bersama kepimpinan ulamak




Akan Datang




Tuesday, October 27, 2009

Ketentuan Allah Mengatasi Segalanya

Dewan Ulamak PAS Negeri Perak mengucapkan takziah kepada semua pihak dan waris yang terlibat dalam tragedi Program Perkhemahan Satu Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di SK Kuala Dipang. Tragedi yang amat menyayat hati ini berlaku apabila sebuah jambatan gantung yang melintasi sebuah sungai terbungkar dan roboh menyebabkan beberapa orang murid yang sedang melaluinya jatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan oleh air yang dalam dan deras. Lebih kurang 22 orang murid masih belum dapat dikesan. Program malang ini melibatkan 296 lebih murid-murid sekolah.

Fakta yang menyebut bahawa jambatan yang runtuh ini baru 2 minggu disiapkan itu tidak harus dipandang ringan. Kita bukan pertama kali mendengar kesilapan manusia menyebabkan mala petaka seperti ini. Lebih menyedihkan apabila membabitkan nyawa anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Apakah nilainya keuntungan projek jambatan seperti ini jika taruhannya adalah nyawa manusia yang tidak berdosa. Semoga kesilapan seperti ini tidak sekali-kali akan berulang dan jika ada sebarang penyelewengan maka hendaklah dicari petualangnya sehingga ke lubang cacing.

Monday, October 26, 2009

Kenyataan Presiden PAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya. Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.
Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini. Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru. Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.
Saya juga sudah mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini. Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Sunday, October 25, 2009

Kenyataan Media Mengenai EGM

Dewan Ulamak PAS Negeri Perak amat memahami mengenai keghairahan ahli untuk melihat pandangan Dewan mengenai berbagai isu yang timbul dari masa ke semasa. Kini kita berhadapan pula dengan isu EGM yang ditimbulkan oleh Mursyidul Am. Kita melihat berbagai pihak samada dalaman parti ataupun luaran parti yang begitu ghairah melontarkan pandangan bebas mereka. Sebahagiannya cuba mempertahankan kepimpinan parti terutamanya Tuan Guru Presiden, malah tidak kurang juga yang begitu lantang sehingga menganggap barisan kepimpinan sebagai beban kepada parti. Namun apakah kebaikan yang kita perolehi daripada keghairahan-keghairahan ini.
Sukar untuk kita nafikan terdapat sedikit kelewatan daripada kepimpinan dalam merungkai persoalan ini. Kemungkinan terdapat banyak persoalan yang perlu diambil kira agar tidak melebarkan lagi jurang perbezaan yang ada. Maka apakah untuk Dewan Ulamak terlibat sama mengeluarkan kenyataan tanpa asas dan fakta yang selengkapnya. Persoalan ini hanyalah persoalan pentadbiran dan etika berjemaah yang tidak berkaitan dengan hukum hakam yang memerlukan Dewan Ulamak menyatakan pendirian mengenainya. Semoga kenyataan dari Ketua Penerangan PAS Pusat di bawah ini mampu meredakan ketegangan yang ada :
Parti Islam Semalaysia Pas akan berbincang mengenai pandangan murni Mursyidul Am, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung cadangannya untuk mengadakan Muktamar Khas. Seperti yang dimaklumkan oleh Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub, pandangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat dalam tempoh terdekat ini. Mesyuarat ini akan menilai sama ada wujud keperluan bagi mengadakan Muktamar Khas atau tidak. PAS amat mengalakkan perbincangan dan menghargai setiap pandangan atau kritikan yang diberikan, namun pada waktu ini setiap pimpinan diminta agar membincangkan perkara ini secara dalaman dan tidak mengunakan media termasuk blog dan facebook peribadi yang boleh mendatangkan lebih banyak persepsi negatif serta membuka ruang untuk media luar memutarbelitkan isu ini. Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti. Pas penuh yakin masalah ini dapat diselesaikan melalui musyawarah, muhasabah seperti yang pernah diselesaikan sebelumnya. Inilah kelebihan yang ada kepada Pas dan tidak dalam Umno/BN. (http://idrisahmad.wordpress.com/2009/10/25/egm-pimpinan-akan-berbincang-ahli-diminta-bertenang/ )

Friday, October 23, 2009

Ulasan Berkaitan Kritikan Dr Aziz Bari

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.Ada beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan medan penting bagi pengukuhan ini.Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah : “Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”. - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Saturday, October 3, 2009

SIS dan Konco-Konconya memang wajib di haramkan

Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh :
1. Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam (SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women's Aid Organisation (WAO), All Women's Action Society (AWAM) and Women’s Centre for Change, Penang (WCC);
2. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan
3. Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM)
Dewan Ulamak Negeri Perak memandang berat kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) mengenai isu hukuman sebat terhadap Kartina. Dewan mendapati kenyataan tersebut mengandungi unsur prejudis yang keterlaluan dan amat berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dan kebencian rakyat terhadap Islam dan Umat Islam seluruhnya.
Ketika isul pengharaman SIS ditimbulkan dalam Muktamar Tahunan PAS yang lalu berbagai menyatakan bantahan kononnya golongan ini perlu ditangani secara ilmiah dan dipatahkan melalui hujjah. Namun suasana negara yang memberi ruang kebebasan terhadap golongan seperti ini seluas-luasnya untuk menyuara dan menyebarkan pemikiran mereka, dalam masa yang sama berbagai sekatan dibuat terhadap PAS untuk melakukan perkara yang sama mewujudkan persaingan yang tidak seimbang. Satu demi satu isu berkaitan Agama Islam yang disuarakan oleh golongan ini hanya merosakkan imej Islam di mata masyarakat sedikit-demi sedikit. Malangnya tidak ada usaha yang bersungguh daripada pihak berkuasa agama untuk mengekang serangan pemikiran terhadap Islam daripada golongan ini. Maka apakah tidak wajar untuk difikirkan semula agar usul pengharaman ini kembali diusahakan bagi memastikan kedaulatan Islam tetap terpelihara di negara bertuah ini.
Di antara kenyataan melampau yang telah dikelaurkan adalah seperti berikut :
Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan berdasarkan prinsip pilihan bebas. Isu penting di sini adalah kemerosotan standard hak asasi yang digunakan di negeri Pahang.

