bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Wednesday, August 29, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 31 OGOS 2012 / 13 SYAWAL 1433H



“KEMERDEKAAN NEGARA : NIKMAT ALLAH YANG PERLU DIINGATI”

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ .
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَخَلِيلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ، وَعَلَى ءَالِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. قاَلَ اللهُ تَعاَلَى :
 
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ ﴿١٥٢﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٣﴾

"Maka ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku mengingati kamu (membalas kamu dengan kebaikan) dan bersyukurlah kamu kepada-Ku, dan janganlah kamu Kufur. Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan mengerjakan solat, kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar." (Surah al-Baqarah Ayat 152 dan 153)

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,

Saya berpesan kepada tuan-tuan, dan diri saya, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan sebenar-benar takwa, kerana sesungguhnya hanya orang yang bertaqwa sahaja diwariskan dunia ini untuknya. Mudah-mudahan taqwa kita semakin hari semakin bertambah dengan melakukan amal kebajikan. Sesungguhnya, sebaik-baik pakaian kita di sisi Allah Taala adalah pakaian taqwa.

Muslimin Yang dirahmati Allah,

Dua ayat yang dibacakan diawal khutbah tadi adalah lanjutan daripada ayat-ayat yang menjelaskan tentang nikmat Allah yang besar yang diberikan umat Islam iaitu keizinan dan kebenaran daripada Allah Taala untuk memindahkan arah kiblat daripada Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Baitullah al-Haram di Makkah.

Rasulullah SAW dan para sahabat, setelah menerima kefardhuan solat 5 waktu sehari semalam pada tahun kedua Hijrah, menunaikan solat dengan mengadap kiblat ke arah Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis selama hampir 17 bulan. Setelah begitu lama berkiblatkan Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW sering kali menadah tangan memohon kepada Allah untuk menukarkan arah kiblat ke arah Masjid al-Haram di Makkah. Maka, Allah SWT telah memperkenankan hajat Rasulullah SAW untuk mengadap kiblat ke arah Masjid al-Haram di Makkah. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 144 yang berbunyi :

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾

"Kerapkali kami melihat engkau menadah (tangan) ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat ke arah yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram; dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah itu) adalah benar dari tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."

Mukminin Yang dirahmati Allah,

Ketahuilah tuan-tuan sekalian, nikmat yang Allah Taala telah berikan kepada kita terlalu banyak, tidak mampu dihitung dan dinilai. Rasulullah dan para sahabat telah diberikan dengan pelbagai nikmat, antaranya ialah keizinan perpindahan arah kiblat daripada Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Masjid al-Haram di Makkah, yang merupakan tempat kelahiran Rasulullah SAW dan segelintir para sahabat Baginda.

Begitu juga kita sebagai warganegara Malaysia, telah dikurniakan kemerdekaan tidak dinikmati oleh semua manusia di dunia ini. Kemerdekaan yang kita kecapi ini adalah juga nikmat Allah kepada kita yang wajib kita syukuri bersama. Dengan nikmat kemerdekaan yang kita nikmati membolehkan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah baru-baru ini dengan penuh kegembiraan.

Hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-55 yang kita kecapi hari ini, adalah nikmat Allah Taala kepada kita hasil perjuangan generasi terdahulu yang berkorban harta benda, jiwa raga dan seluruh kehidupan mereka menentang penjajahan. Ianya menjadi hadiah yang tidak ternilai kepada kita yang berupa keselesaan dan keamanan menjalani kehidupan tanpa rasa takut dan risau dalam melakukan ibadah dan tugas seharian. Sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa memastikan segala perbuatan dan tindak tanduk kita bertepatan dengan kehendak Allah.

Sidang Jemaah Yang dirahmati Allah sekalian,

Timbul satu persoalan kepada kita, apakah kekuatan yang ada pada generasi terdahulu sehingga sanggup bersusah payah berjuang membebaskan negara daripada penjajah ??? Siapakah yang mengerakkan mereka untuk berkorban harta dan jiwa, demi kelangsungan kehidupan anak cucu mereka???

