Friday, January 15, 2010

Sebab Gerhana Matahari(Kusuf) Dan Gerhana Bulan (Khusuf)

Sebab Gerhana Matahari(Kusuf) Dan Gerhana Bulan (Khusuf)

Terdapat dua sebab kenapa terjadinya gerhana matahari dan bulan.

Pertama: Sebab lahiriah.

Gerhana matahari berlaku disebabkan bulan berada diantara matahari dan bumi justeru menyebabkan sebahagian cahaya matahari terhalang dari bumi. Cahaya matahari tidak terlindung sepenuhnya kerana matahari adalah lebih besar dan lebih tinggi dari bulan kerana itu tidak mungkin berlaku gerhana matahari menyeluruh keatas seluruh pelusuk bumi. Gerhana bulan pula terjadi disebabkan bumi terletak antara matahari dan bulan, lalu bumi menghalang antara matahari dan bulan. Seperti yang diketahui bahawa bulan adalah suatu jirim yang gelap ia mengambil sumber cahayanya dari matahari, bila bumi menyekat antara matahari dan bulan terjadilah gerhana bulan.

Kedua: Sebab Syar’iy.

Hal ini jelas dan nyata dalam hadith riwayat Al-Mughirah bin Syu’bah yang berkata: Gerhana matahari pernah berlaku dizaman Rasulullah S.A.W dihari wafatnya Ibrahim putera baginda, lalu orang ramai ada yang berkata gerhana matahari itu disebabkan kewafatan Ibrahim. Baginda Rasulullah S.A.W lantas bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana disebabkan kematian seseorang dan tidak juga disebabkan kehidupan seseorang, apabila kamu semua melihat yang demikian berlaku, sembahyanglah kamu dan berdo’alah kepada Allah” Hadith Bukhari.

Diriwayatkan dari Abi Bakrah katanya:”Sabda Rasulullah S.A.W:”Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah, ianya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang, akan tetapi Allah Ta’ala hendak menakutkan hamba-hambanya dengan kejadian ini. Hadith Bukhari.

Jadi sebab syar’iy disebalik terjadinya gerhana matahari dan bulan ialah Allah hendak menakutkan hamba-hambanya agar mereka meninggalkan dosa, maksiat dan dosa-dosa besar. Berlakunya fenomena ini berulang kali sekarang ini adalah disebabkan banyaknya godaan hidup, keterbukaan dan budaya “semua boleh” yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakat, justeru orang ramai terseret dalam arus kemajuan yang palsu; membuatkan mereka sesat dan menyesatkan orang lain. Kerananya Allah Ta’ala menghantar petanda-petanda ini untuk menakut dan memberi amaran awal kepada hambanya agar tidak menimpa mereka apa yang pernah menimpa umat sebelum mereka, untuk itu mereka hendaklah kembali kepada Allah dan kembali kepada agamaNya semoga kemurkaan Allah S.W.T tidak menimpa mereka. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum 41:

{ ظهر الفساد في البر والبحر بما كسبت أيدي الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون }

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Sayugia bagi setiap muslim apabila melihat ayat-ayat dan alamat besar sebegini supaya bersegera menta’ati Allah dan segera bersolat kerana menzahirkan rasa takut kepada Tuhan serta meninggalkan perkara-perkara lain yang melalaikannya.

Waktu Berlaku Gerhana Matahari Dan Bulan:

Gerhana matahari tidak mungkin berlaku kecuali diakhir malam 28,29 dan 30 sebab pada hari-hari tersebut kedudukan bulan menghampiri matahari yang memungkinkan bulan menghalang sebahagian cahaya matahari dari bumi. Sementara gerhana bulan pula biasanya akan terjadi ketika bulan penuh purnama iaitu pada malam 13, 14 dan 15.

