bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Thursday, September 27, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 28 SEPTEMBER 2012 / 12 ZULKAEDAH 1433H


“JADILAH PENOLONG AGAMA ALLAH”



Khutbah Pertama



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيْكٌ فِيْ الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِ وَ كَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا .
أَشْهَدُ أَن لاإِلَهَ إلاالله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ .
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ اِتَّقُوْا اللهَ ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتـُمْ مُسْلِمُوْن.
قَالَ الله تَعَالىَ فِي كِتَابِهِ الْعَظِيْم :
وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ ﴿٢٠﴾ لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ ﴿٢١﴾ فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ ﴿٢٢﴾

"Dan (Nabi Sulaiman) memeriksa kumpulan burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung Hud-hud, adakah dia dari mereka yang tidak hadir. Nescaya aku akan menyeksanya dengan seksa yang berat atau aku akan menyembelihnya kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata”. Burung hud-hud itu tidak lama ghaibnya, lalu berkata : “ aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang diyakini kebenarannya”. (Surah an-Naml ayat 20 hingga 22)

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,

Saya berpesan kepada tuan-tuan, dan diri saya, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan sebenar-benar takwa, dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita sebagai orang yang bertaqwa wajib melaksanakan syiar-syiar agama ini umpamanya solat berjamaah, menegakkan keadilan dan mencegah perbuatan zalim dan mungkar.

Ayat yang dibacakan di atas tadi, merupakan kisah yang berlaku kepada burung Hud-Hud dan Nabi Allah Sulaiman. Hud-Hud merupakan sejenis burung yang bersaiz sederhana. Nabi Sulaiman menggunakan Hud-Hud sebagai pencari sumber air dan menghantar surat utusan kepada raja sesebuah negeri. 

Muslimin Mukminin yang Dirahmati Allah, 

Walaupun Hud-Hud merupakan burung yang kecil berbanding burung-burung besar yang lain seperti helang, rajawali dan seumpamanya, ia mampu menjadi penolong kepada agama Allah yang dibawa oleh Nabi Allah Sulaiman A.S. walaupun mempunyai keupayaan yang terbatas. 

Ketahuilah tuan-tuan sekalian, bahawa nikmat Iman dan Islam yang kita kecapi hari ini, adalah datangnya daripada usaha para penolong agama Allah yang terdiri daripada para sahabat baginda Rasulullah SAW yang sanggup berjuang dan berjihad menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok alam. Mereka berjuang bersama-sama di bawah panjí kesatuan yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga generasi-generasi selepas mereka turut menyebar dan mempertahankan agama Islam daripada serangan musuh-musuh agama ini. 

Apakah yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita untuk menyebar dan mempertahankan agama ini dari musuh-musuh agama ini? Sanggupkah kita menggelarkan diri kita sebagai penolong agama Allah?

Muslimin Mukminin yang Dirahmati Allah, 

Ketahuilah tuan-tuan sekalian, ciri-ciri penolong agama Allah adalah seperti berikut :-

1. Memiliki ilmu dan pengalaman yang luas. Ilmu merupakan asas kepada kehidupan kita di atas dunia ini. Dengan ilmu, kita dapat mencipta kemajuan dan teknologi untuk memudahkan hidup kita. Dengan ilmu, kita dapat menguasai dunia dan dapat menguasai akhirat. Dengan ilmu kita dapat membezakan perkara yang haq dan batil. Allah memuliakan kita dengan ilmu, semakin tinggi ilmu yang kita miliki, semakin tinggi kita dipandang oleh makhluk-makhluk lain.

Begitu juga pengalaman, sentiasa mengajar kita untuk melakukan perkara yang lebih baik. Kita sebenarnya, banyak belajar dari pengalaman silam. Semakin banyak pengalaman yang kita dapat, semakin matang tindakan dan pemikiran kita. Kita akan lebih berhati-hati dalam merancang sesuatu supaya tidak melanggar batas-batas yang telah digariskan oleh agama ini.

2. Berani menyatakan kebenaran. Kebenaran yang mutlak adalah datangnya daripada Allah. Setiap kebenaran yang dinyatakan oleh Allah adalah untuk kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Kita telah diperintah untuk mentaati setiap kebenaran yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Menjadi kewajipan kepada kita untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan.
Kita berkewajipan memelihara seluruh ahli keluarga dan anggota masyarakat daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita boleh menegur anak-anak kepada jiran kita, dan jiran-jiran disekeliling kita juga boleh menegur anak-anak kita apabila mereka melakukan maksiat dan melanggar adab tatasusila masyarakat kita. Adakah kita masih berpeluk tubuh membiarkan umat ini terus-menerus melakukan dosa dan maksiat tanpa melakukan apa-apa usaha dan tindakan? 