Apakah wajar menyamakan pengakuan bersalah seorang yang telah insaf dengan balu yang rela membunuh dirinya mengiringi kematian suami. Tidakkah ini merupakan penghinaan terhadap sunnah para Sahabat yang biasa membuat pengakuan bersalah dan meminta hukuman dilaksanakan bagi mendapatkan penghapusan dosa yang telah dilakukan. Tidakkah mereka pernah mendengar kisah Maiz Al-Aslami yang meminta untuk direjam akibat dosa zina yang dilakukannya. Sukar sangatkah memikirkan perbezaan antara balu membunuh diri tanpa melakukan sebarang kesalahan dengan kerelaan menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.

Hukuman sebat yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-Negeri dikatakan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan akan mewujudkan satu preseden yang buruk. Apakah mereka merupakan golongan ekstremis yang tidak memahami atau tidak menghormati undang -undang yang telah diluluskan. Apakah mereka sedang berusaha mewujudkan masyarakat yang tidak perlu menghormati undang-undang dan meletakkan undang-undang di tangan mereka. Di sisi Allah, mengatakan Hukuman sebat yang telah ditetapkan oleh Allah secara pasti, sebagai suatu yang buruk memberi makna menganggap Allah sebagai menetapkan suatu hukum yang buruk, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Maka masihkah layak mereka yang sedemikian mengaitkan diri mereka dengan keimanan terhadap Allah.

Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.

Inilah sebenarnya wajah sebenar mereka yang mempunyai matlamat memansuhkan undang-undang Syariah, bukan melakukan penambahbaikan. Tidak mustahil suatu masa nanti mereka akan mendesak agar semua undang-undang berkaitan jenayah termasuk undang-undang sivil dimansuhkan. Mereka sebenarnya mahu membebaskan diri daripada undang-undang dan peraturan dan mahu menonjolkan gaya hidup bebas yang tidak terkongkong dengan sebarang peraturan.

Sehubungan dengan itu, Dewan Ulamak Negeri Perak berpandangan bahawa Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) telah melakukan jenayah besar merangkumi :

a. Menyentuh, mempertikaikan dan cuba menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan;

b. Menghina Hukum Syarak yang sedang berkutakuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri;

c. Mengguris perasaan dan sensitiviti Umat Islam di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya.

Maka dengan ini Dewan Ulamak Negeri Perak mendesak agar :

i. Semua pihak yang terlibat dengan tuntutan memorandum ini didakwa dan dikenakan tindakan sekeras-kerasnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
ii. Siasatan lanjut dibuat terhadap golongan tersebut agar dapat dipastikan mereka tidak menjadi agen bagi mana-mana pihak samada dalam mahupun luar negeri yang bertujuan menggugat keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.
iii. Membatalkan permit penerbitan akhbar dan saluran media lain yang mengizinkan atau mendokong usaha penyebaran pemikiran melampau ini.
iv. Memecat mana-mana pihak yang terlibat atau mendokong perjuangan golongan ini di semua peringkat bermula dari peringkat akar umbi di kampung-kampung, di agensi-agensi kerajaan malah hingga ke peringkat menteri-menteri kabinet agar tidak ada lagi benih-benih pelampau ini berakar umbi di negara ini.
v. Pihak Mahkamah Syariah Negeri Pahang hendaklah mempercepatkan perlaksanaan hukuman ini agar ianya tidak memberi ruang kepada lebih banyak tekanan dan campur tangan pihak yang berniat jahat terhadap Agama Islam.
vi. Pihak Berkuasa hendaklah menghapuskan segala ketakutan dan kebimbangan terhadap tekanan antarabangsa kerana keyakinan kita terhadap pemeliharan Allah terhadap mereka yang menolong mempertahankan agamanya.
vii. Pihak Berkuasa hendaklah menggunakan peluang keemasan ini bagi menunjukkan kepada dunia terhadap keistimewaan dan kehebatan Syariat Islam, memandangkan promosi percuma yang diberikan oleh media seluruh dunia terhadap isu ini.
Buat akhirnya, semua pihak hendaklah berpegang kepada janji Allah ketika mana kita berhadapan dengan suasana yang terlalu sukar untuk kita hadapi sebagai insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Alah. Jika Allah bersama dengan kita maka pastinya kita akan bertukar daripada insan yang kerdil kepada tentera Allah yang gagah perkasa sehingga mampu mengatasi segala halangan dan rintangan yang ada. Renungi dan hayatilah Firman Allah Surah At-Tolak ayat 2-3 :
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menjadikan baginya jalan penyelesaian. Dan Allah akan memberikan anugerah rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B