Tuesday, June 16, 2009

Presiden GAMIS Mohon Maaf Secara Terbuka

Setelah mendapat teguran dan reaksi pelbagai pihak berhubung kenyataan menyifatkan Pas sebagai ‘kuku besi’ dalam isu pengharaman NGO Sisters In Islam (SIS), Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Dzul Khairi Mohd Noor telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Saya rasa saya perlu meminta maaf di atas segala polemik yang telah berlaku sepanjang saya mencurahkan idea. Saya rasa, ada dua kesilapan besar saya yang patut saya betulkan. Saya dahulukan dengan mengucapkan terima kasih di atas segala teguran. Pertama, saya tidak memberikan penjelasan yang setepatnya berkaitan pandangan saya. Saya tidak berniat mencetuskan kontroversi sebaliknya memang itulah bentuk pemikiran saya. Namun saya kurang memberikan penjelasan terbaik. Kesilapan kedua adalah, mungkin kerana saya sedikit kurang beradab. Maka saya amat menyesali segala kekurangan saya itu. Saya berharap ia merupakan proses kematangan dan kemandirian saya,”tulis beliau dalam blognya. Di samping mengalu-alukan kritikan dan keterbukaan beliau dalam menerima teguran, Dzul Khairi mengakui telah menggunakan beberapa istilah yang kurang sesuai dan menyifatkan ianya kesilapan besar. “Semestinya saya mesti bersedia untuk ditegur dan dikritik. Maka saya menerima dengan dada terbuka. Rasanya, kesilapan menggunakan beberapa istilah termasuk ’menghapuskan’ Dewan Ulama adalah kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan,”ujar beliau lagi. Beliau juga mengharapkan budaya tegur-menegur akan kekal menjadi budaya dalam organisasi Islam seluruhnya. “Saya, Mohd Dzul Khairi memohon maaf di atas segalanya. Tidak bermakna saya menarik pandangan-pandangan saya dan tidak bermakna saya akan berhenti daripada memberikan pandangan. Cuma ia bermakna, saya akan lebih berakhlak, berhati-hati dan memberikan penjelasan yang seterang-terangnya,” jelas beliau lagi dalam blognya. Dalam pada itu, pandangan pemimpin NGO anak muda Islam tersebut berkenaan menyifatkan Pas sebagai ‘kuku besi’ dalam isu pengharaman Sisters In Islam (SIS) telah dijawab oleh Dewan Ulamak Pas Negeri Perak. Sayap negeri bagi parti politik tersebut menyifatkan Dzul Khairi mempunyai pandangan yang ‘pelik’ dan ‘menghairankan’. “Pandangan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS), Dzul Khairi Mohd Noor menyifatkan tindakan parti politik itu sebagai ‘kuku besi’ adalah satu pandangan yang pelik dan menghairankan. Begitu banyak usul dan pandangan sebelum ini yang seumpamanya bagi mengharamkan sesuatu yang menyeleweng. Kebebasan bersuara bukan tiket untuk berkata sesuka hati terutamanya apabila membabitkan persoalan akidah dan hukum tuhan,”jelas dewan ulamak tersebut. Sambil memberi alasan bahawa parti politik tersebut telah menghadapi pelbagai sekatan dari pihak pemerintah dalam proses menjelaskan kebenaran dan berdakwah kepada SIS, dewan ulamak itu juga menyifatkan GAMIS sepatutnya yang perlu dibubarkan. “Berbagai hujah telah dikemukakan oleh PAS dalam media rasmi parti, namun SIS juga yang diberi ruang menyebarkan pandangan sesat mereka kepada masyarakat. Gamis yang tidak pernah disekat oleh pemerintah, tidak pernah didengari menegur dan berhujjah dengan penuh kasih sayang dengan mereka. Maka apakah wajarnya cadangan agar dihapuskan Dewan Ulama dalam Pas melainkan sepatutnya Gamis inilah yang sepatutnya dibubarkan kerana tidak langsung memainkan peranan dakwahnya,” tulis wakil dewan tersebut dalam kenyataan blog. Terdahulu, Sabtu lalu, Muktamar PAS menerima usul bagi mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkannya jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam. Usul itu juga mendesak kerajaan menjalankan program pemulihan ke atas ahli-ahli SIS jika didapati sah melencong daripada agama। Selain itu setakat ini lebih 322 NGO dan individu telah menyatakan kekesalan dan bantahan mereka berkenaan usul parti politik tersebut.-mahasiswakini

No comments:

Post a Comment