3. Mempunyai sikap sensitif atau peka kepada masalah umat Islam. Sikap sensitif atau kepekaan sangat penting kepada penolong agama Allah. Apabila kita melihat sesuatu maksiat yang berlaku di hadapan kita, kita hendaklah menegur, memperbaiki dan menyelamatkan umat kita daripada terus hanyut dalam dosa dan maksiat. Sikap peka terhadap dosa dan maksiat boleh menyelamatkan umat kita daripada ditimpa azab Allah Taala. Perkara inilah sebenarnya, yang memelihara kita dari diturunkan musibah dan azab yang Maha Dahsyat kepada kita. Marilah kita muhasabah kembali firman Allah yang berbunyi :-


وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً  ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾

"Dan takutlah kamu semua pada fitnah (akibat maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya yang bukan sahaja menimpa kepada orang yang zalim di antara kamu secara khusus, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksa-Nya." (Surah al-Anfal ayat 25) 

Begitu juga, kita wajib mempertahankan agama ini daripada sebarang bentuk cercaan, hinaan daripada musuh-musuh agama ini kepada Junjungan Besar Nabi Kita Muhammad SAW, al-Quran, Sahabat-sahabat Baginda yang mulia dan seumpamanya. 

4. Amanah dan bersungguh-sungguh ketika melaksanakan perintah Allah. Setiap perintah Allah dan Rasul-Nya merupakan satu kewajipan kepada kita pada setiap masa. Apabila bertembung perintah Allah dan perintah manusia, perintah Allah hendaklah dilaksanakan terlebih dahulu. Keredhaan Allah adalah lebih utama daripada keredhaan manusia, hawa nafsu dan syaitan. 

5. Menolong agama Allah dengan apa cara sekalipun walaupun kecil. Walaupun kita berada posisi dan kedudukan yang berbeza, hendaklah kita menyalurkan bantuan kepada Islam dengan apa cara sekalipun dengan penuh keikhlasan. Jika kita seorang guru, didiklah anak-anak pelajar kita untuk cintakan agama ini dan berkhidmat untuk agama ini. Jika kita seorang pentadbir dan pengurus, uruskanlah urusan pentadbiran kita dengan kaedah dan cara yang telah digariskan oleh Islam. Janganlah melibatkan diri dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Jika kita seorang kerani, laksanakan setiap arahan yang diberikan kepada kita dengan penuh kesungguhan dan bertanggungjawab. Jika kita seorang pelajar, belajarlah untuk mendalami ajaran-ajaran Islam. Jika kita seorang pemimpin kepada masyarakat kita, suburkan akhlak-akhlak yang terpuji yang boleh menyebabkan musuh-musuh kita menyantuni dan terpegun dengan kita. Jika kita seorang pendakwah, bentuklah umat ini menjadi sebaik-baik umat. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah Sekalian, 

Marilah kita bersama-sama menginfaqkan diri dan harta yang kita miliki untuk agama ini kerana Allah. Kelak kita akan menjadi umat yang terbaik, dapat membentuk negara yang baik dan Allah mengampuni semua penghuninya dengan memberi hidayah dan kebaikan kepada kita semua.

Janganlah kita menunggu masa untuk bertindak dan membantu dan menolong agama ini. Selagi hayat dan nyawa masih dikandung badan, ayuh marilah kita bergerak bersama-sama walaupun pada posisi dan kedudukan yang berbeza untuk mengzahirkan agama Allah di atas muka bumi negara kita yang tercinta ini. Kita diumpamakan oleh Rasulullah SAW sebagai satu jasad, apabila sakit satu anggota, seluruh jasad akan turut merasai sakit. Begitu juga, kita telah diumpamakan seperti sebuah bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain. Sebagai akhirnya, marilah sama kita renungi Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :-


  

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ ، وَفَرَاغَك قَبْلَ شَغْلِكَ، وَغِنَاك قَبْلَ فَقْرِكَ، وَشَبَابَك قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِك.