Sedarilah tuan-tuan sekalian, bahawa yang menimbulkan kesedaran kepada generasi terdahulu untuk membebaskan negara ini, dan sanggup berkorban harta dan jiwa adalah Allah SWT. Allah Taala sahajalah yang mampu untuk menimbulkan kesedaran dan memberi kekuatan kepada mereka untuk berjihad membebaskan negara. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk memberi kemudahan dan kemaslahatan kepada kita, untuk melakukan ibadah kepada Allah dan memudahkan urusan seharian kita. Maka, janganlah kita cemari pengorbanan mereka dengan membangkitkan kemurkaan Allah dan mengabaikan segala titah perintah Allah terhadap kita.

Sidang Jemaah Yang dirahmati Allah sekalian,

Tahap kesedaran dan penghayatan kemerdekaan bukanlah dinilai dengan penglibatan kita dalam program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan oleh berbagai pihak. Bukan juga dinilai dengan banyaknya kibaran jalur gemilang yang ada di kediaman dan dijalanraya. Tidak hanya dikira dengan imbasan dan penceritaan semula kisah-kisah perjuangan saki baki pejuang yang masih ada. Namun kesedaran dan penghayatan yang lebih bermakna adalah dinilai setakat mana kita mengisi kemerdekaan ini sepanjang kehidupan kita. Pengisian kemerdekaan hendaklah bertepatan dengan kehendak Allah yang telah mengurniakan kemerdekaan kepada kita. Tidak ada kemerdekaan yang lebih besar daripada kemerdekaan hati dan jiwa orang-orang yang beriman yang sentiasa mengingati Allah. Di antara tanda-tanda kita mengingati Allah ialah:

1. Mendirikan solat.
2. Hati merasa gementar apabila disebut nama-nama Allah.
3. Semakin bertambah keimanan kepada Allah, apabila dibacakan ayat-ayat Allah.
4. Lidah sentiasa basah menyebut nama-nama Allah yang indah.
5. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah.
6. Merasakan nikmat Allah yang kecil sebagai nikmat yang besar.
7. Sentiasa beristighfar dan memohon taubat di atas maksiat yang dilakukan walaupun dosa-dosa kecil.
8. Merasakan bahawa segala yang kita miliki di atas dunia ini, adalah milik mutlak Allah Taala.
9. Berlumba-lumba melakukan amal kebajikan dan memberi manfaat kepada kedua ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan masyarakat Islam keseluruhannya.
10. Mengambil berat kebajikan saudara seagama yang menerima nasib malang, musibah dan malapetaka.

Maka marilah kita memerdekakan hati dan jiwa kita agar pengorbanan nenek moyang kita memerdekakan Negara tidak menjadi sia-sia. Jangan hanya kita hanya meraikan kemerdekaan yang telah memberi peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, namun kita isikan kemerdekaan ini dengan aktiviti dan program yang mengundang kemurkaan Allah.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ ِللهِ لِلَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيَظْهِرَهُ عَلى الدِّينِ كُلِّهِ  وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ،

أَشْهَدُ أَنْ لاَ ِإِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Hari ini adalah hari ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang ke-55. Kemerdekaan tanah air kita adalah merupakan ketetapan daripada Allah Yang Maha Bijaksana, pencipta dan pentadbir alam ini. Segala yang berlaku adalah dengan kehendak dan iradah-Nya. Segala-segalanya telah direncanakan sebelum terciptanya alam raya ini. Apabila Allah berkehendak untuk menjadikan sesuatu, Dia hanya mengucapkan “Jadilah”, maka jadilah perkara tersebut. Sesungguhnya, Allah tidak sekali-kali menyalahi janji-janji-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya. Segala janji Allah adalah benar dan pasti berlaku.

Kita sebagai makhluk Allah Taala, perlu berusaha untuk mengingati Allah dalam setiap keadaan, menghubungkait segala sesuatu yang berlaku ke atas diri kita adalah datangnya daripada Allah Taala, bersyukur di atas segala nikmat-Nya, sentiasa melakukan amal kebajikan dan memberi manfaat kepada orang lain, dan janganlah kita kufur dan menolak ketentuan dan ketetapan yang datang daripada Allah Taala. Ingatlah, semua perkara yang berlaku ke atas diri sama ada baik atau pun buruk adalah untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah. Ingatlah kita semua kepada Allah, kerana sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang tenteram.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الْإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah sepenuhnya nikmat kesihatan dan kelapangan, taufiq dan hidayahmu, kepada Raja kami Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah. 
 
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA