Thursday, April 26, 2012

Khutbah Jumaat - 05 JamadilAkhir 1433 / 27 April 2012

PENYEBARAN FITNAH MEROSAKKAN KEHARMONIAN UMMAH

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

WAHAI HAMBA-HAMBA ALLAH SEKELIAN!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tinggi dimuliakan oleh Allah, pastinya kita mengimpikan kenikmatan, keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup yang berkelakalan di dunia dan di Akhirat. Justeru itu, marilah kita sama-sama mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita selama ini dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Terlalu banyak hadis nabi yang memperkatakan tentang kedatangan fitnah yang akan menimpa Umat Islam yang sebahagiannya mampu menjejaskan keharmonian hidup kita dalam menghadapi kehidupan yang berlandaskan Syariat Allah. Firman Allah SWT: 

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman yang sarat dengan kemajuan teknologi maklumat seperti hari ini, dunia sudah menjadi semakin mengecil. Manusia bukan sahaja dapat mengetahui sesuatu maklumat dengan kadar segera, malah sesuatu perkara dapat di ketahui oleh manusia di seluruh dunia dalam masa yang sama serentak dengan berlakunya perkara tersebut. Meledaknya teknologi Jaringan Sosial melalui internet telah merubah sebahagian besar budaya dan kaedah komunikasi manusia yang tidak lagi berasaskan hubungan bersemuka, tetapi memada dengan hubungan dalam talian yang tidak memerlukan perhubungan secara bersua muka. Maka timbullah berbagai masalah di dalam hubungan sesama manusia yang agak berbeza dengan fitrah semulajadi manusia yang diciptakan daripada berbagai bangsa dan keturunan semata-mata untuk berkenal-kenalan. Setakat manalah manfaatnya hubungan yang hanya berasaskan nama dan rupa.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Oleh kerana hubungan yang dibina hanya di alam maya maka tidak ada ikatan perasaan maka berbagai kecelaruan timbul di dalam hubungan seperti ini. Mereka yang terlibat kurang merasa bertanggungjawab di atas setiap tindakan mereka. Mereka bebas mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk melakukan pembohongan, memfitnah, mengaibkan dan membuat tuduhan sebarangan sehingga menyebabkan perpecahan dan perbalahan. Firman Allah SWT: 

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١﴾

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH!

Islam amat melarang penyebaran sebarang bentuk pembohongan, penyebaran fitnah, mendedahkan keaiban dan tuduhan melulu sesama insan. Pihak yang berkuasa wajib melakukan pemantauan dan menghalang segala keburukan ini daripada berterusan.

Apa yang lebih parah, terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mempedulikan soal maruah dan harga diri sehingga memasukkan gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan berpakaian seksi untuk menjadi tatapan orang ramai. Dosa yang pada asalnya dianggap kecil menjadi terlalu besar apabila ditatap oleh jutaan manusia dan akan kekal selama mana ianya masih digunakan. Dosa pembohongaan, fitnah dan tuduhan melulu yang disebarkan akan menjadi bertambah besar mengikut jumlah mereka yang membaca, mempercayai dan turut menyebarkannya. Buat akhirnya marilah kita menghayati firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (10) “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”. (11) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (12)(Surah Al-Hujurat 10-12)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.




Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama www.4shared.com

Friday, April 20, 2012

Khutbah Jumaat - 29 Jamadilawwal 1432 / 20 April 2011



"KEPUTERAAN DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK"



الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ، 
  يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ 

بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ    إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّون 

عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ  بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ ﴿٢٦﴾
“Wahai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah putuskanlah di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan Hari Perhitungan”. (Surah Sad ayat 26.)
 
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ الاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا 

عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ،    اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ

  وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .  اَمَّا بَعْدُ,


 فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ 


وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.
 


Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Marilah kita melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah S.W.T dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah saw serta berusaha mengamalkan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Pada 19 April 2011 ini, sebagaimana tahun-tahun yang lalu, kita meraikan Sambutan Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, sebagai Raja dan Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini. Sultan, Raja atau Khalifah adalah penyambung kepada tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir negara. Institusi Kesultanan adalah amat penting dalam negara yan g mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan seperti di negara ini, kerana ianya adalah benteng terakhir dalam mempertahankan kedaulatan Islam di bumi bertuah ini. Tanpa institusi seperti ini, sesiapa sahaja yang mampu mengumpulkan sokongan dan mendapat undi terbanyak akan memiliki kuasa tanpa had yang akhirnya negara ini akan dibawa ke arah yang disukai oleh rakyat jelata walaupun amat bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasulnya.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Rakyat yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, berbagai corak pemikiran dan beraneka ragam dan kemahuan, pastinya akan hidup dalam kecelaruan dan saling berantakan tanpa ada hala tuju yang ditetapkan oleh kepimpinan. Nabi SAW memerintahkan Umat Islam melantik seorang pemimpin walaupun dalam situasi yang biasa yang melibatkan manusia yang ramai. Sabda baginda :


عَنْ ‏أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏ قَالَ


إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُم


 Daripada Abi Said Al-Khudhri, bahawa Rasulullah SAW bersabda; apabila keluar 3 orang untuk bermusafir maka hendaklah dilantik salah seorang dari mereka menjadi ketua.


Muslimin yang dirahmati Allah,


Hebatnya Institusi Kesultanan Melayu sejak dahulu adalah terasas kepada ketaatan dan kesetiaan rakyat jelata kepada raja-raja mereka. Sejarah telah membuktikan kasih sayang dan ketaatan Bangsa Melayu terhadap raja-raja mereka, dimana apabila Raja-raja Melayu menerima Islam, maka berduyun-duyunlah rakyat semuanya mengikuti jejak langkah raja-raja mereka. Maka atas perkenan Raja-raja Melayu maka terlaksanalah undang-undang Islam sebagai undang-undang negara seumpama Risalah Iskandar, Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 Perak, Kanun Islam Terengganu, Majallah Al-Ahkam Al-Adliyah Negeri Johor dan sebagainya. Maka ketika Umat Islam mula meninggalkan agama kita, kemurtadan berlaku di merata-rata, Islam dihina dengan berbagai cara, gaya hidup barat membudaya di kalangan rakyat jelata, maka Raja-Rajalah yang menjadi harapan kita untuk memperbaiki suasana.


Muslimin Mukminin yang dirahmati,

Allah menceritakan mengenai Raja-Raja yang memimpin rakyat jelata dalam bentuk yang berbeza-beza. Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 73 dan Surah Al-Qasas ayat 41-42:
 
وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَئِمَّةًۭ يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِمْ فِعْلَ ٱلْخَيْرَ‌ٰتِ 

وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّكَوٰةِ ۖ وَكَانُوا۟ لَنَا عَـٰبِدِينَ ﴿٧٣﴾  

Dan Kami jadikan mereka pemerintah, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

Namun jika berlaku sebaliknya maka rugilah mereka yang mempersia-siakan kuasa yang dianugerahkan kepada mereka.

وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَئِمَّةًۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا يُنصَرُونَ

 ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَـٰهُمْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا لَعْنَةًۭ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ هُم

 مِّنَ ٱلْمَقْبُوحِينَ ﴿٤٢﴾  
 

Dan Kami jadikan mereka pemerintah, yang mengajak rakyatnya ke neraka dan pada Hari Kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami timpakan kepada mereka dengan laknat di dunia ini dan pada Hari Kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan keadaan sehina-hinanya.

Sidang Jumaat Sekelian,

Raja-Raja mampu menyelamatkan rakyat jelata daripada dihumban ke neraka dengan titah dan perintahnya agar rakyat tidak menderhakai Allah. Rakyat jelata juga mampu menyelamatkan Raja-Raja daripada disambar api neraka dengan mentaati mereka dan menasihati mereka agar melaksanakan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah. Sejarah telah membuktikan bahawa sentiasa ada antara rakyat yang mendekati Raja-Raja semata-mata untuk mempengaruhi Raja-Raja agar melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Panglima Hang Tuah difitnah sehingga mendapat kemurkaan Raja walaupun beliau begitu taat kepada Raja. Hang Nadim terkorban akibat hasad dengki sehingga mengorbankan nyawanya.

Walaupun kita mempunyai Sultan dan Raja yang bijaksana, namun jika Baginda masih memerlukan nasihat daripada penjawat awam, para pembesar dan pemimpin kerajaan. Jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ikhlas, maka negeri ini pasti akan menjadi sebuah negeri yang aman damai, maju dan hebat di bawah naungan ke bawah Duli. Jika semua pihak bersatu tenaga dan bekerjasama melaksanakan perintah Allah, pastinya rakyat jelata seluruhnya akan menumpahkan ketaatan mereka kepada para Raja dan para pemerintah. Mudah-mudahan sempena tarikh keramat 19 April, Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, sebagai Raja dan Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini akan menjadi titik tolak kepada negeri ini bergerak ke arah menjadi “بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ “ iaitu :    NEGERI    YANG    BAIK    DAN    DIAMPUNI    TUHAN.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ 

وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، 

وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، 

أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ 

وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ 

وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ 

فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
 









Teks    asal    khutbah    ini    juga    boleh    dimuatturun    dari    laman    web       www.4shared.com.

Thursday, April 12, 2012

Khutbah Jumaat - 21 JamadilAwal 1433 / 13 April 2012



"TUNTUTAN SOLAT BERJAMAAH"

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّ‌اكِعِينَ ﴿٤٣﴾
"Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjamaah) bersama-sama orang yang rukuk".(Al-Baqarah ayat 43)

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله, فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan mengerjakan semua perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kejayaan sama ada di dunia ini mahu pun di akhirat kelak. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.


Hadhirin yang dihormati sekalian,


Solat adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim semenjak mereka baligh, lima kali sehari semalam mengikut waktu yang telah ditetapkan. Solat menjadi tonggak dalam kehidupan Umat Islam yang akan memastikan kita sentiasa mentaati dan mengingati Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang kehidupan. Ianya menjadi sebab untuk kita mendapatkan Rahmat Allah di dalam kehidupan kita. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nur ayat 56;

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿٥٦﴾

"Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, agar kamu diberi rahmat".


Sidang Jumaat Sekelian,

Perlaksanaan solat melambangkan kualiti iman dan keyakinan kita terhadap Allah Subhanahu Wata'ala. Solat merupakan ibadat yang membezakan antara umat Islam dengan penganut agama-agama lain. Solat merupakan penanda aras kekuatan agama, kemantapan jati diri dan keteguhan akhlak.

Oleh sebab itulah umat Islam dituntut mengajar anak-anak mereka untuk solat sewaktu berumur tujuh tahun dan boleh dipukul apabila berumur sepuluh tahun jika meninggalkan solat. Solat tidak boleh ditinggalkan sama sekali walaupun dalam keadaaan yang penuh dengan kesukaran seperti ketika berperang, ketika sakit, ketika bermusafir atau ketika bertugas. Walaubagaimanapun atas kasih sayang Allah terhadap manusia maka diberikan rukhsah (keringanan) bagi melaksanakan solat dengan cara yang lebih mudah dalam keadaan-keadaan tersebut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Selain daripada tuntutan melaksanakan solat secara bersendirian, kita juga dituntut agar melakukannya secara berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w.:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً - رواه مسلم

"Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat"

Ulama' menyatakan hukum solat berjemaah adalah samada Fardhu Kifayah ataupun sunat muakkad. Tetapi Hadis nabi menyatakan bahawa tidak boleh meninggalkan Solat berjemaah selama mana mendengar seruan azan sebagaimana sabda baginda :


عَنْ أَبِي رَزِينٍ عَنْ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ أَنَّهُ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ ضَرِيرُ الْبَصَرِ شَاسِعُ الدَّارِ وَلِي قَائِدٌ لاَ يُلاَ ئِمُنِي فَهَلْ لِي رُخْصَةٌ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِي قَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ قَالَ نَعَمْ قَالَ لاَ أَجِدُ لَكَ رُخْصَةً - رواه ابو داود
Daripada Abi Razin daripada Ibnu Ummi Maktum, bahawa beliau bertanya kepada nabi (saw), maka katanya ; Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku seorang yang cacat penglihatan, tinggal berjauhan dan tidak sentiasa mempunyai pembantu untuk memanduku datang ke masjid, adakah aku diberi keringanan untuk sembahyang di rumah. Maka sabda baginda; adakah kamu mendengar azan. Jawab Ibnu Ummi Maktum; ya. Maka sabda Rasulullah saw; kamu tidak diberi keringanan.

