bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Monday, August 6, 2012

Ramadhan: Kasihi saudara seagama yang dizalimi

KUALA LUMPUR: “Maka kesempatan Ramadhan ini perlulah kita gunakan semaksimum mungkin untuk menunjukkan persaudaraan dan kasih sayang kita kepada mereka,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru, beliau menyeru umat Islam negara ini memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar saudara seagama di beberapa negara seperti Palestin, Syria dan Myanmar dikeluarkan daripada kezaliman dan kesempitan serta diberi kemenangan oleh Allah SWT.

“Sudah terlalu banyak darah umat Islam ditumpahkan oleh manusia yang zalim,” ujarnya dalam perutusan Ramadhan 1433.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Kita bersyukur kepada Allah SWT yang menemukan kita dengan bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita menggunakan kesempatan Ramadhan untuk mendidik dan melatih diri untuk beribadat secara tekun dan istiqamah, serta taat kepada Allah SWT. Allah menurunkan Al Quran di bulan ini sebagai petunjuk kepada seluruh manusia bagi memberi kebaikan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat sebagaimana kehendak manusia. Oleh itu, meningkatkan ketaqwaan kepada Allah memberi makna meningkatkan kebaikan untuk diri dan ummah dalam semua segi.

Dalam masa yang sama, terdapat saudara se-Islam kita di seluruh dunia yang menyambut bulan Ramadhan ini dengan situasi berbeza sama ada situasi perang, bencana atau pergolakan seperti di Palestin, Syria dan Myanmar (Burma). Sudah terlalu banyak darah ummat Islam ditumpahkan oleh manusia yang zalim. Maka kesempatan Ramadhan ini perlulah kita gunakan semaksimum mungkin untuk menunjukkan persaudaraan dan kasih sayang kita kepada mereka dengan berbanyak berdoa kepada Allah SWT, moga mereka dikeluarkan daripada kezaliman dan kesempitan serta diberi kemenangan oleh Allah SWT.

Justeru, perbanyakkan ibadah kita di bulan mulia ini moga semakin dekat diri kita dengan Allah, perbanyakkan bertadarus Al Quran, bersedekah dan memohon keampunan kepada Allah. Semoga kita diberi kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B