bersama kepimpinan ulamak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Ramadhan Al-Mubarak Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, January 26, 2012

Khutbah Jumaat - 03 Rabi’ul Awal 1433 / 27 Januari 2012



MAULIDUR RASUL SUBURI KECINTAAN TERHADAP 
NABI MUHAMMAD SAW


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (S. Ali-Imraan: 31). 

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sama-samalah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana berkesempatan sekali lagi bersua dengan Bulan Rabiulawal, iaitu bulan di mana kita memperingati dan meraikan hari ulang tahun keputeraan Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW menjelang tanggal 12 Rabiulawal. Kita memperingati dan meraikan hari yang mulia dan bersejarah berkenaan dengan tujuan menyubur kembali perasaan kasih dan cinta kita kepada Nabi SAW, dalam erti kata mempertingkatkan lagi keazaman dan usaha menjadikan sirah serta sunnah baginda sebagai contoh ikutan dalam melayari bahtera kehidupan seharian. Sesungguhnya, mencontohi serta meneladani sirah dan sunnah Nabi SAW merupakan antara perbuatan mendaulat dan memuliakan ajaran serta syiar Islam kesan daripada wujudnya sifat takwa sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

ذَ‌ٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـآئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾


"...Dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin." (S. Al-Hajj: 32).

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!

Asas dan bukti keimanan seseorang Muslim dalam menegakkan Islam terletak pada perasaan cinta dan kasih yang teramat sangat terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya harus mengatasi perasaan cinta dan kasih kepada yang lain termasuk ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, harta benda dan sebagainya. Pernyataan ini sejajar dengan firman Allah:-

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَ‌ٰنُكُمْ وَأَزْوَ‌ٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَ‌ٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌۭ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍۢ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ ﴿٢٤﴾

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka)." (S. At-Taubah: 24).

Ayat ini mengingatkan manusia khususnya umat Islam bahawa perasaan cinta dan kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW hendaklah melebihi rasa cinta dan kasih kepada yang lain. Ini kerana dari rasa cinta dan kasih itulah akan lahir semangat dan keazaman yang kuat untuk menuruti serta mematuhi segala suruhan dan larangan Allah dan Rasulullah SAW dengan penuh istiqamah. Malah, cinta dan kasih itulah yang akan menyemarakkan semangat untuk berjihad atau berusaha menegakkan peraturan dan hidayah Allah di alam ini. Ia selaras dengan penyaksian serta pengakuan kita bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Dalam pada itu, kesempurnaan Iman seseorang Muslim itu juga diukur berdasarkan kepada tahap kecintaan dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW. Maknanya, mencintai Rasulullah SAW harus melebihi perasaan cinta kepada diri sendiri dan segala sesuatu yang dimiliki. Hal ini ditegaskan baginda melalui sabdanya:

لَا  يُؤْمِنُ   أَحَدُكُمْ   حَتَّى   أَكُونَ   أَحَبَّ   إِلَيْهِ   مِنْ   وَالِدِهِ   وَوَلَدِهِ


Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Malah, cintakan Nabi SAW juga menjadi pra-syarat untuk memperoleh kemanisan iman. Hal ini dijelaskan baginda melalui sabdanya:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka.” (HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i).

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA!

Persoalannya, bagaimana hendak mencintai Rasulullah mengatasi orang dan harta yang sangat disayangi? Caranya sudah tentulah dengan mengikuti segala tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam mengharungi kehidupan berpandukan al-Quran dan sunnahnya. Tatacara ini disarankan oleh Allah melalui firman-Nya:-

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾


"Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (S. Ali-Imraan: 31).

Ayat ini menjelaskan bahawa rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW bukanlah setakat mengucapkan ”kami cinta Rasulullah”. Perasaan cinta dan kasih kepada baginda SAW perlu dizahirkan dan diterjemahkan melalui perlaksanaan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Dalam erti kata yang lain, umat Islam perlu membuktikan rasa cinta dan kasih sayang masing-masing kepada Nabi SAW dengan menuruti segala ajaran baginda dalam segenap aspek kehidupan. Jika perilaku dan tindak tanduk seseorang Muslim itu bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka tidak layak dia dianggap mencintai dan mengasihi Allah SWT dan Rasul-Nya. Malah, orang yang mengingkari suruhan dan larangan Allah dan Rasul dianggap derhaka hatta bakal menerima azab yang maha pedih.

MUSLIMIN MUKMININ YANG DIRAHMATI ALLAH!

