bersama kepimpinan ulamak




Thursday, October 27, 2011

Khutbah Jumaat - 01 Zulhijjah 1432 / 28 Oktober 2011

MENUNTUT HAJI MABRUR ITU JIHAD

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ اَكْمَلَ لِهَذِهِ اْلأُمَّةِ شَرَائِعَ اْلإِسْلاَمِ وَفَرَّضَ عَلَ الْمُسْتَطِيْعِ مِنْهُمْ حَجَّ بَيْتِهِ الْحَرَامِ وَرَتَّبَ عَلَيْهِ جَزِيْلَ الْفَضْلِ وَاْلاِنْعَامِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ نَقِياًّ مِنَ الذُّنُوْبِ وَاْلآثاَمِ وَذَلِكَ هُوَ الْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْفَوْزُ بِالْجَنَّةِ دَارِالسَّلاَمِ  اَحْمَدُهُ وَاَشْكُرُهُ وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلاَمُ  وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَفْضَلُ مَنْ صَلَّي وَزَكَّى وَحَجَّ وَصَامَ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ الْبَرَرَةِ الْكِرَامِ  وَعَلَى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ مَا تَعَاقَبَتِ اللَّياَلِيَ وَالأَياَّمِ وَسَلِّمَ تَسْلِيْماً. اَماَّ بَعْدُ  فَيا أَيُّهَا النَّاسُ اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Di hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan serta keberkatan ini, marilah sama-sama kita memujuk hati kita untuk bertakwa kepada Allah swt, iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh mematuhi kesemua ajaran agama Allah, melaksanakan semua yang disuruh dan meninggalkan kesemua yang dilarang semoga kita tergolong dari hambanya yang dijanjikan beroleh rahmat serta pengampunanNya dan dibalas dengan SyurgaNya, di Akhirat sana, Amin.

Muslimin yang dirahmati Allah.

Musim Haji menjelma lagi. Ianya mengembalikan kenangan kita kepada sejarah hampir 5,000 tahun yang lampau iaitu kisah Nabi Allah Ibrahim a.s, bapa segala Nabi. Beliau telah menghabiskan segenap umurnya untuk mengabdikan diri dan berkorban kepada Allah. Beliau telah berpindah dari satu negeri ke satu negeri dari Mesopotamia sampai ke Palestin lalu terus ke Mesir dan akhirnya menetap di tanah suci Makkatul Mukarromah. Baginda telah menempa sejarah yang sangat luhur yang terus bersemadi di hati umat manusia selama bumi ini disinari oleh bulan dan mentari.

Nabi Allah Ibrahim telah diperintahkan untuk meninggalkan Isterinya Siti Hajar bersama Puteranya Ismail yang masih kecil di bumi yang tandus, kontang dan sunyi.Dengan rahmat Allah, terpancarlah, Air zamzam untuk dijadikan minuman mereka. Kemudian Nabi Ibrahim kembali kepada keluarganya dan telah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih puteranya Ismail. Dengan penuh ketaatan Nabi Ibrahim telah melaksanakan segala perintah lalu Allah menggantikan Nabi Allah Ismail dengan seekor kibas yang besar. Berdasarkan peristiwa inilah, lahirnyaibadat penyembelihan KORBAN, yang mana hukumnya adalah Sunnat Muakkad kepada umat Nabi Muhammad saw. Kemudiannya Allah telah mengangkat Ismail menjadi Nabi lalu Allah memerintahkan Nabi Ibrahim, membina Kaabah dibinanya bersama puteranya Nabi Ismail a.s.

Sidang Jumaat yang berbahagia. 

Begitulahlah amal-amal Ibadah dan kebajikan-kebajikan umat terdahulu yang terus segar di kalbu setiap Umat Islam terutamanya sewaktu tatkala menunaikan Ibadah Fardhu Haji. Segala yang diperintahkan oleh Allah dipatuhi dan dilaksanakan dengan rasa tawaduk, ikhlas dan rendah diri kepada Allah. Segala amalan-amalan haji itu samada yang rukun, fardhu dan sunat hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kesemuanya dilaksanakan dengan penuh pengharapan semoga mendapat rahmat, keampunan dan keredhaan daripada Allah swt dan yang penting ibadah hajinya diterima Allah dengan mendapat Haji Mabrur yang mana Allah menjanjikannya dengan balasan Syurga.

Hadirin yang dirahmati Allah. 

Dalam hal ini Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji, seorang mukmin akan merasai kerinduan yang sangat mendalam kepada Allah. Mereka dengan rela hati telah meninggalkan segala yang mereka sayang termasuk kampung halaman, keluarga, sanak-saudara, harta-benda dan sahabat-handai dengan mengharungi lautan yang dalam dan luas terbentang semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menurut sejarah, ibadah haji adalah satu-satunya ibadah yang telah sekian lama diamalkan oleh umat manusia sebagai amalan yang menghubungkan jiwa seorang hamba dengan Tuhannya. Kemudian ianya disyariatkan kepada junjungan kita Rasulullah saw dan umatnya lalu seruan dan panggilan ini disambut dan dijawab oleh umat Islam dengan laungan Talbiah,