Sifat Solat Gerhana:

Dari ‘Aishah R.A katanya:”Gerhana matahari pernah terjadi dizaman Rasulullah S.A.W, maka Rasulullah telah mendirikan solat bersama orang ramai, baginda qiyam dengan qiyam yang lama selepas itu baginda ruku’ dengan ruku’ yang lama, selepas itu baginda qiyam semula dengan qiyam yang lama Cuma kurang sedikit dari qiyam pertama tadi selepas itu baginda ruku’ dengan tempoh ruku’ yang kurang sedikit dari ruku’ pertama tadi kemudian baginda sujud dengan sujud yang lama kemudia baginda melakukan pada raka’at yang kedua seperti pada raka’at pertama. Kemudian baginda selesai semasa matahari terang semula, selepas itu baginda berkhutbah kepada orang ramai dengan bertahmid memuji Allah S.W.T kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah diantara tanda-tanda kebesaran Allah yang tidak gerhana kerana matinya seseorang dan tidak juga kerana hidupnya seseorang, sekiranya kamu melihat terjadinya yang demikian maka berdo’alah kalian, bersalawatlah dan bersadaqahlah kalian. Kemudian baginda bersabda: “Wahai umat Muhammad, tidak ada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah sampai membiarkan hamba lelakinya berzina dan hamba perempuannya berzina. Wahai umat Muhammad kalau sekalian kamu tahu apa yang aku tahu pastinya kamu ketawa sedikit dan pastinya kamu menangis banyak!” Hadith Bukhari.

Dari hadith diatas dapat dirumuskan:

1- Gerhana adalah suatu dari tanda kebesaran Allah untuk menakutkan hambanya.

2- Sekiranya berlaku gerhana matahari atau bulan manusia hendaklah bersegera solat, berdo’a, bersadaqah, bertakbir, bertahlil dan berzikir mengingati Allah dalam setiap keadaan.

3- Ulama’ berselisih pendapat tentang hukum solat gerhana antara sunat (Syafi’iyyah) dan wajib (ibn Qayyim)

4- Solat kusuf dan khusuf dua raka’at dengan 4 ruku’ dan 4 sujud. Takbir pertama di baca Fatihan dan surah yang panjang kemudian ruku’ yang panjang sepanjang bacaan surah kemudian bangun dari ruku’ dengan berkata : ( سمع الله لمن حمده ، ربنا ولك الحمد ) kemudian membaca Fatihah dan surah panjang yang kurang sedikit dari surah pertama kemudian ruku’ yang panjang tempohnya kurang sedikit dari ruku’ pertama kemudian bangun dan berkata “sami’a Allah..” kemudian sujud dua kali yang pertama lebih lama dari yang kedua kemudian dilakukan untuk raka’at kedua seperti raka’at pertama tadi.

5- Disunatkan untuk solat gerhana satu khutbah sahaja mengikut Syafi’iy dan kebanyakan ahli hadith sementara Hanafi, Maliki dan Hanbali berkata tidak ada khutbah.

6- Segera bertawbat dan kembali kepada Allah.

7- Permulaan waktu solat dari bermulanya gerhana dan berakhir dengan selesai gerhana.

8- Gerhana matahari atau bulan tiada kaitan dengan kematian dan kehidupan seseorang.

9- Allah memperlihatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sebahagian dari perkara ghaib.

Beberapa Persoalan Berkaitan Solat Gerhana Matahari Dan Bulan:

1- Boleh dilakukan pada waktu terlarang seperti selepas solat Asar dan selepas solat Subuh, kerana ia termasuk dalam solat sunat bersebab bila wujud sebab boleh dilakukan.

2- Boleh dilakukan 2 raka’at pada setiap raka’at dua ruku’ atau 3 atau 4 atau 5 kali ruku’ kerana thabit demikian dari para sahabat tetapi lebih awla menghadkan mengikut apa yang datang dari Nabi S.A.W.

3- Yang diambil kira adalah ruku’ yang pertama dari setiap raka’at bukan ruku’ yang kedua; kerana ruku’ yang pertama adalah rukun, kerana itu sesiapa yang ketinggalan ruku’ awal dari raka’at pertama atau raka’at kedua dia hendaklah melakukan satu raka’at selepas salam imam.

4- Ruku’ yang panjang dan lama hendaklah diisi dengan zikir takzim yang banyak sementara dalam sujud yang panjang hendaklah dibanyakan berdo’a kerana tempat yang paling hampir antara hamba dengan Allah ialah ketika sujud.

No comments:

Post a Comment