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu, masa mudamu sebelum datangnya masa tuam dan, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu” (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)


بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، والْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَالغَفُورُ الرَّحِيم


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ للهِ الْقاَئِلِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ ﴿٧﴾


"Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, Dia akan menolong kamu dan  menetapkan kaki kamu." (Surah Muhammad ayat 7) 


والصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالــِهِ وَأصَحْابِهِ أَجْمَعِيْنَ .
أَشْهَدُ أَنْ لاَِإِلَــهَ إِلاَّ اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا وَرَسُوْلُ الله .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ ، فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Muslimin Yang Dikasihi Allah sekalian, 

Daripada khutbah pertama yang dinyatakan sebelum ini, ingin ditegaskan bahawa seekor burung yang lebih kecil dari kita, mengetahui bahawa dirinya mampu untuk menjadi penolong kepada agama Allah dengan melaporkan berita tentang pemerintah yang musyrik yang tidak menyembah Allah Taala. Walaupun berdepan dengan azab dan hukuman daripada Rasul, ia sanggup berkorban merantau ke tempat yang jauh untuk mengesahkan perkara tersebut untuk dimaklumkan kepada Nabi Sulaiman. 

Sikap yang dimiliki oleh Hud-Hud perlu dimiliki oleh kita semua. Ketahuilah bahawa segala tindak tanduk, perbuatan, pemikiran dan perancangan yang kita lakukan adalah untuk kegemilangan agama ini. Wujudkanlah dalam diri kita, ciri-ciri penolong agama Allah antaranya ialah memiliki ilmu dan pengalaman yang luas, berani menyatakan kebenaran, Mempunyai sikap sensitif atau peka kepada masalah umat Islam, amanah dan bersungguh-sungguh ketika melaksanakan perintah Allah dan menolong agama Allah dengan apa cara sekalipun walaupun kecil. 

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ ، وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ.
اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ أَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ  أُمُوْرِنَا، اَللَّهُمَّ اجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ.
اَللَّهُمَّأَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الْإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِىْ بِلاَدِنَا هَذَا وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ. 
اَللَّهُمَّ أَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِينَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِينَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِينَ.
وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلآءِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَنَا وَيَصُدُّونَنَا عَنْ سَبِيلِك.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَان أَزْلَنْ مُحِبُّ الدِّيْن شَاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سُلْطَان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ .دَعْوَاهُمْ وَدَعْوَانَا فِيْهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلاَمٌ ، وءَاخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُم
تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .

 Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com.

Tuesday, September 25, 2012

UMNO sekadar demo tidak cukup!

KUALA LUMPUR: Sebagai parti pemerintah, sekadar berdemonstrasi sebenarnya tidak memadai buat Umno kerana mereka sewajarnya mampu untuk berbuat lebih daripada itu.

Justeru, Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Muhammad Ismi Mat Taib (gambar)berkata, Umno perlu menunjukkan kewibawaan mereka sebagai parti yang mendakwa kononnya membela umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seharusnya muhasabah diri dan menerima kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan jiwa besar.

“Sebagai sebuah parti Melayu yang paling utama, malah menjadi penaung kepada parti Kerajaan Barisan Nasional, kenyataan Ngeh Koo Ham sebenarnya ada kewajarannya,” katanya.

Begitupun, Koo Ham semalam menarik balik dan memohon maaf kepada orang Islam kerana tersinggung dengan kenyataan beliau di laman twitternya yang mempersoalkan tindakan diambil umat Islam membantah filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad dan Islam.

“Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan pendirian terutama dalam isu sensitif yang melibatkan peribadi Nabi Muhammad SAW.

“Sebagai umat Islam kita wajib menyatakan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan dan demonstrasi yang dilakukan sebenarnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW,” kata Muhammad Ismi lagi.

Bahkan, Yang Dipertua PAS Parit yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat dan Negeri itu menegaskan, umat Islam bertanggungjawab membela dan mengorbankan nyawa dan harta sekiranya diperlukan untuk memastikan maruah Islam tidak diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam.