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ،لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، اِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ،
لَكَ وَالْمُلْكُ, لاَ شَرِيْكَ لَكَ

"Wahai Tuhan kami, Wahai Tuhan kami, kami datang semata-matadengan ikrar penuh taat-setia menjunjung perintahMu. Wahai Tuhan yang tiada sekutu bagiMu, kami datang menyahut seruanMu, sesungguhnya segala puji serta segala limpahan rahmat adalah milikMu, yang datang dariMu dan hanya untuk Mu, Ya Allah, Engkaulah Tuhanku tiada sekutu bagiMu"


Saudaraku yang dikasihi Allah,

Setiap bakal haji mengharapkan agar dikurniakan oleh Allah Haji yang Mabrur iaitu haji yang menghapuskan segala dosa-dosanya, menambahkan iman dan takwanya, menjadikannya istiqamah dengan amal-amal soleh, menghalangnya dari mengulangi kerja-kerja mungkar dan maksiat. Lidah dan hatinya akan menjadibanyak berzikir, tidak lagi bercakap perkara-perkara lagho yang tidak berfaedah. Orang yang mendapat Haji yang Mabrur akan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat yang dicintainya, majlis ilmu menjadi hiburan baginya, Al-Quran akan menjadi teman setianya. Begitulah tingginya nilai Haji yang Mabrur yang dijanjikan oleh Allah swt kepada setiap orang mukmin yang menjadi harapan setiap mereka yang dikurniakan taufik hidayah dari Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

اَلْعُمْرَةُ اِلىَ الْعُمْرَةِ كَفَارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْجَنَّةَ- البخاري والمسلم

Ibadah umrah ke satu umrah, menghapuskan dosa-dosa yang berlaku di antara keduanya dan Haji Mabrur itu tidak ada balasan baginya kecuali syurga.

Ummul mukminin, Saidatina Aisyah r.a, pernah bertanya kepada Rasulullah saw, apakah ibadah yang paling utama? baginda menjawab: “sebaik-baik jihad itu, ibadah haji yang mabrur”. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Yu’la, dari Abu Hurairah r.a, Baginda Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang meninggalkan rumahnya untuk menunaikan Haji lalu meninggal dalam perjalanan nya, Allah menulis pahalanya sehingga ke Hari Qiamat dan sesiapa yang berangkat untuk mengerjakan umrah lalu ia meninggal dalam perjalanannya maka pahala umrahnya tetap sampai pada hari Qiamat dan sesiapa yang keluar untuk perang fisabilillah lalu ia meninggal dalam perjalanannya maka pahala jihadnya ditulis pada Hari Qiamat”.

Mafhum hadis-hadis di atas, memberi penilaian yang sama mengenai pahala ibadah haji dan umrah, dengan pahala berjihad Fisabilillah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah hari ini, saya ingin menyeru dan mengingatkan dua perkara: 

Pertama :

Bagi mereka yang belum berkesempatan menunaikan haji agar berniat, berazam serta berusahalah dari sekarang untuk menyimpan dan mengumpulkan sebanyak mungkin wang bagi keperluan atau perbelanjaan untuk menunaikan ibadah haji ke Baitullah. 

Kedua :

Bagi mereka yang telah berkemampuan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, diingatkan agar tidak mencipta alasan atau bertangguh untuk menunaikan ibadah tersebut.Ada kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan: “belum sampai seru” apabila ditanya kepada mereka yang berkemampuan. Dalam hal ini, Saidina Ali Karamallahu wajhah meriwayatkan, Baginda Rasulullah saw bersabda:

عَنْ عَلِيْ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا  وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ اِلَىْ بَيْتِ اللهِ الْحَرَامِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَعَلَيْهِ اَنْ يَمُوْتَ  يَهُوْدِياًّ  اَوْ نَصْرَاِنيًّا  وَذَلِكَ اِنَّ اللهَ  يَقُوْلُ  فِيْ كِتاَبِهِ  وَلِلَّهُ  عَلَى  النَّاسِ  حِجُّ  الْبَيْتِ  مَنِ اسْتَطَاعَ  اِلَيْهِ  سَبِيْلاً

“Barangsiapa yang telah mempunyai bekalan untuk perjalanan menyampaikannya ke Baitullahilharam untuk menunaikan haji tetapi ia menangguh-nangguh dan melambat-lambatkan dari menunaikan ibadah hajinya, tiba-tiba ia mati sebelum menunaikan hajinya maka matinya sama dengan mati nya kafir Yahudi dan kafir Nasrani. Untuk menegaskan lagi pentingnya Ibadah haji ini, Rasulullah saw, membacakan firman Allah swt, yang bermaksud: menunaikan ibadah Haji itu adalah wajib dan difardhukan oleh Allah swt kepada setiap orang mukmin yang mampu dan cukup syarat-syaratnya.(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Firman Allah :


ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ﴿١٩٧﴾

“Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu (iaitu bermula 1 Syawal, berakhir apabila terbit Fajar hari ke 10, Zulhijjah). Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya, dengan niat mengerjakan ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya, sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri dari keaiban dengan meminta sedekah, dan bertakwalah kepadaKu, wahai orang-orang yang berakal yang dapat memikir dan memahaminya.” (Al-Baqarah ayat 197)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ



Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B