Monday, May 2, 2011

UMNO kena tinggalkan Barisan Nasional


Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar membawa UMNO keluar daripada Barisan Nasional sebelum mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Jika benar UMNO mahu memperjuangkan kepentingan dan perpaduan Melayu dan Islam, maka UMNO perlu membuktikannya terlebih dahulu.  Jika sekiranya UMNO benar-benar memperjuangkan Islam maka mereka mestilah meninggalkan MCA dan MIC yang bersifat perkauman dan memusuhi Islam secara terang-terangan. Ini terbukti melalui  kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, bahawa pendirian MCA yang menolak penubuhan Negara Islam adalah jelas dan diketahui parti komponen Barisan Nasional khususnya UMNO. MCA meletakkan syarat bagi menerima penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional dengan mengenepikan dasar menubuhkan Negara Islam. Jika sekiranya UMNO sendiri masih terus bersama dengan parti yang bersifat perkauman dan tidak menghormati perjuangan memartabatkan Islam, maka tidak ada sebab untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama dengan UMNO.  Malah PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat walaupun terpaksa bersama DAP kerana DAP selama ini menjadi mangsa propaganda UMNO yang selama ini memburukkan Islam di mata orang bukan Islam. Malah DAP pada hari ini semakin selesa dengan Islam semenjak bersama dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, UMNO perlu menunaikan tanggungjawabnya sebagai Umat Islam dan Bangsa Melayu dengan menunaikan amanah dengan adil. UMNO perlu menghentikan segala penindasan dan penganiayaan terhadap PAS dengan berlaku adil dalam mengagihkan peruntukan, kebebasan menggunakan kemudahan awam, keadilan dalam menggunakan media massa, perlantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam dan swasta serta berbagai ketidakadilan UMNO terhadap PAS selama ini. Jika ini tidak diperbetulkan maka masih adakah maruah UMNO yang kononnya inginkan perpaduan atas nama Islam dan Melayu.

No comments:

Post a Comment