- Harakahdaily

Wednesday, September 19, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 21 SEPTEMBER 2012 / 05 ZULKAEDAH 1433H



“PENGHINAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD S.A.W”


Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ    الأنعام : ۱۰


"Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu." – Surah Al-An’am : 10

اَشْهَدُ اَنْ  لاَ الهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنـَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jumaat Sekelian,

Pada kesempatan kali ini marilah kita mengenang tentang peringatan Allah mengenai suasana yang telah dan akan menimpa umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Penghinaan terhadap para Rasul akan sentiasa berlaku dari masa ke semasa bermula ketika permulaan perutusan mereka. Jika tarikh 16 September merupakan hari gembira bagi kita sempena pembentukan Negara Malaysia, namun hati umat Islam terguris dengan ingatan penyembelihan Umat Islam oleh Yahudi Zionis di Shabra dan Shatila. September tahun ini pula hati kita diguris lagi dengan penyiaran filem yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas, kejam dan gila seks. Filem sampah yang diterbitkan oleh seorang Yahudi Amerika yang menyamakan Rasulullah dengan sifat dan akhlak presiden-presiden mereka yang tidak berakhlak, tidak berperikemanusiaan dan terlibat dengan aktiviti seks songsang. Penghinaan terhadap Islam dan penganutnya telahpun sampai ke kemuncaknya sehinggakan kitab suci Al-Quran pernah dikencing, dibuang ke dalam tandas dan dibakar secara terang-terangan. Segala penghinaan ini terjadi apabila kita menjadi umat yang amat lemah dan musuh-musuh Allah amat menyedari bahawa kita tidak akan mampu berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kelemahan umat Islam pada hari ini telah pun disebut oleh baginda Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda:

يُوْشَكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ اْلأُمَمُ كَمَا تَدَاعَى اْلأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: أَوَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَسَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلْيَقْذِفَنَّ اللهُ فِيْ قُلُوْبِكُمُ الْوَهَنُ. قَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَمَا الْوَهَنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. 
(رواه البيهقي، حديث حسن).

"Hampir tiba zamannya manusia mengerumuni kamu sepertimana lahapnya mereka yang mengerumuni makanan. Ada sahabat bertanya: apakah kerana sedikitnya jumlah kita pada masa itu? Baginda bersabda: Bahkan jumlah kalian pada masa itu banyak. Tetapi kalian pada saat itu bagaikan buih yang hanyut. Dan Allah akan mencabut dari dada-dada musuh kalian (rasa) ketakutan kepada kamu, dan Dia akan memasukkan ke dalam hati-hati kamu al-wahan. Lalu sahabat bertanya: Ya Rasulullah apakah al-wahan itu? Beliau bersabda: cinta dunia dan takut mati." (HR. Baihaqi, hadis hasan).

Sidang Jumaat Sekelian,

Berbagai reaksi yang kita lihat lahir daripada Umat Islam seluruh dunia apabila berlakunya penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Hakikatnya, penghinaan seperti ini bukanlah suatu yang mengejutkan kerana permusuhan Yahudi dengan umat Islam sememangnya didedahkan oleh Allah melalui FirmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 27 :

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ ءَامَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا

"Maka kamu akan dapati golongan yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan golongan musyrikin."

Sidang Jumaat Sekelian,

Umat Islam bukan sahaja sudah lama dihina sebegini malah telah diperlakukan sesuka hati mereka selama ini. Situasi ini bukan semata-mata disebabkan permusuhan mereka terhadap Islam malah ditambah dengan sikap Umat Islam sendiri selama ini. Musuh senantiasa melihat dan mengkaji tahap kepekaan Umat Islam dari semasa ke semasa sehinggalah mereka kini amat yakin bahawa walaupun sebahagian Umat Islam akan marah, memberontak dan sebagainya namun sebahagian besarnya hanya melihat dan mengeluh tanpa ada sebarang tindakan yang diambil. Malah dari masa ke semasa sebahagian dari umat Islam, media massa dan cerdik pandai Islam juga turut melakukan penghinaan yang sama, walaupun bukan ke atas peribadi Rasululah tetapi ke atas ajaran Rasulullah saw.

Sidang Jumaat Sekelian,

Musuh-musuh Allah begitu hebat dan bekerjasama dalam melakukan segala usaha memusuhi Islam. Artis dan dunia perfileman mereka sentiasa digunakan untuk menyebarkan propaganda agama dan cara hidup mereka disamping membangkitkan kebencian terhadap Islam. Malangnya artis dan dunia perfileman kita hanya membuai dan menambah rasa cinta terhadap dunia dan harta benda. Filem-filem keluaran negara terlalu sedikit yang mengaitkannya dengan asas agama malah jika adapun hanya menambahkan kebencian masyarakat dengan cara hidup beragama. Golongan yang mendekatkan diri dengan agama sering digambarkan sebagai manusia yang berfikiran kolot dan menjadi penghalang kepada kemajuan.