Ramai di kalangan generasi muda hari ini yang bukan saja liat mengerjakan suruhan Allah dan Rasulullah SAW, malah ada juga yang tidak kenal atau tidak tahu langsung mengenai insan kamil yang telah diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang, iaitu nur Islam. Mereka itu lebih kenal dan meminati artis-artis serta bintang-bintang sukan tertentu sehingga ada yang terikut-ikut dengan cara hidup mereka seperti cara mereka beraksi, berpakaian dan sebagainya. Akibatnya, ada yang kehilangan arah hidup lantaran hanyut dalam dunia keseronokan dan keterujaan memuja artis dan bintang sukan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Allah SWT telah jelaskan di dalam al-Quran bahawa hanyasanya insan yang berhak dan layak dijadikan contoh ikutan yang terbaik adalah Muhammad SAW, nabi akhir zaman yang diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah:-

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلآخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ﴿٢١﴾


Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (S. Al-Ahzab: 21).

Sehubungan dengan firman Allah tersebut, Maka setiap panduan, tuntunan, perintah dan larangan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Akhlak, keimanan, ibadah, muamalat, pergaulan dan sebagainya perlulah mengikuti seperti yang diteladankan dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Cara ini selaras dengan saranan Allah SWT melalui firman-Nya:-

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ﴿٧﴾


…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya itu. Dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (S. Al-Hasyr:7)

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI ALLAH!

Secara kebetulan, tarikh Maulidur Rasul tahun ini jatuh beriringan dengan Hari Valentine yang diraikan oleh orang Barat pada 14 Febuari setiap tahun. Namun, umat Islam wajib menghindari diri masing-masing daripada terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan perayaan Hari Valentine kerana perayaan itu membawa unsur yang merosakkan akidah dan akhlak umat Islam, khususnya golongan muda. Tambahan pula Rasulullah SAW melarang kita daripada meniru amalan bukan dari ajaran Islam sebagaimana sabda baginda: 

مَنْ   تَشَبَّهَ    بِقَوْمٍ    فَهُوَ   مِنْهُمْ


"Siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka." (HR. Abu Daud, Ahmad dan lain-lain).

Oleh hal yang demikian, lupakan dan sisihkan sama sekali Hari Valentine dari laman hati, ingatan dan fikiran supaya tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang sesat dan rugi. Sebaliknya, suburi dan teguhkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan cara mematuhi segala ajaran al-Quran dan sunnahnya. Syukurilah dan kenangilah segala pengorbanan serta perjuangan baginda menyibar risalah Islam dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT:-

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (S. Al-Ahzaab: 56).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.





Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com. Klik di sini.

Thursday, January 19, 2012

Khutbah Jumaat - 26 Safar 1433 / 20 Januari 2012



AKIBAT TERSALAH MELETAK CINTA



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ نَشَرَ في الْكَوْنِ آياَتِ عَظَمَتِهِ، وَأَفاَضَ  عَلىَ عِباَدِهِ مِنْ خَيْرَاتِهِ وَنِعْمَتِهِ،

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ شَهَادَةً أَرْجُو بِهَا نَيْلَ رَحْمَتِهِ ومَحَبَّتِهِ،

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُ اللهِ وَرَسُولِهِ،  بَلَغَ رِسَالَتَهُ وَأَدَّى أَمَانَتَهُ وَنَصَحَ  لِأُمَّتِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ 

وَعَلَى آلِهِ وَصَحَابَتِهِ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ،

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Saya berwasiat kepada diri saya sendiri dan tuan-tuan sekelian agar kita gunakan kesempatan bertemunya kita dengan Hari Jumaat ini, penghulu segala hari, untuk kita memperbaharui tekad kita menempatkan diri kita masuk dalam sof orang-orang yang bertaqwa dengan kita membuktikannya dengan kesungguhan kita melaksanakan segala perintah yang wajib-wajib dan menambahkan lagi amalan dengan mengerjakan yang sunat-sunat serentak dengan kita menjauhi perkara yang makruh untuk kita merasa jijik dengan perkara-perkara yang diharamkan Allah. 

Hadirin yang dikasihi Allah,

Tajuk khutbah kita tengahari ini ialah "Akibat tersalah meletak cinta". Saya mulakan dengan membacakan satu ayat al Quran dalam surah al Taubah ayat 24 yang secara terang dan jelas menerangkan akibat daripada tersalah meletakkan cinta. Cinta Allah, cinta RasulNya dan cinta untuk berjihad tidak dijadikan cinta utama dalam hidup akibat terlebih memberikan dos cinta kepada yang lain. Firman Allah:

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَ‌انُكُمْ وَأَزْوَ‌اجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَ‌الٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادِ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ  وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ ﴿٢٤﴾

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Naluri menyayangi bapa, anak-anak, saudara mara, isteri, kaum keluarga, harta benda, bisnes, banglo kediaman itu adalah fitrah dan anugerah Allah kepada kita bahkan kita tidak dilarang untuk menyayangi mereka. Tetapi apabila kasih sayang kita melebihi dos dan sukatan yang sepatutnya maka ia akan memudaratkan kita.

