bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Thursday, April 26, 2012

Khutbah Jumaat - 05 JamadilAkhir 1433 / 27 April 2012

PENYEBARAN FITNAH MEROSAKKAN KEHARMONIAN UMMAH

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

WAHAI HAMBA-HAMBA ALLAH SEKELIAN!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tinggi dimuliakan oleh Allah, pastinya kita mengimpikan kenikmatan, keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup yang berkelakalan di dunia dan di Akhirat. Justeru itu, marilah kita sama-sama mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita selama ini dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Terlalu banyak hadis nabi yang memperkatakan tentang kedatangan fitnah yang akan menimpa Umat Islam yang sebahagiannya mampu menjejaskan keharmonian hidup kita dalam menghadapi kehidupan yang berlandaskan Syariat Allah. Firman Allah SWT: 

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman yang sarat dengan kemajuan teknologi maklumat seperti hari ini, dunia sudah menjadi semakin mengecil. Manusia bukan sahaja dapat mengetahui sesuatu maklumat dengan kadar segera, malah sesuatu perkara dapat di ketahui oleh manusia di seluruh dunia dalam masa yang sama serentak dengan berlakunya perkara tersebut. Meledaknya teknologi Jaringan Sosial melalui internet telah merubah sebahagian besar budaya dan kaedah komunikasi manusia yang tidak lagi berasaskan hubungan bersemuka, tetapi memada dengan hubungan dalam talian yang tidak memerlukan perhubungan secara bersua muka. Maka timbullah berbagai masalah di dalam hubungan sesama manusia yang agak berbeza dengan fitrah semulajadi manusia yang diciptakan daripada berbagai bangsa dan keturunan semata-mata untuk berkenal-kenalan. Setakat manalah manfaatnya hubungan yang hanya berasaskan nama dan rupa.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Oleh kerana hubungan yang dibina hanya di alam maya maka tidak ada ikatan perasaan maka berbagai kecelaruan timbul di dalam hubungan seperti ini. Mereka yang terlibat kurang merasa bertanggungjawab di atas setiap tindakan mereka. Mereka bebas mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk melakukan pembohongan, memfitnah, mengaibkan dan membuat tuduhan sebarangan sehingga menyebabkan perpecahan dan perbalahan. Firman Allah SWT: 

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١﴾

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Islam amat melarang penyebaran sebarang bentuk pembohongan, penyebaran fitnah, mendedahkan keaiban dan tuduhan melulu sesama insan. Pihak yang berkuasa wajib melakukan pemantauan dan menghalang segala keburukan ini daripada berterusan.

Apa yang lebih parah, terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mempedulikan soal maruah dan harga diri sehingga memasukkan gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan berpakaian seksi untuk menjadi tatapan orang ramai. Dosa yang pada asalnya dianggap kecil menjadi terlalu besar apabila ditatap oleh jutaan manusia dan akan kekal selama mana ianya masih digunakan. Dosa pembohongaan, fitnah dan tuduhan melulu yang disebarkan akan menjadi bertambah besar mengikut jumlah mereka yang membaca, mempercayai dan turut menyebarkannya. Buat akhirnya marilah kita menghayati firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (10) “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”. (11) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (12)(Surah Al-Hujurat 10-12)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.




Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B