bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Thursday, June 7, 2012

Khutbah Jumaat - 18 Rejab 1433 H / 8 Jun 2012M

FITNAH KOMUNIKASI TANPA HAD DAN SEMPADAN

خطبة ڤرتام
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ﴿٦﴾

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

WAHAI HAMBA-HAMBA ALLAH SEKELIAN!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah sebagai sebaik-baik ummah, kita bertanggung jawab bagi memastikan seluruh kehidupan kita menepati kehendak Allah dan Rasulnya. Kita wajib mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dengan cara berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Iman dan takwa perkara asas bagi membolehkan kita mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Banyak hadis nabi yang memperkatakan tentang kedatangan fitnah sama ada besar atau kecil yang akan berlaku di akhir zaman. Di antara fitnah yang besar pada zaman ini dan jika tidak ditangani dengan baik akan menggugat keharmonian umat Islam adalah fitnah yang tersebar melalui talian dan hubungan maya tanpa had dan sempadan. Firman Allah SWT: 

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلأخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman kemajuan teknologi maklumat hari ini menyaksikan pelbagai peringkat masyarakat, tidak mengira usia, kedudukan dan latar belakang seolah-olah sudah tidak lagi boleh hidup tanpa internet. Sebahagian besar hidup mereka dihabiskan dengan melayari internet sama ada bagi menguruskan urusan kewangan, pembelian barangan keperluan malah untuk berhubung dengan teman-teman. Jemputan menghadiri majlis dan kenduri kendara juga sedah mula menggunakan facebook dan email. Telefon bimbit terbaru juga pasti menyediakan kemudahan melayari internet jika mahu mendapat tempat di dalam pasaran.

HADHIRIN SEKELIAN!

Setiap kemudahan teknologi yang dikembangkan pada asalnya adalah untuk manfaat dan kegunaan manusia. Kemudahan internet membolehkan manusia berhubung dengan pantas, berkongsi maklumat dan ilmu tanpa had dan sempadan, berkomunikasi dengan sesiapa sahaja samada yang dikenali ataupun yang belum pernah bersua muka, membincangkan apa sahaja samada perkara yang halal ataupun perkara yang haram. Ianya mampu mengeratkan ikatan persaudaraan dan memudahkan manusia berkenal-kenalan, jika digunakan dengan cara yang dibenarkan.

Walaubagaimanapun kedatangannya juga membawa bersama kesan buruk yang amat besar jika matlamat penciptaannya gagal dihayati dan disalahgunakan. Sepatah ayat yang dimasukkan ke dalam facebook boleh memporak porandakan sebuah Negara. Sekeping gambar yang dimasukkan ke dalam facebook mampu mengaibkan pemiliknya seumur hidup dan menyebabkannya menanggung dosa yang berkekalan sehingga Hari Akhirat.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Walau apapun cara dan kaedah hubungan sesama manusia, ianya tetap diikat dengan Sistem Muamalah Islam yang telah digariskan oleh Allah. Malah Syariat Allah bukan sahaja menjaga hubungan sesama manusia, malah turut memastikan manusia berbuat baik terhadap makhluk-makhluk lain. Oleh kerana manusia dikurniakan akal dan fikiran maka segala makhluk lain diciptakan untuk berbakti dan digunakan oleh manusia. Namun demikian manusia tidak boleh menggunakan segala nikmat Allah sesuka hati mereka, malah mesti tertakluk kepada ketentuan Allah.

MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Manusia hari ini lebih banyak berbicara menggunakan tangan dan pena berbanding lidah dan lisan mereka. Allahlah sebenarnya yang mengajar manusia untuk mempelbagaikan kaedah berbicara. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4: 

ٱلرَّحْمَـٰنُ ﴿١﴾ عَلَّمَ ٱلْقُرْءَانَ ﴿٢﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ ﴿٣﴾ عَلَّمَهُ ٱلْبَيَانَ ﴿٤﴾

“Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang telah mengajarkan al-Quran, Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru itu, nikmat berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut kehendak Allah.

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,

Saat negara sedang menunggu tarikh pilihanraya umum yang bakal diadakan, berbagai pihak mengunakan segala kaedah yang ada untuk mengeluarkan kepentingan politik masing-masing. Berbagai pihak mula berbicara termasuk bakal calon yang akan bertanding, ahli parti politik yang mencari sokongan, ahli akademik yang mahu membimbing masyarakat, badan bukan kerajaan yang kononnya tidak menyebelahi mana-mana pihak termasuk orang ramai yang mahu menyuarakan isi hati dan pendapat tersendiri. Maka sedarlah semua bahawa apa sahaja yang kita perkatakan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di Akhirat nanti. Jika sekiranya tulisan dan bicara kita bercanggah dengan kehendak Allah atau menyakitkan hati pihak lain tanpa keperluan, maka kita tidak akan terlepas daripada azab neraka Allah. Wajarkah kita mendapatkan satu undi dengan menempah satu tempat di neraka Allah. Semakin jauhlah kita daripada menjadi orang yang sempurna imannya terhadap Allah. Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1-3 Allah SWT merakamkan : 

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ ﴿٢﴾ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

وَعَنْ أَبِى الدَّرْدَاءِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ (ص) : لاَ يَكُونُ اللَّعَّانُونَ شُفَعَاءَ وَلاَشُهَدَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Abu Darda' menceritakan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang suka melaknat tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan dan keluhuran hati budinya. Jangan kita mendedahkan keburukan akhlak kita kepada manusia dengan tutur kata dan tulisan kita yang tidak berteraskan iman dan taqwa. Pastikanlah hanya perkara yang tepat dan terbukti sahaja yang kita sebarkan. Pastikan tidak ada adu domba dan penyebaran keaiban saudara kita tanpa keperluan apa-apa. Pastikan kita tidak melakukan sebarang tuduhan yang boleh mencampakkan kita ke neraka.

وَعَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ : أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللهِ (ص) يَقُولُ : لاَ يَرْمِى رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفِسْقِ أَوِ الْكُفْرِ إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ.


Dari Abu Zar r.a. telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Riwayat al-Bukhari).

Firman Allah SWT:

 
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌۭ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّۭا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍۢ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ ﴿١١﴾

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

خطبة كدوا

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ ﴿١٨﴾

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Terdapat beberapa fakta penting yang boleh sama-sama kita hayati pada khutbah yang pertama tadi iaitu:

1- Kemajuan teknologi maklumat dan kecanggihan medium komunikasi hari ini adalah baik sekiranya ia digunakan dengan baik dan begitulah sebaliknya.

2- Nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak.

3- Kita dipertanggungjawabkan dengan segala tulisan kita di media dan sedikit kesilapan yang kita lakukan boleh menjadi tiket untuk kita ke neraka.

4- Bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ،
وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
 اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

Ya Allah kurniakanlah sepenuhnya taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

رَبَّنَا آتنِاَ فِيْ الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِيْ اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ. 






Teks asal khutbah ini juga oleh dimuat turun dari www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B