Apabila menyayangi bapa-bapa kita sehingga adat istiadat, pegangan tradisi, khurafat zaman berzaman dipertahankan walaupun bertentangan dengan agama, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila menyayangi anak-anak dengan mengikut seribu satu kehendaknya tanpa memikir kesan baik atau buruk terhadap pegangan agama anak- anak kita, adakah ia akan menjadi bakal tentera tentera Allah atau menjadi budak suruhan musuh Allah, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.
Apabila kita mengasihi rakan taulan, saudara kita sehingga perintah Allah kita langgar, agama Allah tidak terbela, demi meraikan ikatan persaudaraan sehingga rakan kita yang benar-benar membela agama Allah terpinggir, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila kita mengiyakan segala tindakan isteri kita walaupun tindakannya terang-terang melanggar perintah Allah, dayus kita sebagai suami yang gagal menggunakan kuasa wewenang sebagai suami, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila kita menyayangi kaum keluarga kita sehingga kita menindas dan menzalimi orang lain, mengkayakan kaum keluarga sendiri dengan menggunakan kuasa dan hartabenda secara batil, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila kita asyik menyayangi harta benda kita sehingga kita tidak menghiraukan halal atau haram cara mendapatkannya , sudah dizakatkan atau tidak, tidak kesah jika harta harta itu menghalang kita untuk lebih rajin beribadah Allah atau akan lebih menjauhkan kita dari Allah, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada harta benda kita.

Apabila kita sibuk berbisnes tanpa menghirau batas halal dan haram, takutkan kerugian sehingga sanggup menebusnya dengan menjemput kemurkaan Allah dengan menipu, dengan transaksi riba dan sebagainya, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada perniagaan kita.

Apabila kita sangat selesa duduk di rumah kediaman kita sehingga sangat berkira untuk ke masjid, ke surau, ke majlis ilmu jauh dan dekat, walaupun kadang-kadang sangat jelas laungan azan didengar dari rumah, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada rumah-rumah kita.

Akibatnya sangat tragis dan dahsyat iaitu :

فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

"Maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya)."

Hadirin yang dirahmati Allah,

Melebihkan cinta Allah adalah salah satu ciri pembeza antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Maka tidak peliklah jika ada seorang mukmin sanggup dikenakan apa sahaja tindakan terhadap dirinya jika dia tahu betapa tingginya nilai mencintai Allah melebihi segala-galanya. Firman Allah dalam surah al Baqarah 165 :

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ ٱللَّهِ  وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ

"Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah."

Mimbar juga hari ini mengingatkan hadirin sekelian bahawa gagalnya umat Islam melindungi saudaranya walaupun hanya seorang daripada kita yang murtad adalah menjadi faktor beralihnya kasih sayang Allah kepada kaum lain seperti firman Allah dalam surah al Maidah ayat 54 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَسَوْفَ يَأْتِى ٱللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَآئِمٍ  ذَ‌الِكَ فَضْلُ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ  وَٱللَّهُ وَ‌اسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٥٤﴾

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya."


Hadirin Mukminin yang dikasihi Allah,

Ayat ini secara jelas menunjukkan sikap yang sepatutnya diambil oleh semua orang Islam agar melebihkan kasih sayang sesama mukmin dan bersikap tegas kepada orang kafir, bukan sebaliknya merasa terhimpit dan tersepit dengan celaan dan desakan orang lain sehingga gagal mempertahankan wajibnya berkasih sayang sesama saudaranya yang muslim, lebih lebih lagi dalam isu yang tiada khilaf lagi iaitu mempertahan aqidah dan syariat Islam. Di manakah lagi kita ingin bingkaikan hadith indah Nabi SAW :

عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ  ِلأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِه

"Daripada Anas daripada Nabi saw bersabda; tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri."

Marilah sama sama kita memeriksa diri masing masing agar kita tidak terkeluar dari senarai orang orang yang disayangi Allah SWT.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ 

وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ 

وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، 

فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.







Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com. Klik sini.

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tambah Keahlian Baharu