetap dilaksanakan sebagai pengesahan. Jika pada 29 Syaaban, hilal dapat dilihat dengan mata dan pengiraan yang telah dibuat menunjukkan bahawa ianya sepatutnya kelihatan, maka keesokan harinya akan diiktiraf sebagai 1 Ramadhan.

Namun sekiranya anak bulan tidak kelihatan samada melalui mata kasar atau pengiraan, maka keesokkan harinya dikira sebagai 30 Syaban.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hilal ditakrifkan sebagai bentuk bulan yang pertama kali kelihatan selepas fasa ijtimak. Bulan sentiasa berubah-ubah bentuknya berdasarkan hari-hari dalam taqwim Hijriah. Biasanya pada hari ke-15 dalam bulan Hijrah, bulan akan kelihatan penuh. Pada hari ke-28 pula bulan akan hilang kerana ketika itu bulan sedang mengalami fasa bulan gelap. Jadi selepas fasa bulan gelap, barulah hilal akan muncul iaitu pada 1 haribulan setiap bulan.

Hadhirin yang dirahmati Allah,

Sesekali kita mendengar suara-suara sinis masyarakat mempertikaikan; mengapa Hilal lewat dilihat di Negara ini berbanding Negara-negara berada di sebelah barat seperti negara Arab Saudi, Mesir dan sebagainya.

Sebenarnya perkara ini timbul kerana ketika fasa bulan gelap, bulan berada terlalu dekat dengan matahari. Semakin jauh ke sebelah barat, semakin jauh kedudukan bulan daripada matahari. Ketika ini cahaya bulan yang malap akan lebih mudah kelihatan kerana cahaya matahari yang terlalu kuat sudah semakin jauh dari bulan. Oleh kerana itulah Hilal akan lebih mudah kelihatan di negara-negara sebelah barat berbanding negara-negara sebelah timur.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita berusaha melakukan perubahan sempena Ramadhan pada tahun ini. Jika selama ini kita tidak pernah melakukan Qiamullail maka inilah peluang bagi kita untuk melakukannya sebelum kita bersahur atau selepasnya. Jika kita jarang meninggalkan Sunat Witir sepanjang Ramadhan maka teruskanlah melakukannya walaupun sesudah berlalunya Ramadhan. Jika kita sanggup berjemaah Terawih sepanjang Ramadhan maka teruskanlah berjemaah dalam Solat Fardhu sesudah Ramadhan. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’du ayat 22:

وَالَّذِيْنَ صَبَرُوْا ابْتِغَآء َوَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوْا الصَّلوة وَأَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ 

“Dan mereka yang sabar kerana mengharapkan keredhaan tuhan mereka semata-mata dan mereka mendirikan sembahyang serta membelanjakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka samada secara sembunyi ataupun secara terang-terangan dan mereka menolak kejahatan dengan cara melakukan kebaikan. Mereka itulah disediakan balasan yang baik di Hari Akhirat”.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Ramadhan seharusnya dimuliakan dan dihormati oleh setiap warga Negara yang tidak kira apa agama sekalipun. Oleh kerana Islam adalah agama persekutuan, maka semua penganut agama lain wajib turut sama menghormati Ramadhan. Segala aktiviti maksiat yang sememangnya diharamkan oleh semua agama mestilah dihentikan serta merta. Tidak sepatutnya hanya Umat Islam sahaja yang sibuk menghormati kebebasan penganut agama lain, sedangkan hakikatnya, kebebasan tersebut merupakan pelanggaran terhadap tuntutan agama mereka sendiri.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ 

Ya Allah,
Kurniakanlah Rahmat dan keampunanMu kepada seluruh Umat Islam di muka bumi ini. Kurniakanlah Rahmat dan keampunanMu kepada seluruh Umat Islam yang prihatin terhadap nasib saudara seagama mereka. kurniakanlah Rahmat dan keampunanMu kepada Umat Islam yang menunaikan zakat bagi membantu saudara-saudara mereka.

Ya Allah Ya Rahim,
Kurniakanlah keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka sehingga mereka mampu untuk meningkatkan zakat dan bantuan yang mereka sumbangkan selama ini. Berilah hidayahMu kepada mereka yang masih belum terbuka hati untuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah dan kepada sesama saudara seagama ini.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B