Malah mereka yang meninggalkan solat Jemaah juga akan mudah dikuasai oleh syaitan. Maka tidak hairanlah jika rumahtangga, masyarakat, negeri ataupun negara yang tidak mengambil berat mengenai solat berjemaah tidak akan merasai keamanan dan ketenangan dalam kehidupan mereka jika mereka mengabaikan solat berjemaah. Sabda Rasulullah saw :


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلاةُ إِلاَّ قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّماَ يَأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ اْلغَنَمِ الْقاَصِيَةِ  
Daripada Abu Darda’ berkata; aku mendengar rasullullah saw bersabda; tidak ada 3 orang di dalam sesuatu qaryah atau kampung yang tidak didirikan solat kecuali mereka akan dikuasai oleh syaitan, maka lazim atas kamu berjemaah kerana hanya kambing yang bersendirian sahaja yang akan dimakan oleh serigala.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Solat Jemaah menjadi lambang kesatuan dan perpaduan ummat dalam mencari Allah Subhanahu Wata'ala. Kita menghadap kiblat yang sama, kita patuh kepada imam yang sama dan segala bacaan dan pergerakan kita adalah sama. Solat Jemaah juga menjadi latihan kepada pemantapan kepada hubungan antara rakyat dan kepimpinan. Makmum perlu taat kepada imam selama mana imam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah. Makmum berhak menegur imam dan imam hendaklah menerima teguran makmum dengan penuh tawadhuk. Jika sekiranya imam berterusan melakukan kesilapan tanpa mahu membetulkan keadaan maka dibenarkan makmum mengambil alih kedudukan imam kerana tidak boleh sama sekali kita terus mengikut pemimpin kita yang membawa kita kepada kesesatan tanpa ada usaha untuk memperbaiki keadaan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kita sentiasa bercakap mengenai perpaduan umat Islam dan Bangsa Melayu. Perpaduan tidak akan dapat dicapai kecuali semua pihak tunduk kepada perintah Allah. Makmum tidak akan bersatu mengikut imam jika imam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah. Sebahagian dari makmum yang mempunyai ilmu akan menegur imam atau berniat mufaraqah (mengasingkan diri dari Jemaah) manakala sebahagian lagi yang jahil akan terus menjadi pak turut kepada imam yang kerana mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk menegur imam ataupun memisahkan diri dari ikutan mereka terhadap imam. Maka makmum akan kelihatan berpecah belah walaupun mereka asalnya mengikut imam yang satu. Jika ini berlaku, maka untuk menyatukan kembali Jemaah tersebut, maka imam wajib bersifat tawaddhuk dengan mengakui kesilapannya dan kembali kepada kebenaran. Jika egonya menguasai diri dan berterusan melakukan kesilapan, maka bersedialah untuk disingkirkan daripada jawatannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Perpaduan dan kesatuan amat penting dalam kita menghadapi saat yang amat genting ini. Kegagalan kita untuk bersatu padu telah diambil kesempatan oleh musuh-musuh Allah untuk menambahkan lagi kelemahan kita. Musuh-musuh Allah ini kebanyakannya tidaklah sekuat mana. Kita pernah menguasai mereka sebelum mereka merasai kemajuan tamadun yang mereka kuasai pada hari ini. Namun apabila umat Islam tidak bersatu padu maka mereka tidak langsung merasa gerun dengan kita. Untuk kembali menguasai mereka, kita mesti bersatu untuk saling menguatkan antara sesama kita, bukan tekan menekan antara satu sama lain. Kita perlu mewujudkan rasa gerun di hati mereka bukan sekadar mengambil hati mereka. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
 "Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi".

Muslimin mukminin yang dirahmati Allah sekelian,

Saya ingin menyeru jemaah sekelian untuk memulakan dengan diri kita sendiri untuk membuat perubahan dalam diri kita sebagi tanda kesungguhan kita untuk mencapai darjat ketaqwaaan dengan:-

1) Berazam untuk tidak lagi melepaskan peluang solat fardhu dan solat berjamaah di Masjid, surau, musolla atau di mana saja.

2) Sentiasa berpakaian lengkap dan menutup aurat agar kita dapat menunaikan solat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

3) Sentiasa menjaga waktu setiap solat dan tempat untuk kita bersolat berjamaah di awal waktu walaupun ketika bermusafir.

4) Sentiasa mepersiapkan diri dengan ilmu dan kelayakan yang mencukupi untuk menjadi makmum atau imam dalam situasi yang memerlukan.

5) Memastikan agar Amar Makruf Nahi Mungkar sentiasa ditegakkan dalam masyarakat.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 











Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com.