bersama kepimpinan ulamak




Program Terdekat. Jom Para Naqibat Kita Hadirkan Diri




Thursday, November 8, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 9 NOVEMBER 2012 / 24 ZULHIJJAH 1433H



“MUHASABAH DI AMBANG HIJRAH”


Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada sidang jemaah sekalian agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan menghayati seluruh Syariat Islam di dalam kehidupan di samping taat mengerjakan segala yang diperintahkan dan menghindari segala larangan-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sama ada kita sedar atau tidak, kita bakal memasuki Tahun baru 1434 Hijriah dalam beberapa hari sahaja lagi. Tahun hijrah merupakan tarikh yang amat penting kerana ia telah memahat sejarah agung perjuangan Rasulullah s.a.w di peringkat awal Islam. Hijrah juga menjadi lambang perubahan dan memberi makna yang cukup besar kepada pembangunan tamadun umat Islam. Maal Hijrah yang saban tahun kita sambut dan raikan sebenarnya perlu difahami dan dihayati agar kita dapat memenuhi tuntutannya dan beriktibar daripadanya.

Hijrah dari sudut bahasa bermaksud meninggalkan atau berganjak menjauhi sesuatu. Sesuai dengan maksud kalimah ini, hijrah sebenarnya menuntut kita bergerak meninggalkan sesuatu keadaan yang buruk untuk beralih ke suatu keadaan yang lebih baik. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abdullah bin Amru, Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّ الْمُهَاجِرَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

“Sesungguhnya orang yang benar-benar berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Muhasabah diri adalah suatu usaha murni yang dapat mengembalikan manusia ke landasan kehambaan. Apatah lagi dengan kehadiran tahun baru hijrah ini, kita merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan, dimulakan dan dijayakan. Muhasabah amat perlu dibuat bagi menjamin sesuatu yang baik yang diimpikan menjadi kenyataan. Justeru, perlu difahami bahawa muhasabah diri yang perlu kita lakukan terbahagi kepada dua bentuk;

Pertama : Muhasabah sebelum bertindak. Ia dilakukan sebaik saja timbul niat dan keinginan untuk berbuat sesuatu kebaikan. Muhasabah ini akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak samada untuk meneruskan niat bertindak atau membatalkannya. Maka apa juga yang kita rancang untuk tahun baru ini pastikan kita mulakan dengan muhasabah sebelum kita memulakannya. Beruntunglah mereka yang sentiasa membudayakan muhasabah sebegini di dalam hidupnya. Imam Hasan al-Basri Rahimahullah pernah berkata :

“Semoga Allah merahmati seorang hamba yang mampu berhenti berfikir sebelum melaksanakan kehendaknya, jika kehendaknya itu kerana Allah dia akan melaksanakannya dan jika kerana selain Allah dia menghentikan niatnya”.

Kedua : Muhasabah setelah bertindak. Ia berbentuk kaji selidik dan analisa terhadap apa yang telah kita lakukan. Ia meliputi muhasabah tentang ketaatan yang kita engkari, tentang larangan yang kita cerobohi, juga tentang kesempurnaan dan kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil dari tindakan yang telah kita lakukan khususnya sepanjang setahun lalu. Semua ini akan membentuk kekesalan dan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik di masa-masa hadapan.

Kedua-dua bentuk muhasabah ini adalah amalan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim di dalam kehidupan mereka. Sempena dengan kehadiran tahun baru Hijrah, amalan ini wajar kita laksanakan dengan sempurna. Jika selama ini kita belum pernah melakukannya, maka mulakanlah dari sekarang. Sebagai pendorong kita untuk sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah, renungkanlah firman Allah SWT dalam surah Ali -Imran ayat 30:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِن سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ ﴿٣٠﴾

“(Ingatlah) pada hari itu (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mengetahui segala apa yang telah dikerjakannya (sama ada) berupa kebaikan yang dihadapkan ke hadapannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Pada ketika itu) tiap-tiap orang (yang bersalah) inginkan kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amal kejahatannya itu. Allah memperingatkan kamu kepada diri-Nya (kemurkaan-Nya). (Ingatlah juga) Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Imam Ibnu al-Qayyim Rahimahullah ada menjelaskan bagaimana proses muhasabah hijrah ini dilaksanakan iaitu :

1. Mulakan muhasabah diri dengan mengenang semua kefarduan yang wajib ke atas kita untuk menyempurnakannya. Jika ada yang masih diabaikan berazamlah untuk menyempurnakannya.

2. Muhasabah diri terhadap maksiat, kemungkaran dan tegahan syariat yang kita lakukan. Jika ternyata kita masih terlibat dengan semua ini, bertaubat untuk beristighfarlah dan kembali kepada ketaatan.

3. Muhasabah diri terhadap kelalaian dan kealpaan. Kembalilah kepada Allah dengan usaha-usaha mengingati-Nya dengan solat berjemaah, mendengar tazkirah, berzikir dan membaca al-Quran.

4. Muhasabah pada seluruh anggota tubuh kurniaan Allah; lidah, kaki, tangan, mata, telinga dan anggota lain. Apakah semua nikmat ini masih kita gunakan untuk membina kepuasan nafsu dan dosa kemaksiatan? Adakah telah kita gunakan untuk memburu keredhaan Allah? Jika masih jauh daripada watak kehambaan, marilah kita kembali ke pangkal jalan, memujuk diri untuk mempersembahkan ketaatan dan kesyukuran, selagi hayat dikandung badan.

Ingatlah bahawa tahun demi tahun yang berlalu pergi adalah realiti usia kita kian menuju ke penghunjungnya, yang setiap detik dimamah peredaran masa. Tahun baru yang hadir ini belum menjanjikan apa-apa sekiranya kita masih hidup bergelumang dengan dosa. Hidup tanpa redha Allah di dunia ini hanya akan mengundang mala petaka dan kesengsaraan yang kekal abadi di neraka.

Lantaran itu, muhasabahlah diri kita, bertaubatlah dari segala dosa, aturkanlah langkah-langkah kehambaan pada Yang Maha Esa, agar kita beroleh keberkatan di dalam kehidupan di dunia ini sebelum mendapat keredhaan Allah yang abadi di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan pimpinan taufiq kepada hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 69:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾
 
“ Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah, bersama orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Semoga kehadiran tahun baru hijrah 1434 ini akan benar-benar menganugerahkan kita sebuah keazaman dan kekuatan untuk membangunkan jiwa tauhid dan kehambaan kepada Allah ‘Azza wa Jalla hasil dari muhasabah yang dilakukan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ  


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ ﴿٢٠﴾
 
(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya member minum orang yang mengerjakan haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. (surah al-Taubah ayat 20)

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama melakukan sebanyak mungkin amal kebajikan dan membuat perubahan yang positif ke demi memantapkan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT. Antara intipati khutbah pada hari ini yang mimbar boleh simpulkan ialah;

Pertama : Hijrah yang memberi maksud berpindah ke suatu keadaan yang lebih baik sewajarnya menjadi suatu iktibar agung yang perlu dihayati oleh seluruh umat Islam.

Kedua : Muhasabah di ambang Tahun baru Hijrah akan menjadikan kita insan yang sedar dan peka kepada tuntutan supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran dan kemurkaan Allah SWT kepada berubah menjadi insan yang taat dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Ketiga : Kita perlu yakin bahawa kita pasti akan dibantu dan dipandu dalam melakukan usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ،
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا
مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ،
إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B