Wednesday, June 10, 2009

Mengharamkan SIS Satu Kewajipan

Muktamar Tahunan Kali Ke 55 ini yang baru berlangsung baru-baru ini benar-benar menggegarkan seluruh negara. Jika sebelum ini muktamar seperti ini hanya disedari oleh pengikut PAS sahaja, namun suasana kali ini amat jauh berbeza. Walaupun tidak disiar oleh media perdana BN, namun kemunculan teknologi maya yang menyiarkannya secara langsung telah menyebabkan ianya diikuti oleh segenap lapisan masyarakat. Walaupun biasanya apa sahaja yang berlaku akan digunakan oleh BN untuk menggambarkan kelemahan PAS, namun amat berbeza kali ini dimana pimpinan BN amat lunak dalam memberikan komentar berkenaan muktamar kali ini. Di antara sebab kehangatan muktamar kali ini adalah kerana dua isu utama iaitu Kerajaan Perpaduan dan Pengharaman Sisters In Islam. Isu Kerajaan Perpaduan adalah suatu isu yang amat besar yang berpotensi melibatkan perpaduan atau perpecahan ahli PAS malah komponen Pakatan Rakyat itu sendiri. Oleh yang demikian tidaklah wajar bagi golongan bawahan mengeluarkan pandangan tanpa maklumat dan kajian mendalam bagi mengelakkan bertambahnya kekeruhan yang sedia ada. Tugas menjernihkan keadaan adalah terletak di bahu pimpinan yang terlibat secara langsung kerana mereka sendiri yang lebih memahami apa yang mereka sendiri maksudkan. Tindakan penjernihan wajib diusahakan kerana terlalu sukar untuk menafikan kewujudan gejala perpecahan ini yang sudah mula merebak di berbagai peringkat. Jangan diamalkan "Budaya Penafian" dengan mengatakan tidak berlaku sebarang percanggahan pendapat di kalangan pimpinan. Jangan pula nanti pendokong bawahan juga yang dibebankan dengan ungkapan "gagal memahami pandangan pimpinan". Usul pengharaman SIS begitu mendapat perhatian sehingga menarik respon segera daripada berbagai pihak termasuk pihak SIS sendiri serta pimpinan DAP dan PKR. Kecaman hebat dari pihak SIS bukanlah suatu yang mengejutkan kerana Ayah Pin sendiripun melenting ketika dikatakan sesat. Apa yang menghairankan adalah kecaman daripada teman-teman dari Pakatan Rakyat. Isu hak asasi dan kebebasan bersuara menjadi asas yang ditonjolkan. Amat menghairankan apabila mereka mendesak PAS menghormati pandangan teman-teman di dalam Pakatan sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak pernah cuba memahami dan menerima prinsip perjuangan PAS yang tidak menganiaya sesiapa. Dr. Asri Zainal Abidin turut membidas usul ini dengan mengatakan ada banyak perkara baik yang dibuat oleh SIS. Beliau mengkritik keras pendekatan mengharam tanpa memberi peluang mereka membela diri. Mungkinkah terpaksa membiarkan sahaja jika ada kumpulan pendakyah daripada kristian yang bergerak secara aktif di kampung-kampung Melayu jika dalam masa yang sama mereka menawarkan berbagai perkhidmatan dan bantuan kepada orang ramai. Beliau nampaknya terlalu jahil dengan prosedur pihak berkuasa termasuk prosedur di Jabatan Agama Islam Negeri walaupun berpengalaman sebagai mufti. Mungkin beliau tidak sempat mengkaji dan mempelajarinya selama dua tahun kerana terlalu sibuk mencari kelemahannya dan menjajanya ke serata negara. Apakah beliau mungkin menganggap mengharamkan sesuatu kumpulan hanya sekadar mengeluarkan sekeping surat semata-mata sedangkan di mahkamahpun ada hujah pembelaan diberikan. Umat Islam bukan baru sehari dua mengenali SIS dan pemikiran mereka. Jika tidaklah kerana dokongan anak-anak pimpinan tertinggi negara, pastinya JAKIM dan JAIN akan dihentam semahunya kerana tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Walaupun ramai wanita yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk mendapatkan hak mereka berkaitan perundangan, namun amat diyakini dalam urusan mendapatkan fatwa, mereka tidak akan mengguna pakai berbagai fatwa sesat yang dikeluarkan oleh mereka. Ada juga yang menganggap PAS tidak menurut sunnah kerana Nabi Muhammad saw sendiripun berlapang dada dengan perbezaan pendapat di zamannya. Sewajarnya kita serahkan kepada ulamak untuk mengkaji apakah tindakan mengharamkan mana-mana pertubuhan yang sesat seperti ini menepati sunnah atau sebaliknya. Jangan kerana kegelojohan kita dalam berhujjah dengan mengambil contoh amalan Rasulullah saw, menyebabkan berlaku kesilapan dalam menyandarkan perkara yang bukan hak terhadap Rasulullah saw yang akan melayakkan kita menempah tempat di neraka Allah. Ada had dan sempadannya keterbukaan menerima perbezaan pendapat di kalangan umat. Jika sudah sampai ke peringkat sesat maka tindakan undang-undang wajib dikenakan. Walaupun banyak contoh sirah yang menggambarkan keterbukaan Rasulullah saw terhadap masyarakat, namun apakah harus kita lupakan ketegasan Rasulullah saw sehingga membakar masjid dirar bagi mengelakkan kemudharatan kerana tujuan pembinaannya yang tidak menepati kehendak Allah.

1 comment:

  1. KERAJAAN PERPADUAN

    Kuasa politik Melayu/Islam semakin terhakis.

    Hanya kuasa politik melayu/Islam sahaja yang boleh mempertahankan agama, bangsa dan negara.

    Semua pemimpin Melayu/Islam harus sedar dan kembali kepangkal jalan.

    Selamat kan kuasa politik Melayu/Islam sebelum terlambat.

    ReplyDelete