Friday, October 21, 2011

Himpunan Sejuta Umat (Himpun)

PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program yang memaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik. Sehubungan dengan itu PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Dengan tidak melibatkan diri dalam himpunan tersebut tidak sama sekali menunjukkan bahawa PAS tidak prihatin dengan persoalan aqidah Umat Islam. Selama ini PAS lah pihak yang paling lantang dan paling istiqamah dalam memperjuangkan isu seperti ini. PAS tidak pernah menyalahkan mana-mana NGO yang tidak bersama dengan PAS dalam menyuarakan isu ini kerana menghormati pendirian mereka untuk terus bebas dari kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik. Maka mana-mana pihak juga seharusnya menghormati pendirian PAS yang tidak mahu memasukkan unsur-unsur politik dalam tindakan seperti ini. Walaupun dari segi dasarnya PAS tidak melibatkan diri, tetapi PAS tidak menghalang mana-mana ahli yang ingin menyertainya sebagai mewakili diri mereka sendiri, bukan mewakili parti.

Penglibatan UMNO dalam himpunan ini juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuktikan keperihatinan mereka. Sebagai mewakili parti pemerintah, mereka tidak perlu bersama rakyat jelata untuk menyatakan pendirian seperti ini tetapi mereka sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk merungkai segala permasalahan yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment