bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Thursday, September 15, 2011

Khutbah Jumaat 18 Syawal 1432 H / 16 September 2011

Peristiwa Peperangan Ahzab
 
،اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ


﴾أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢

أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ

وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ 
الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian,
 
Saya berpesan kepada diri saya, dan tuan-tuan semua, sama-samalah kita berusaha meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan bersungguh-sunguh mentaati, kesemua ajaran agama Allah, dengan menunai kan semua yang disuruh, dan meninggalkan segala yang dilarang, semoga berbahagia hidup kita di dunia ini dan mendapat balasan syurga di akhirat sana.  

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kita masih lagi berada di bulan Syawal serta meraikan bulan kemerdekaan Negara yang kali ke 54. Di samping merayakan kedua-dua kemenangan tersebut, sebagai umat Islam kita jangan lupa bahawa sejarah telah mencatatkan banyak peristiwa yang telah berlaku khususnya di bulan Syawal ini. Di antara peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Syawal ini ialah peristiwa Perang Ahzab yang juga dikenali sebagai Perang Khandak. Peristiwa Perang Ahzab ini begitu besar dan penting hingga disebut dalam surah Al-Ahzab sebanyak 17 kali. Di antaranya firman Allah:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا ﴿٢٢﴾
 
Dan ketika orang-orang beriman melihat tentera Al-Ahzab, mereka berkata, “itulah yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulnya kepada kita dan benarlah Allah berserta Rasulnya tidak berdusta”. Yang demikian itu menambahkan lagi keimanan, dan kepercayaan mereka kepada takdir Allah S.W.T.
- Surah Al-Ahzab ayat 22.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Perang Ahzab ini, telah melibatkan peperangan Umat Islam dengan barisan kuffar di Madinah dan Mekah yang terdiri daripada golongan Yahudi, Bani Ghatafan, Bani Quraizah, Bani Kinanah, Bani Murrah, Bani Tihamah serta Bani Ashja’ yang telah bersatu untuk memerangi Rasulullah saw hasil daripada hasutan Yahudi Bani Nadhir. Tentera Islam hanya berjumlah 3 ribu orang, manakala tentera Kuffar melebihi 10 ribu orang dan ianya berlaku pada bulan Syawal tahun ke 5 hijrah. Di antara punca meletusnya peperangan tersebut ialah apabila sebahagian pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang dihalau dari Kota Madinah akibat melanggar perjanjian dengan Rasulullah, di mana mereka telah mengajak Musyrikin Makkah memerangi Rasulullah saw dengan kata mereka:  

“Kami akan bersama-sama kamu untuk memerangi Muhammad hingga dapat kita banteras mereka hingga ke akar umbi,”

dan mereka juga berkata:

“Agama kamu dan pegangan kamu, lebih baik dari agama Muhammad,” 

lantas Allahpun menurunkan firmanNya:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَـٰؤُلَاءِ أَهْدَىٰ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا ﴿٥١﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ ۖ وَمَن يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا ﴿٥٢﴾ 
“Apakah kamu tidak memerhatikan orang yang diberi kitab, mereka percaya dan menyembah yang lain dari Allah dan taghut dan mengatakan kepada orang-orang kafir musyrik Mekah bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman”. “Mereka itulah orang-orang yang dikutuk oleh Allah, maka barangsiapa yang dikutuk oleh Allah, pasti tidak ada orang yang menolong mereka”
- Surah An-Nisa’: Ayat 51 & 52

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah saw bersama para sahabat telah menggali parit di sekeliling Madinah setelah menerima pandangan kreatif dari Salman Al-Farisi yang banyak pengalaman mengenai strategi peperangan ketika mengetuai pasukan tentera di Parsi. Tentera Islam yang diketuai sendiri oleh Rasulullah saw, akhirnya mencapai kemenangan dengan sejumlah 4 orang yang mati dari kalangan kuffar manakala 7 orang dari kalangan tentera Islam yang gugur syahid. Peperangan sebenarnya tidak berlaku kerana Allah telah memberikan pertolongan dengan mendatangkan angin kencang dan cuaca yang sangat sejuk sehingga akhirnya tentera kafir lari bertempiaran meninggalkan Madinah. Allah swt menceritakan kisah tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا ﴿٩﴾ 
“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan” 
- Surah Al-Ahzab ayat 9  

Muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah saw menggunakan pelbagai strategi perang saraf dan sebagai tanda syukur atas kemenangan hasil dari pertolongan Allah tersebut. Rasulullah saw bersama sahabatnya telah melaungkan kalimah tauhid yang menandakan kebesaran dan ketinggian kuasa Allah di atas segala hambanya, dengan kalimah suci iaitu :

لاَ إِلهَ اِلاَّ اللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
Tiada Tuhan selain Allah yang Esa, Allah telah memenuhi janjiNya, telah menolong hamba-hambaNya, telah memenangkan pasukan Islam yang dipimpinNya dengan mengalahkan pasukan tentera Ahzab.  

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara faktor kemenangan, tentera Islam dalam perang Ahzab ialah:

1. Pemimpin kuffar terlalu angkuh dan sombong dengan kekuatan fizikal mereka seolah-olah jumlah tentera yang besar itu boleh menjamin kemenangan mereka secara mutlak.

2. Semangat juang dan keikhlasan yang telah ditunjukkan oleh tentera Islam. Ini dapat dilihat dari syair-syair Abdullah bin Rawahah r.a. ketika para sahabat sedang mengorek parit, katanya:  

Kalau bukan kerana Allah, kita tidak kenal hidayah, Tak kenal sedekah dan tak kenal solat, Ya Allah! Limpahkanlah ketabahan dan ketenangan, Mantapkan kaki dan tekad kami menghadapi musuh, Konspirasi musuh siap menyerang kita, Membawa bencana, namun kita tak rela.