Sidang Jumaat Sekelian,

Kegilaan dan kebodohan dunia semakin ketara sejak akhir-akhir ini akibat pemikiran yang amat bercelaru. Atas nama kebebasan dan hak asasi, dunia diperbodohkan untuk menerima apa sahaja yang dibawa oleh Yahudi. Di negara inipun, pemikiran ini sedang parah menyerang, semata-mata untuk membolehkan mereka melempiaskan segala tuntutan nafsu kebinatangan mereka. Atas nama hak asasi mereka menuntut kebebasan melakukan apa sahaja tanpa ada sekatan agama dan budaya. Atas nama kebebasan bersuara mereka mahukan kebebasan untuk menulis dan bercakap apa sahaja walaupun menghina agama. Mungkinkah satu hari nanti dunia akan sampai ke tahap kebebasan mutlak sehingga undang-undang dan peraturan tidak diperlukan lagi. Pencuri akan menuntut hak kebebasan mencuri kerana berusaha mencari kekayaan. Penagih dadah akan menuntut hak kebebasan menagih kerana melepaskan gian dan tidak mengganggu sesiapa. Manusia akan bebas mencela dan mencaci sesiapa sahaja berdasarkan prinsip kebebasan bersuara. Persoalannya, mungkinkah kita juga punya hak kebebasan berdemontrasi, hak kebebasan memboikot barangan, hak kebebasan memberontak, hak kebebasan menyerang kedutaan negara mereka dan sebagainya bagi mengimbangi hak kebebasan mereka untuk menghina, mencerca dan mencabul kehormatan agama kita.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَمْلَيْتُ لِلَّذِينَ كَفَرُوا ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ


"Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu." – Ar-Ra’du : 23

أَشْهَدُ أَنْ لاَ ِإِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat sekelian,

Luka di hati Umat Islam yang sudah sekian lama berdarah, tidak mungkin mampu dirawati dengan kecaman dan demostarasi yang menjadi medan pertempuran antara sesama kita dan pasukan keselamatan. Kelukaan Umat ini hanya mampu diubati dengan tindakan keras bagi mengajar dan menghukum sesiapa sahaja yang terlibat dan bersubahat mempersendakan agama suci kita. Tindakan ini tidak akan mampu kita lakukan selagi kita tidak menguasai dunia. Maka tidak akan ada cara lain untuk kita menguasai dunia kecuali dengan bersatu atas panjí Islam yang Maha suci ini. Kepentingan Islam wajib didahulukan melebihi kepentingan bangsa, kepentingan parti apatahlagi kepentingan peribadi. Janganlah kita berterusan menindas dan saling menjatuhkan sesama sendiri. Kembalilah kepada ajaran al-Quran dan Sunnah agar kita mampu menjadi Umat yang hebat, gagah perkasa dan diredhai.

Sidang Jumaat sekelian,

Mungkin terlalu jauh kemampuan kita buat masa ini untuk menghalang dan menghukum mereka yang menghina agama dan nabi kita. Maka yang mampu kita lakukan adalah tidak lagi menghina agama dan ajaran agama kita sendiri dan melaksanakan perintah Allah mengikut kemampuan masing-masing. Sebelum kita mampu menahan penyiaran filem-filem yang menghina nabi dari tatapan dunia, maka kita sekatlah segala filem yang menghina dan mencemarkan agama suci kita di Negara ini. Sebelum kita mampu menghukum rakyat Negara lain yang melakukan jenayah ini, maka ambillah tindakan segera terhadap rakyat di Negara ini yang melakukan perkara yang sama walaupun dalam bentuk yang berbeza.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَِلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ آمَنُواْ رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ.
اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ اَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ اُمُوْرِنَا اَللَّهُمَّ اجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ فِىْ بِلاَدِنَا هَذَا وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.
اَللَّهُمَّ أَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِينَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِينَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّلِمِينَ. وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلآءِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَنَا وَيَصُدُّونَنَا عَنْ سَبِيلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَانَ أَزْلَنَ مُحِبُّ الدِّيْن شَاهٌ اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سُلْطَانَ يُوْسُفَ عِزُّ الدِّيْن شَاهٌ غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
دَعْوَاهُمْ فِيْهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلاَمٌ وآخِرُ دَعْوَاهُمْ  اَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .



Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari laman sesawang wwww.4shared.com

KULIAH SETIAP SABTU




KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA