Friday, December 11, 2009

QARI-QARI TERMASYHUR DUNIA SYEIKH MUSTAFA ISMAIL Syeikh Mustafa Ismail adalah antara para qari yang gah namanya diseluruh pelusuk dunia Islam. Khalayak taranum dan ahli lagu Quran akan mengerumuni mereka untuk mendengar alunan ayat-ayat al-Quran dari mereka. Dikatakan beliau menepati telahan firasat Syeikh Muhammad Rif’at qari tersohor ketika itu di seluruh Mesir. Siapakah sebenarnya Syeikh Mustafa Ismail? Apakah yang anda tahu mengenai kembaranya bersama al-Quran ‘ul-Karim? Ia bermula dari sebuah kampong Mit Ghazal Muhafazah Al-Gharbiyyah, Mesir, di mana beliau dilahirkan pada tahun 1322H=1905M dari keluarga yang berkedudukan di kampong tersebut. Sejak awal usianya, bapanya telah menghantarnya berguru di kelas tahfiz al-Quran (Kuttab). Biarpun sebagai kebiasaan kanak-kanak beliau bertapi-tapi namun beliau akhirnya Berjaya menghafaz keseleruhan al-Quran seusia 12 tahun. Kemudian bermulalah populariti beliau menyerlah menerusi siri bacaan yang diperdengarkan di masjid-masjid dan lainnya yang mempertemukan beliau dengan Syeikh Muhammad Rif’at yang turut mendengar bacaannya. Syeikh Rif’at telah memberi galakan dan memuji cara persembahannya seterusnya mengesyorkan beliau meneruskan pembacaan setelah mendalami ilmu tajwid dan seni membaca al-Quran. Atas nasihat tersebut Syeikh Mustafa telah mendalami ilmu tajwid dengan berguru kepada Syeikh Mahmud Hashish seorang yang pakar dalam bidang tersebut ketika itu, juga salah seorang qari lepasan Maahad Al-Ahmadi yang menyatakan kesediaan untuk memberi tunjuk ajar hingga usaha-usaha ini telah membuahkan hasil yang cemerlang. Meskipun Syeikh Mustafa merupakan salah seorang peminat yang mengagumi suara Syeikh Muhammad Rif’at, Syeikh Abdul Fattah Asy-Sya’sya’i dan qari-qari tersohor lainnya namun demikian beliau mula merintis haluannya sendiri sehingga berjaya mencipta aliran beliau sendiri dengan cara yang berbeza dari qari lainnya. Selepas itu beliau ditakdirkan mengunjungi kota Kaherah dan memperdengarkan bacaannya di Jamek Al-Azhar. Menerusi pembacaan inilah namanya mulai gah dan dikenali ramai dan dengan demikian beliau telah disahkan sebagai qari Radio Mesir dan sebelum itu beliau secara rasmi dilantik sebagai Qari Istana. Syeikh Mustafa Ismail terkenal dengan kemerduan suara dan kemantapan bacaannya. Selain terkenal sebagai qari yang punya nafas panjang dalam bacaan berlagu. Beliau mempunya aliran baru dalam gaya bacaan dan tajwid. Syeikh Mustafa telah merakam 30 juzuk al-Quran secara tartil bacaan suaranya dan juga telah mengabadikan berbagai rakaman bacaanya secara mujawwad yang hingga kini masih dikumandangkan oleh Radio Al-Quran Mesir setiap pagi dan petang.

No comments:

Post a Comment