3. Tentera Islam berjaya melemahkan kerjasama di antara komponen kuffar musyrikin yang terlibat dalam perancangan menentang tentera Islam pimpinan Rasulullah saw, akhirnya masing-masing tidak percaya sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai kepentingan peribadi.

4. Pertolongan Allah dengan mengirimkan angin yang kencang sehingga menyukarkan tentera kuffar untuk bertindak terhadap tentera Islam sehingga akhirnya mereka lari.  

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Iktibar dan pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa perang Ahzab ini antaranya ialah:

1. Bahayanya golongan Yahudi dulu, kini dan selama-lamanya kerana merekalah punca segala kejahatan sepertimana juga Yahudi hari ini. Merekalah penghasut, pemfitnah, penceroboh, pengkhianat kepada perjanjian yang telah dimeterai bersama dengan Rasulullah saw dalam perang Ahzab, mereka menghasut komponen yang lain supaya menentang Rasulullah saw. Begitulah juga Yahudi hari ini, merekalah yang mendalangi segala keganasan, menekan gerakan Islam, memburu serta membunuh pejuang-pejuang Islam dan ulama-ulamanya, mensekularkan sistem pendidikan Islam dan mencari helah untuk berperang dan menyerang negara-negara umat Islam dan mencari helah untuk menangkap orang-orang yang cenderung kepada Islam, tetapi melepaskan orang-orang kaya, hidup bebas dengan maksiat dan kejahatan.

2. Seorang pemimpin yang baik, akan mudah pandangan, dan mengamalkan syura (bermusyawarah) bersama-barang orang bawahannya (rakyat jelata), sekalipun dalam hal-hal yang besar, bukan menggunakan kuasa diktator yang mencengkam dan memaksa rakyat mesti menerima pandangannya, dan sesiapa yang tidak menerima pandangannya, akan dicop sebagai penentang, pembangkang, dan pengkhianat bangsa dan Negara.

3. Perang bagi umat Islam bukanlah tanda mengganas tetapi ia sebagai satu amaran kepada musuh-musuh Islam bahawa umat Islam juga mempunyai maruah dan harga diri. Kebangkitan atau intifadhah umat Islam Palestin yang didukung oleh Hamas sebagai contoh, tidak boleh dianggap sebagai satu keganasan kerana Negara mereka telah dicerobohi, rakyatnya dibunuh, diseksa, dirogol, dipukul dan sebagainya. Firman Allah S.W.T.

﴾وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ .... ﴿١٩٣

Dan perangilah mereka sehingga tidak berlaku fitnah, sesungguhnya agama itu untuk Allah
- Surah Al-Baqarah, ayat 193

4. Umat Islam mesti yakin dengan kemenangan dalam setiap peperangan yang mereka tempuhi, keyakinan ini adalah berdasarkan janji Allah bahawa Allah akan menolong umatnya yang berjuang demi untuk agamanya. Kemenangan dalam perjuangan Islam bukanlah semata-mata musuh tewas dibunuh atau lari, bahkan kemenangan Islam dicapai dengan dakwah Islam terus dapat di lancarkan atau pejuangnya gugur Syahid. Oleh itu, umat Islam perlu bersabar untuk menagih kemenangan seperti sabarnya tentera Muslimin sewaktu menentang tentera kuffar dalam perang Ahzab.

5. Manusia mempunyai kepakaran dan kebolehan masing-masing. Kita perlu bertolongan sesama kita di atas kepakaran yang dimiliki demi untuk menghasilkan, suatu pembangunan. Di atas dasar inilah, Rasulullah saw menerima pandangan Salman Al-farisi dalam perang Khandak.

6. Musuh Islam sebenarnya tidak begitu kuat meskipun jumlah mereka besar dengan memiliki peralatan yang lengkap dan canggih. Ini dapat dilihat dari peristiwa yang berlaku ketika perang Badar, dan perang Ahzab kerana Allah tidak akan menolong orang-orang yang zalim. Firman Allah:


﴾وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ ﴿٢٧٠

Allah tidak akan menolong orang2 yg zalim.
- Al Baqarah ayat 270.

Orang-orang Kafir tidak mempunyi sifat juang cuma yang ada pada mereka sifat mengampu malah mereka sanggup bermati-matian mengampu pemimpinnya semata-mata untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan sebaliknya mereka akan meninggalkan Pimpinannya apabila keinginannya tidak tercapai. Berbeza dengan pejuang Islam, mereka berjuang dengan jujur, ikhlas kerana Allah dengan mengharap Redha dan RahmatNya.

7. Doa mempunyai peranan yang sangat penting bagi umat Islam terutamanya sewaktu umat Islam berhadapan dengan musuh. Dalam Perang Ahzah ini, Baginda Rasulullah saw berdoa :

اَللَّهُمَّ نَزِّلِ الْكِتاَبَ بِسَرِيْعِ الْحِسَابِ اِهْزِمِ الاَحْزَابَ اَللَّهُمَّ اِهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ اَللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِناَ وَاَمِّنْ رَوْعَاتِنَا
Link  
“Wahai Tuhan yang menurunkan kitab Al-quran dan yang menyegerakan hisab, hancurkanlah tentera Ahzab. Wahai Tuhan, hancurkanlah dan porak-perandakanlah mereka. Selamatkanlah dan sejahterakanlah kami”.
 
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ




Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B