Sunday, May 17, 2009

Muktamar Dewan Ulamak PAS Perak

Muktamar Dewan Ulamak Pas Perak telah diadakan pada 16 Mei 2009 (Sabtu) di Markas Tarbiyah Pas Perak, Air Kuning, Taiping. Muktamar yang dihadiri oleh 132 orang perwakilan serta para pemerhati yang lain telah dirasmikan oleh Y. Bhg Tuan Haji Mohammad Zain Bin Abdul Rahman, Setiausaha Dewan Ulamak Pusat. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menyentuh mengenai peranan yang besar yang telah dimainkan oleh ulamak dalam perjuangan Pas. Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai generasi baru yang seolah-olah meminggirkan ulamak dalam segala bentuk tindakan. Beliau juga mengingatkan mengenai perlunya ulamak menunjukkan kemampuan masing-masing agar diyakini oleh semua golongan dalam masyarakat.

Kebimbangan yang disuarakan bukanlah merupakan suatu yang tidak berasas. Isu mengenai ulamak dan professional juga menunjukkan bahawa peranan ulamak sudah tidak begitu dilihat berperanan di kalangan akar umbi. Ketika mana Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Iraqi menimbulkan isu politik wang, bukan sahaja beliau dihentam malah ada yang begitu lancang mahu membawa beliau ke Jawatankuasa Disiplin. Walaupun ulamak tidak maksum namun perlu adab dan penghormatan dalam organisasi yang berteraskan kepada kepimpinan ulamak. Apa maknanya kepimpinan ulamak jika ulamak menjadi bahan cacian dan disandarkan segala kesalahan. Kenapa tidak ada ungkapan yang serius untuk menghukum mereka yang terlibat dengan politik wang jika berjaya dikesan, berbanding menuding kepada teguran Ketua Dewan Ulamak yang dikatakan membuat tuduhan.

Semoga kepimpinan Dewan Ulamak Pas Perak yang baru diberi mandat akan mampu merobah keadaan. Semoga ulamak akan lebih berperanan atau diberikan peranan oleh parti dan kerajaan jika kita kembali memerintah. Jika kata-kata ulamak sudah tidak dipedulikan, jika peranan ulamak hanya dianggap sebagai melukut di tepi gantang, maka dimanakah bezanya Parti Islam SeMalaysia ini dengan UMNO yang juga mempunyai ulamak tetapi hanya berperanan mencari nas untuk menghalalkan tindakan semata-mata.

No comments:

Post a Comment